Wednesday, April 20, 2022

PBT ‘Malas Buat Kerja’, Lelaki Keluar Duit Sendiri Baiki Jalan

GROBOGAN: Akibat geram sudah berpuluh tahun jalan di kampung halamannya di Grobogan, Jawa tengah tidak dibaiki pihak berkuasa tempatan (PBT), seorang lelaki sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk tujuan terbabit.

Joko Suranto mengeluarkan duit sendiri sebanyak 2.8 bilion rupiah (RM825,475) untuk membaiki sebatang jalan rosak sepanjang 1.8 kilometer di kampungnya.

Berdasarkan pemantauan Kompas.com kelmarin, kerja-kerja pembaikan jalan masih berlangsung dan projek itu sudah bermula sejak awal Ramadan lalu.

Sehingga kini, sebanyak 95 peratus jalan sudah siap dibaiki.

Ketua Kampung Jetis, Suharnanik yang juga merupakan abang kepada Joko memaklumkan, pembaikan jalan itu dilakukan atas dasar kemanusiaan.

Jelasnya, Joko sudah tidak tahan melalui jalan rosak yang sama selama 20 tahun dan masalah itu sudah pun diajukan kepada pihak berkuasa tempatan banyak kali, namun tiada satu pun dilayan.

“Kesabaran adik saya akhirnya memuncak dan dia membuat keputusan untuk mengeluarkan duit sendiri bagi membaiki jalan tersebut.

“Jalan itu merupakan tanggungjawab pihak berkuasa, namun tiada seorang pun mengambil tahu apa yang berlaku, apa yang perlu ditanggung penduduk.

“Jalan itu terlalu teruk sehinggakan tidak boleh dilalui kenderaan, terutamanya ketika hujan,” katanya.

Dengan mengupah seramai 25 pekerja, projek pembaikan jalan itu dimulakan sejak awal Ramadan lalu dan penduduk kampung menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Joko.

Joko merupakan ahli perniagaan dalam sektor hartanah dan setiap tahun menjelang Aidilfitri, dia akan mengeluarkan duit untuk menurap jalan berkenaan bagi memudahkan proses mudik (pulang ke kampung).

Namun, setiap kali itu juga jalan tersebut akan kembali rosak kerana strukturnya perlu dibaiki secara keseluruhan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment