Isu dakwaan sembelihan haiwan di Australia yang didakwa melanggar protokol halal tidak boleh dipandang ringan atau diambil mudah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sahaja perlu bertindak segera tetapi juga perlu menunjukkan bahawa tindakan sudah diambil.
Soal halal haram makanan ini bukan isu kecil. Kesannya sangat besar kepada masyarakat. Jakim tentu faham tentang ini tetapi ramai berpendapat, sikap dan pendekatan Jakim dalam isu langgar protokol halal itu setakat ini sebagai perlahan dan tidak memuaskan hati.
Kata mereka, langkah pertama yang sepatutnya Jakim ambil ialah menggantung sementara produk dari rumah sembelihan yang terlibat itu walaupun premis itu ada pensijilan halal daripada Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia (SICHMA).
Ini bagi menunjukkan badan pensijilan halal Malaysia itu benar-benar serius dan komited dalam isu produk halal yang dibawa masuk ke negara ini. Jika Jakim tidak ambil tindakan, pengguna tentu lebih sukar untuk tentukan daging yang datang dari rumah sembelihan itu.
Lagipun, masih ada beberapa lagi rumah sembelihan lain di negara berkenaan yang boleh membekalkan daging ke Malaysia, andai ada pihak bimbang akan berlaku kekurangan bekalan akibat penggantungan itu.
Jakim juga perlu menyiasat dan meneliti rakaman video yang dikatakan dari rumah sembelihan itu dan menemu bual sendiri bekas pekerja yang mendakwa berlaku salah laku di rumah sembelihan itu. Ini boleh dikatakan wajib dilakukan.
Bekas pekerja itu berkata, dia melihat dengan mata kepala dia sendiri pelanggaran protokol halal yang berlalu itu. Takkanlah Jakim hanya diam dan tidak teruja untuk mendengar sendiri cerita daripada pekerja itu hanya kerana sudah ada SICHMA dan kepercayaan penuh kepada pegawai atase halal.
Dengar dulu cerita dia. Nampak macam ada sesuatu yang dia mahu pihak berkuasa tahu. Dakwaan bahawa pelaksanaan audit terhadap rumah sembelihan itu dimaklumkan lebih awal supaya persediaan dapat dibuat juga wajar disiasat lebih lanjut.
Kita kena faham kejadian itu berlaku di Australia, jauh dari mata kita di sini. Yang di depan mata (dalam negara) pun ramai yang langgar prosedur halal walaupun sudah ada sijil halal, inikan pula yang jauh.
Walaupun Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar Australia sudah memberi jaminan akan mengambil tindakan tetapi tindakan segera dan tuntas daripada Jakim tentunya lebih afdal.
Bab halal haram ini jangan ada keraguan, itu pesan ustaz saya dulu.
Oleh: Ismail Daud
No comments:
Post a Comment