Wednesday, April 27, 2022

Aset Usang: Apa Pilihan Yang Ada?

KALAU diambil kira tarikh, hampir sedekad rasanya kontrak projek kapal tempur pesisir (LCS) ditandatangani. Tapi sampai sekarang, hanya enam buah kapal tersebut meniti di bibir tanpa bayangan sekalipun.

Kalau semua kapal LCS tersebut siap, ia menggalas tugas berat dengan berperanan sebagai sufface combatant, sekali gus menyokong peranan kapal misi pesisir (LMS) yang lebih kepada rondaan pesisir pantai. Walau apa pun, keputusan muktamad telah diputuskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini bahawa projek itu diteruskan. Ini bermakna kalau diteruskan, kapal berkenaan dijangka siap pada 2025.

Tidak mengapa, biarkan dahulu cerita mengenai LCS sebab kerajaan dalam masa sama telah merancang untuk memperoleh LMS fasa kedua. Berdasarkan kenyataan Hishamuddin sebelum in, kapal tersebut akan bermula dengan tiga buah dahulu berserta pakej persenjataan lebih canggih tanpa memperincikan lebih lanjut jenis sistem yang akan digunakan nanti.

Saiznya juga dikatakan besar sedikit berbanding LMS kumpulan pertama. Kalau ikut penilaian, rasanya tiga buah kapal baharu itu pun belum cukup untuk ketajaman taring Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengawal perairan negara.

Apatah lagi dengan jumlah aset usang dalam perkhidmatan TLDM yang mencecah 60 peratus sehingga menyebabkan anggota angkatan laut itu kini bukan menggalas tugas dan tanggungjawab semata-mata, sebaliknya turut memikul beban.

Kita tidak boleh nafikan perbelanjaan negara bagi mengurus wabak Covid-19 menyebabkan adanya kekangan bagi pembelian aset-aset penting. Namun, tadbir urus yang baik dalam proses perolehan sedikit sebanyak membantu meminimumkan perbelanjaan.

Kerajaan perlu memastikan projek LMS baharu ini tidak berlaku sebagaimana LCS lebih-lebih lagi banyak ‘mata’ yang kini sudah pun mengintai peluang-peluang yang ada.

Tidak kira sama ada syarikat dalam mahu pun luar negara yang minat dengan projek pembinaan LMS, mereka perlu menjalani proses yang ketat dan telus sebelum penganugerahan tender dibuat.

PELURU BERPANDU
Setakat ini, beberapa nama syarikat seperti STM Defence, China Shipbuilding and OffShore International Company (CSOC) dan Damen dikatakan berminat memenuhi keperluan TLDM. Turut difahamkan, setiap satu daripada syarikat tersebut telah mula memberikan pelbagai tawaran kepada Malaysia.

STM Defence sebagai contoh, menawarkan kapal korvet kelas Ada untuk kegunaan TLDM dan bersedia mengikut segala spesifikasi serta teknologi berdasarkan permintaan daripada kerajaan Malaysia. Malah syarikat berkenaan juga dikatakan akan membina limbungan di negara ini dan mahu mengadakan kerjasama dengan syarikat tempatan.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri Timbalan Pengurus Besar STM Defence, Bulent Soydal semasa ditemui Utusan Malaysia di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022, baru-baru ini.

Sebagai rekod, kapal kelas Ada dilengkapi hangar helikopter dan peluru berpandu antikapal Harpoon berkelajuan 29 knot.

Selain STM, Damen iaitu syarikat Belanda dikatakan turut membuat tawaran kelas Sigma sebagaimana yang dimiliki Indonesia. Kalau melihat kepada beberapa tawaran, memang menarik. Namun, persoalan penting selain isu ketelusan penganugerahan tender adalah kriteria utama kerajaan untuk melengkapi armada TLDM dengan keperluan aset canggih.

Adakah pembinaan LMS seterusnya betul-betul mempunyai kemampuan untuk menghadapi peperangan tiga dimensi? Malah, adakah kapal-kapal LMS kumpulan kedua ini nanti mampu menampung keperluan tugas TLDM yang kini semakin berat selepas lebih banyak tinggalan aset usang berbanding aset baharu?

Yang ada sekarang pada TLDM adalah beban berat segulung batu. Paling parah sekiranya beban tersebut memberi impak negatif kepada anggota bertugas. Sepatutnya kerajaan sedar lambakan aset usang hanyalah meningkatkan perbelanjaan selenggaraan, bukannya ke arah langkah penjimatan.

Perlu diingat, keperluan aset baharu untuk keselamatan negara umpama membeli insurans. Semakin tinggi premium, semakin baik perlindungannya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment