Namun rasa hormat pada institusi politik keseluruhannya dan mungkin bimbang akan risiko “keselamatan” dan tindak balas undang-undang seperti Akta Hasutan kerana mempersendakan wakil rakyat, kejengkelan itu hanya dipendam.
Bagaimanapun akhirnya apa yang terbuku di minda mereka kini dapat diluahkan dengan jelas, puas, dan mungkin juga buas. Sesungguhnya mujur ada unsur istimewa dalam sistem politik negara yang mampu mengizinkan rakyat bersuara.
Segala pujian dan rasa terima kasih kini dirafakkan kepada Sultan Selangor yang bistari mencerahkan suara terpendam rakyat dalam bentuk seloka dan mungkin juga sindiran yang diabadikan dalam kamar bacaan baginda.
Adalah dilaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli sebuah karya seni lukisan selepas melihatnya dan menggantung lukisan berkenaan di bilik bacaan peribadi baginda.
Lukisan berkenaan menggambarkan suasana di Dewan Rakyat dipenuhi “Orang Utan dan katak” mencuri tumpuan baginda. Dalam catatan di Facebook Pejabat Diraja Selangor ada disebutkan:
“Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Sebaik melihatnya, baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’.
Baginda berhasrat melelong lukisan itu suatu hari nanti dan hasil lelongan akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan.
Hemah Sultan Sharifuddin itu segera menarik minat rakyat pelayar internet. Rata-rata warganet menganggap karya itu sesuatu yang kreatif dan sarat “maksud yang mendalam”.
“Daulat tuanku, sangat dalam maksud lukisan ini. Pelukis yang hebat,” kata Jamie Long.
“Tersurat sangat makna gambar ini. Harapnya Tuanku juga dapat melihat dan tegur pemimpin politik seperti gambar yang Tuanku beli tu,” komen pengguna Facebook lain.
Mohamad Nasrullizam Yunus pula menyifatkan lukisan itu memberi gambaran bahawa ahli politik di negara ini “sungguh hina”.
“Kalau 222 orang (Ahli Parlimen) tu tak malu, tak tahulah,” balas individu lain.
Dalam keterujaan mereka, tiada pula warganet yang membilang berapa jumlah katak yang menjadi Yang Berhormat dan berapa pula angka beruknya – jika ada sekurang-kurangnya 39 ekor katak, maka mesejnya mirip realiti Parlimen Malaysia.
Untung rakyat ada ruang untuk meluahkan isi hati mereka yang membuak malu menonton siaran langsung wakil-wakil rakyat terjerit bak beruk dan menguak mencelah perbahasan persis “katak memanggil hujan” ketika sidang diadakan.
Namun setakat ini belum ada pihak yang menegur atau sudi apatah lagi mengecam secara terbuka sikap “keberukan” dan “kekatakkan” yang dipamerkan tanpa segan silu itu.
Namun kewarasan dan firasat bening Sultan Selangor amat disanjung meskipun karya berkenaan hanya tergantung di istana baginda buat masa ini.
Adalah terkilan juga Facebook Diraja itu tidak menyebut siapa pelukis berwawasan tajam itu dan berapa pula harga karya berkenaan.
Sebenarnya kerimasan rakyat sudah pernah diutarakan oleh seorang ulama tempatan, Badlishah Alauddin, yang juga Imam Besar Masjid Negeri Pahang yang mengingatkan bahawa jika rakyat berperangai beruk natijahnya mereka akan dikurniakan pemimpin bersikap beruk jua.
Caragaya Badlishah agak berlapik. Teguran beliau ialah rakyat harus memastikan tatasusila dan perangai politik mereka sendiri haruslah mulus agar tidak mengundang wakil rakyat berperangai beruk menjadi pemimpin mereka.
Memang perangai keberukan atau orang utan dan siasah “kekatakkan” amat mengaib dan menghampakan rakyat. Bayangkan kerana perangai sedemikian politik bercelaru. Dalam tempoh tiga tahun sudah ada tiga orang dilantik jadi Perdana Menteri.
Kini sering persidangan Dewan Rakyat jadi perhatian apabila wakil-wakil beruk dan katak berkenaan sibuk bertegang leher untuk menghapus fenomena keberukan dalam sistem politik Malaysia.
Agak melucukan apabila difikirkan bahawa tiada orang siuman mahu dinisbahkan sebagai katak dan beruk. Bagaimanapun perangai buruk mereka ini sudah dirakam di kanvas lukisan! Itu karya seni
Agaknya berapa ramai pihak yang akan membuat bidaan jika Sultan Selangor benar-benar mahu melelong lukisan berkenaan?
Belum pun bergerak jauh rakyat disajikan dengan drama beruk dan katak baru. Persoalan yang melucukan ialah bagaimana mahu meluluskan Akta Anti-Lompat Parti jika sikap keberukan dan kekatakkan ini masih menjadi label politik negara?
Pemimpin-pemimpin politik ambil iktibar. Daulat Tuanku.
Oleh: Bakar Suar
Mahal lukisan tu, rugi tak beli akan datang mencecah sekurang-kurangnya RM30,000 ribu.
ReplyDelete