Kawan saya itu kalau berbual memang susah hendak masuk bab lain, asyik cakap bab kerja, bab politik dan masuk balik bab kerja. Itu sajalah kitarannya.
Saya tidak meneka-neka. Biarlah dia jawab sendiri soalannya itu. Bukan tak biasa, sendiri tanya, sendiri jawab. Sudah lama pun saya tidak berjumpa dengannya. Musim Covid-19 ini, kami lebih selesa duduk di rumah kalau tiada urusan penting.
“Letih bila pelajar yang kita ajar ini, bila keluar mereka jadi miskin bandar. Walhal mereka ini berpendidikan tinggi. Mereka ini kalau bekerja kategori pegawai.
“ Setiap tahun negara ini melahirkan ribuan siswazah dan mereka ini menyumbang kepada kemiskinan bandar pula,” katanya.
Menurutnya, upah siswazah ketika ini kebanyakan sama saja dengan yang tidak mempunyai ijazah atau diploma. Malah ada yang lebih kurang daripada yang ada sijil atau habis belajar di tahap sekolah menengah.
Sekarang ini, ada yang dapat gaji RM1,100 hingga RM2,200 walaupun bergelar pegawai atau eksekutif.
“Pegawai apa gaji RM1,100? Kalau duduk KL ini sudah masuk kategori miskin tegar,” kata saya. Iyalah, pengawal keselamatan pun ada gaji lebih daripada itu. Bila fikir semua ini, saya yang mempunyai dua anak yang masih belajar di universiti tempatan rasa ‘sesak kepala’.
Di bandar raya Kuala Lumpur, pendapatan isi rumah RM2,216 adalah garis kemiskinannya dan mana-mana isi rumah yang memperoleh pendapatan kurang daripada itu ditakrifkan miskin.
Jika pendapatannya separuh daripada itu iaitu RM1,110 keluarga tersebut dikategorikan sebagai miskin tegar.
Memanglah kemiskinan bandar tidak boleh diukur daripada pendapatan semata-mata. Ia diukur pada tahap kualiti hidup dan kemudahan setempat. Tetapi kalau upah rendah, dapatkah menyewa rumah yang selesa dan membeli kenderaan. Dan mereka terpaksa hadap pula harga makanan yang tinggi di bandar raya ini. Mana datangnya kualiti hidup itu?
Saya teringat masa mula-mula bekerja dulu, hampir 30 tahun lalu. Saya pun dibayar gaji RM1,100 dengan tahap pendidikan ijazah. Masa itu RM1,000 cukup besar. Saya mampu menyewa bilik di Bangsar. Naik teksi ke tempat kerja di Sungai Besi. RM1,100 lebih daripada cukup.
Tetapi itulah, yang amat menghairankan setelah hampir 30 tahun, siswazah masih lagi berlegar dengan harga upah yang sama? Seriuslah, dengan segala kenaikan harga barang dan perkhidmatan cukupkah gaji sebanyak itu? Pinjaman pendidikan juga perlu dilangsaikan. Mana datang kualiti hidup sebegitu?
Nampaknya, dalam kita mengejar macam-macam perubahan untuk kemajuan, tetapi hal-hal upah kita masih di takuk purba kala lagi. Buat-buat tak nampak atau tak mahu hal ini dibesar-besarkan.
Kita bangga mengeluarkan ramai siswazah pelbagai bidang. Anak-anak di kawasan luar bandar kebanyakan menguasai universiti tempatan tetapi akhirnya kebanggaan itu diterjemahkan dengan menjadikan mereka miskin bandar.
Kawan saya itu bercerita, paling dia sedih, ada bekas pelajarnya yang terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan. Dia pernah terserempak dengan bekas pelajarnya yang memakai kemeja T Foodpanda di pusat beli-belah di Sunway Pyramid. Dia pelajar jurutera.
“Dia datang menegur saya. Kami bersembang, katanya susah nak dapat kerja. Jadi dia kerja itu sementara waktu,” katanya.
Tambah kawan saya itu, sementara waktu pun, adalah dalam setahun lebih juga bekas pelajarnya itu bekerja sebagai penghantar makanan. Memanglah banyak peluang pekerjaan dalam Gig Ekonomi seperti yang diuar-uarkan kerajaan. Tetapi inilah dia kerjanya. Terlibat dalam e-hailing. Penghantar makanan, barangan atau membawa penumpang.
Memang ada pekerjaan berskil tinggi yang upahnya lumayan untuk kerja-kerja freelancer seperti perakaunan, videografer, graphic designer, programmer dan lain-lain tetapi ia tidak banyak dan kurang diiklankan.
Sampai bila siswazah mahu terus bekerja dalam sektor ini? Kita kerugian tenaga dan kepakaran mereka dalam bidang profesional. Tak akan selesai hanya dengan berkata, syukurlah mereka sudah dapat kerja bukan menganggur.
Banyak juga peluang kerja saya baca dalam iklan-iklan yang saya lihat dalam WhatsApp grup dan media sosial. Tetapi itulah, bila diteliti kebanyakan mahukan yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun bekerja.
Iklan untuk yang berpengalaman pun gajinya dalam RM2,200. Yang berjawatan tinggi pun gaji bawah RM3,000? Apa nak jadi syarikat-syarikat yang ingin menggaji golongan profesional ini. Majikan seperti inilah yang memperlekeh kudrat golongan profesional dan meletakkannya di tahap tidak dihargai.
Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu melaporkan, majoriti siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan pada tahun 2020 menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding RM2,001 hingga RM2,500 pada 2019. Jabatan itu turut melaporkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, iaitu siswazah yang terpaksa menjadi pekerja berkemahiran rendah, meningkat dari purata 32.7 peratus (1Q2017– 4Q2029) kepada 36.8 peratus pada suku ketiga tahun 2020.
Majoriti siswazah memasuki pasaran pada tahun berkenaan menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.
Kerajaan baru-baru ini pula meluluskan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini di seluruh negara. Diharapkan dengan pelaksanaan itu akan menambahbaik gaji siswazah dan golongan profesional.
Sebagai pensyarah, tambah kawan saya itu, sistem upah yang gagal untuk siswazah turut mengheret kegagalan kepada sistem pendidikan negara ini. Betapa tidak, kita beranggapan bahawa pendidikan tinggi itulah dapat mengurangkan kemiskinan, tetapi hakikatnya Menara Gading setiap tahun mengeluarkan siswazah untuk dijadikan miskin bandar.
Kalau berterusan begitu, agaknya 30 tahun akan datang, gaji siswazah masih berlegar RM1,500 pula. Betullah, letih macam ini.
Oleh: FAUZIAH AROF
No comments:
Post a Comment