Friday, April 22, 2022

Nyahaktif Aplikasi MySejahtera

KUALA LUMPUR: Sebaik saha­ja negara memasuki fasa per­alihan ke endemik pada 1 April lalu, penggunaan aplikasi MySejahtera tidak lagi berfungsi me­ngesan kontak rapat Covid-19 se­kali gus aplikasi tersebut sepatutnya dinyahaktif oleh kira-kira 32 ju­ta penduduk negara ini.

Ini kerana fungsi utama pem­bangunan MySejahtera adalah untuk mengesan ran­taian Covid-19 namun wabak itu kini tidak lagi menjadi ‘keta­kutan’ kerana negara sudah men­capai imunisasi komuniti ke­lompok sejak Oktober 2021.

Semalam, Malaysia merekodkan jangkitan baharu sebanyak 7,140 kes dengan 16 kes kematian. Sejak pandemik melanda, Malaysia sudah merekodkan se­­ramai 4.3 juta rakyatnya dijangkiti Co­vid-19 dengan angka kematian terkumpul 35,437 kes.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penya­kit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, kerajaan wajar membuat keputusan untuk ‘memadamkan’ aplikasi tersebut tetapi dalam masa sa­ma perlu memastikan data rak­yat yang sudah terkumpul kekal selamat.

Menurut beliau, ini kerana MySejahtera semakin tidak memiliki fungsi dalam mengekang Covid-19 selain virus tersebut sudah kekal berada dalam kalangan komuniti.
Serta-merta

Justeru, pakar virologi itu ber­kata, semua data dalam aplikasi itu mesti dihapuskan serta-merta bagi me­ngelakkan timbul masalah di kemudian hari termasuk mungkin bertujuan dikomersial oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama yang mempunyai hak harta intelek dan lesen perisian bagi aplikasi berkenaan.

“Yang penting dalam MySejahtera kini hanya untuk me­nyimpan data vaksinasi.

“Sijil vaksinasi penting jika mahu ke luar negara. Tetapi, jika aplikasi ini digunakan untuk mengesan pergerakan manusia melalui imbasan kod QR, ia sudah tidak diperlukan kerana jangkitan sudah ada di merata tempat,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr. Sazaly berkata, berdasarkan hujah tersebut kerajaan boleh memadamkan MySejahtera termasuk melupuskan semua data peribadi pengguna.

“Pelupusan data pengguna adalah isu besar dan melibatkan privasi individu. Jadi isu MySejahtera kini berkaitan dengan ketakutan rakyat mung­kin ia disalah guna pihak-pihak tertentu,” katanya.

Isnin lalu, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar dalam kolum Minda Pengarang Utusan Malaysia berpendapat, sudah tiba masa aplikasi MySejahtera dibuang ke dalam trash bin dan dipadam selama-lamanya.

Menurut Azlan, data dalam MySejahtera sangat berharga kerana tiada pihak lain yang mempunyai maklumat sebanyak itu kecuali Jabatan Pendaf­taran Negara (JPN) selain setiap pergerakan pengguna diketahui kerana perlu mendaftar masuk di semua lokasi.
Data peribadi

Pada 12 April lalu, sumber keselamatan memberitahu, data peribadi kira-kira 38 juta pengguna MySejahtera seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal berisiko dimanipulasi sindiket jenayah antarabangsa untuk kegiatan pemalsuan dokumen dan pelbagai penipuan lain.

Sementara itu, Pakar Teli­nga, Hidung dan Tekak (ENT), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, MySejahtera kini dilihat semakin tidak berfungsi kerana kebanyakan rakyat tidak lagi peduli dengan penyebaran wabak itu selepas ramai yang sudah mengambil suntikan lengkap dos vaksin Covid-19.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, kerajaan perlu membuat keputusan segera berhubung aplikasi itu kerana negara hampir ke endemik selain pergerakan orang ramai tidak perlu lagi dipantau.

“Kalau ada kontak rapat pun sudah tidak kisah sangat. Namun, di sudut lain, saya melihat MySejahtera membantu petugas kesihatan untuk menge­tahui cara virus tersebut merebak dan data yang tersimpan daripada pengguna akan menjadi satu pangkalan data yang baik untuk kajian.

“Jika semua data dipadam, kita sudah tiada rujukan, jadi susah untuk menjalankan kajian, mengetahui corak perge­rakan manusia. Tetapi, dengan syarat aplikasi ini tidak boleh disalah guna untuk tujuan-tujuan lain yang tidak dipersetujui pengguna,” katanya.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman pula berkata, beliau tidak melihat risiko kebocoran data peribadi sehingga MySejahtera perlu dinyahaktif jika kerajaan melaksanakan peruntukan undang-undang yang boleh memelihara kerahsiaan pengguna.

Menurut beliau, kerajaan bagaimanapun diminta mengkaji semula fungsi aplikasi ber­kenaan terutama kewajipan mengimbas kod QR setiap kali memasuki satu-satu premis.

“Kita perlukan satu sistem yang sistematik iaitu semua jangkitan boleh dikesan jadi kepentingan aplikasi ini boleh disemak balik untuk tujuan mengikut keadaan terkini,” katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment