Friday, April 22, 2022

Kerajaan Digesa Bertegas, Tidak Tunduk Pada Desakan

Tak hirau arahan KPM, Lembaga Pengurusan SJKC Khai Chee rakus
BANGI – Kementerian Pendidikan (KPM) dinasihatkan supaya tidak tunduk dengan desakan pihak tertentu untuk membenarkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut menggunakan bangunan baharu yang tidak mendapat kelulusan.

Sebelum ini, KPM memaklumkan pembinaan bangunan tambahan di SJKC Khai Chee tidak mendapat kelulusannya berikutan ia tidak memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

KPM berkata, sehingga kini kementerian itu tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi syarat ditetapkan daripada pihak Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) bagi membolehkan pertimbangan dibuat terhadap pembinaan bangunan tambahan itu.

Malah menurut KPM, pihak LPS juga tidak mengendahkan dua surat arahan pemberhentian kerja terhadap bangunan itu yang pernah dikeluarkan pada 2014 serta 2015 dan bertindak meneruskan pembinaan terbabit sehingga ia siap sepenuhnya.

Mengulas perkara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan, tindakan pihak LPS yang tidak menghiraukan arahan KPM jelas memperlihatkan sikap rakus etnik Cina.

Justeru, beliau menggesa KPM tidak melayan sikap rakus ini sebaliknya mengambil tindakan untuk memperlihatkan ketegasan pada pihak kerajaan.

“Oleh itu, KPM diminta tidak sesekali membenarkan pembinaannya lagi selagi prosedur standard, khususnya dalam mematuhi tiga syarat yang diperlukan itu, tidak dipenuhi sepenuhnya, meskipun mendapat tekanan untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Bahkan, beliau menegaskan, keberanian untuk terus tidak mengendahkan dua arahan pemberhentian kerja di tapak pembinaan, menunjukkan pihak berkenaan bukan sahaja langsung tidak mempedulikan perintah, tetapi lebih dahsyat lagi tidak sesekali menghormati undang-undang negara.

Iaitu katanya dalam kes ini ialah tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

“Untuk menghalang pembinaan terus bangunan tambahan itu sehingga tiga syarat itu dipenuhi sepenuhnya, apakah tidak mungkin KPM memperoleh perintah mahkamah?

“Ianya sangat perlu jika terdapat peruntukan sedemikian. Ini amat penting agar ia menjadi amaran kepada masyarakat untuk terus mematuhi undang-undang, selain memperlihat ketegasan kerajaan pada setiap masa dalam melunaskan undang-undang negara,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment