Saya hanya meluahkan pandangan ini melalui pengalaman ketika menjalankan sesi temu duga pelajar lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang kebanyakannya lemah apabila melibatkan teknikal, malah ada yang seperti hilang arah apabila diberi latihan amali.
Ketika ditanya bagaimana proses pembelajaran, mereka menyatakan hanya berpandukan buku terbitan dari luar negara. Itulah masalahnya jika pensyarah hanya tertumpu kepada teori tanpa sebenarnya berada dalam sesebuah industri. Sementara pelajar didedahkan dengan selok-belok alam pekerjaan ketika menjalani latihan industri sahaja.
Pun begitu, pengalaman yang dikutip sepanjang beberapa bulan itu masih tidak mencukupi. Pelajar seharusnya didedahkan dengan dunia sebenar bidang pengajian mengikut perkembangan semasa. Janganlah bercerita pengalaman pensyarah ketika menjalani praktikal 10 tahun lalu kerana pastinya ia sudah jauh berbeza. Mungkin teknologi ketika itu sudah tidak lagi digunakan pada masa kini. Jadi, ilmu yang disampaikan agak terkebelakang dan ketinggalan.
Ini punca mengapa graduan IPT sukar mendapat tawaran pekerjaan kerana mereka tiada kemahiran dan tidak didedahkan dengan dunia sebenar alam pekerjaan. Seperti saya katakan, kebanyakan mereka tertumpu pada teori.
Kebanyakan pensyarah muda hari ini meneruskan pengajian dalam bidang sarjana untuk melayakkan diri menjadi seorang pensyarah dan kemudian menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah. Mereka menghabiskan bertahun-tahun menghadap buku dan kertas kerja tetapi sayangnya mereka tidak benar-benar berada dalam industri. Ini menyebabkan adanya kelompangan dalam pendidikan. Malah, pensyarah muda ini juga tidak benar-benar ‘khatam’ dunia sebenar alam pekerjaan di luar bilik kuliah menyebabkan tiada lonjakan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Mungkin sudah tiba masa untuk Kementerian Pengajian Tinggi melihat perkara ini. Saya tidak menafikan sumbangan tenaga pengajar selama ini mencurahkan ilmu sehingga ramai yang menjejakkan kaki ke menara gading, tetapi alangkah baiknya jika pensyarah ini memiliki sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman dalam industri supaya teori dan praktikal dapat bergerak seiring agar sistem pendidikan negara lebih maju selain dapat melahirkan graduan cemerlang dan benar-benar mengenal bidang pengajian serta menjadi rebutan majikan.
Oleh: KAMARUNZAMAN
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment