Kebanjiran orang asing di Malaysia adalah isu lapuk yang sudah bosan didengar, dibaca dan dilihat sendiri orang mereka yang mengikuti kisah-kisah warga asing.
Jika dahulu warga asing yang selalu ditemui hanyalah rakyat Indonesia dan beberapa kerat warga Thailand, Vietnam dan Filipina.
Namun, tahun ke tahun, penduduk Malaysia semakin berwarna-warni apabila warga Bangladesh, Nepal, Pakistan, Afrika dan Arab semakin ramai ditemui bukan sahaja di bandar-bandar besar di negeri-negeri maju tetapi sudah merata hingga ke kampung-kampung di Kelantan dan Kedah.
Semakin popular kini ialah etnik Rohingya. Rohingya berasal dari Myanmar namun terpaksa melarikan diri mencari suaka politik ke negara-negara lain selepas menjadi mangsa aniaya kerajaan di negara sendiri.
Mengimbau kemasukan warga asing ke Malaysia, asalnya adalah atas tiket menjadi buruh di sektor pembinaan, perladangan dan kilang-kilang. Pengambilan pekerja asing pada 1990-an lebih teratur apabila mereka yang memasuki negara ketika itu majoritinya secara sah.
Namun, disebabkan keselesaan yang dinikmati berada di negara ini, lama-kelamaan mendorong kepada kemasukan secara haram.
Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadi cabaran kepada pasukan keselamatan apabila pelbagai jenama operasi khas untuk mengusir PATI tidak pernah mengurangkan kumpulan tersebut.
Kesannya, setiap hari hampir semua rakyat Malaysia akan terserempak dengan warga asing termasuk yang berstatus PATI. Apa pun hujah membabitkan PATI atau Rohingya, kebanjiran warga asing yang tidak diurus sebaik-sebaiknya akan mengancam keselamatan negara.
Individu bergelar PATI tidak mempunyai identiti dalam sistem keselamatan negara jadi tidak mudah untuk mengesan mereka yang melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Contoh yang kerap dikaitkan dengan PATI ialah menjadi pembunuh upahan, merompak atau membentuk kumpulan penganas seperti Daesh atau Jemaah Islamiah.
Kesan sosial juga semakin dirasai apabila penduduk Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India semakin sukar dicam hanya berdasarkan warna kulit dan bentuk fizikal.
Evolusi tersebut hasil perkahwinan campur warganegara dengan warga asing. Jika fenomena ini semakin biasa nescaya etnik-etnik besar di Malaysia hilang ketulenannya.
Dari segi ekonomi pula, rakyat Malaysia dilihat semakin malang apabila semakin banyak kegiatan ekonomi dikuasai warga asing. Lihat sahaja, pusat-pusat cuci kereta haram, siapa yang sedang buat duit jika bukan warga Bangladesh dan sedang diikuti Rohingya.
Pekerja Bangladesh juga semakin mendapat tempat di hati majikan apabila melantik mereka menyelia pekerja Malaysia di bidang peruncitan dan restoran.
Pasar malam pula menghimpunkan peniaga-peniaga Indonesia. Jelas lagi bersuluh ekonomi Malaysia kini secara perlahan-perlahan didominasi warga asing. Etnik Rohingya turut sedang mengembangkan monopoli di pasar-pasar borong.
Melihat kesan kebanjiran warga asing tersebut, Malaysia memerlukan dasar yang jelas untuk membersihkan PATI dan pencari suaka yang terlalu ramai. Setiap individu yang berada di negara ini harus mempunyai identiti yang direkodkan dalam sistem keselamatan negara.
Oleh: Teon Eg
No comments:
Post a Comment