Friday, May 6, 2022

Bimbang Melayu Boleh Terima Pemimpin Rasuah

SEWAKTU Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan lalu, terdapat kaji selidik dilakukan oleh beberapa pihak baik daripada parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapat maklumat mengenai kecenderungan pengundi.

Di antara soalan popular yang diajukan ialah berkenaan rasuah dan pemimpin. Kesimpulan yang dapat dibuat hasil daripada maklum balas diberikan responden atau pengundi Melayu untuk soalan berkaitan rasuah dan pemimpin ialah mereka tiada masalah untuk menerima pemimpin rasuah kerana itu tidak memberi kesan secara terus kepada kehidupan mereka.

Ia tidak dianggap gejala cukup serius untuk diberi perhatian kerana pada mereka ialah “apa aku dapat hari ini”.

Maka dengan itu juga tiada masalah untuk mereka menyokong mana-mana parti politik seperti yang diarahkan selepas menerima RM100 atau RM200 kerana dengan wang tersebut telah menyelesaikan masalah mereka pada hari berkenaan.

Sedarkah mereka ataupun pedulikah mereka kesan jangka panjang hasil daripada tindakan dan keputusan yang mereka lakukan tanpa membuat pertimbangan wajar, melainkan hanya mengikut arahan setelah mendapat sejumlah kecil wang?

Orang Melayu harus mengambil serius bahaya rasuah. Jangan ambil sikap sambil lewa. Orang Melayu memang ramai mempunyai sikap sedemikian, iaitu sambil lewa dan menganggap sesuatu itu tidak apa, sedangkan ia mungkin memberikan kesan yang serius. Gejala rasuah adalah sesuatu yang bukan sahaja serius malah berbahaya.

Malangnya, kesan rasuah tidak bersifat serta-merta. Kesan dan bahayanya akan dirasa apabila sudah terlambat. Jika penyakit, ia ialah sudah menjadi kanser, susah diubat atau mungkin tiada ubat. Cara yang paling berkesan ialah mencegah.

Orang Melayu harus sedar tentang bahaya gejala rasuah. Mereka akan kehilangan segala-galanya sekiranya isu rasuah ini tidak diambil serius. Orang Melayu boleh kehilangan negara tercinta ini malah lebih dahsyat lagi, mereka boleh kehilangan maruah.

Tidak mungkin kita mahu dikenali sebagai bangsa yang mudah disogok dan senang dibeli. Di mana maruah kita pada ketika itu? Sedangkan Melayu dianggap sebagai antara bangsa yang hebat di bumi ini.

Kita lihat isu tanah rizab Melayu. Baru-baru ini dalam Konvensyen Tanah Melayu 2022, didedahkan bahawa tanah rizab Melayu hanya tinggal 23 peratus berbanding 50 peratus yang sepatutnya. Ini amat memberi kesan kepada orang Melayu sebenarnya.

Peratusannya semakin menguncup. Jika tidak diberi perhatian, mungkin akan tinggal sedikit sahaja. Lihat Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, berapa banyak tanah rizab Melayu yang tinggal? Maka jadi realitilah seperti mana seni kata lagu “anak kecil main api, bumi dipijak milik orang”.

Bagaimana pula tanah rizab Melayu ini boleh berkurangan? Sedangkan tanah rizab Melayu sepatutnya tidak boleh ditukar milik kepada bukan Melayu. Jika kita lihat proses dan prosedur untuk menukar status tanah rizab Melayu kepada tanah komersial atau pertanian biasa, ia adalah satu proses yang amat rumit.

Apabila sesuatu yang amat rumit dan hampir mustahil untuk mendapat kelulusan seperti menukar status tanah rizab Melayu ini, tetapi sebaliknya apa yang kita lihat ia seperti mudah pula untuk sekumpulan orang mendapatkannya. Sudah tentulah ada unsur-unsur rasuah yang terlibat.

Ini adalah salah satu contoh bahayanya rasuah yang akan memberi kesan buruk kepada orang Melayu secara langsung iaitu kehilangan harta dan hak milik Melayu.

Oleh: AZMAN MOHD. HASHIM

No comments:

Post a Comment