PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun diminta tidak menolak usul membahaskan isu aplikasi MySejahtera pada mesyuarat kedua Parlimen Julai ini kerana perkara tersebut membabitkan kepentingan awam.
Ini kerana pada sesi kedua Parlimen itu, Dewan Rakyat akan mendengar laporan penuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung aplikasi tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, speaker sewajarnya membenarkan semua ahli Parlimen membahaskan isu MySejahtera kerana perkara tersebut membabitkan kepentingan awam dengan sekurang-kurangnya 38 juta pengguna mungkin terdedah dengan kebocoran maklumat peribadi merentas sempadan.
“Bagi saya, Speaker seharusnya memberikan kepentingan dan ruang kepada perbahasan laporan PAC berhubung aplikasi MySejahtera kerana isu ini amat penting untuk dibahaskan.
“Jadi, ini juga menjadi perbahasan secara terbuka di Dewan Rakyat selain membolehkan semua ahli parlimen memberikan pandangan untuk membantu dan memastikan kerajaan membuat keputusan berhubung aplikasi MySejahtera,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Kah Woh yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur daripada DAP berkata, beliau masih dalam proses menyiapkan kesemua laporan tersebut kerana PAC masih memanggil beberapa saksi lain yang dikaitkan dalam isu itu sebelum laporan penuh sedia dibentangkan.
“Setakat ini kami belum capai keputusan mengenai aplikasi MySejahtera sebab masih meneliti semua dokumen, tetapi keputusan akan ada dan laporan ini tetap dibentangkan di Dewan Rakyat,” kata beliau.
Kelmarin, Kah Woh meminta Azhar Azizan membenarkan laporan MySejahtera dibahaskan di Parlimen sekurang-kurangnya sehari kerana aplikasi tersebut merupakan isu kepentingan awam.
Kah Woh berkata demikian selepas mengesahkan laporan penuh berhubung aplikasi MySejahtera akan dibentangkan ke Dewan Rakyat pada minggu pertama apabila Parlimen bersidang semula. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment