Pada masa yang sama kerajaan mengalami kekurangan tenaga kerja kira-kira 200,000 pekerja iaitu di sektor peruncitan, perhotelan dan restoran.
Isunya ialah kita kekurangan pekerja di beberapa bidang tetapi pada masa sama kita ada sumber tenaga iaitu lepasan SPM yang pada dasarnya boleh mengisi kekosongan beberapa sektor pekerjaan yang masih kosong tersebut.
Pada ketika ini, kerajaan sedang menunggu kemasukan pekerja asing baharu atau pekerja asing lama yang balik ke negara asal sepanjang pandemik Covid-19.
Kalau melihat kepada permintaan pekerjaan di Malaysia yang banyak bergantung kepada buruh asing ini, kerajaan disaran mengubal satu dasar pekerjaan baharu bagi menggalakkan lepasan SPM atau pelajar yang masih menganggur diterima masuk ke alam pekerjaan menggantikan pekerja asing ini dalam sektor pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran tinggi.
Kerajaan juga disaran melatih pelajar lepasan sekolah menengah supaya menjadi pekerja mahir dalam pelbagai sektor agar dapat menggantikan tempat pekerja asing.
Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada tenaga kerja dari luar khususnya dari Indonesia dan Bangladesh ini kerana kesan ekonomi dan sosial telah pun dirasai sekarang seperti pengaliran keluar wang ringgit dan penguasaan sesetengah sektor perniagaan oleh warga asing sehingga mengetepikan hak warga tempatan untuk bekerja.
Di samping itu, kadar pengangguran terus meningkat saban tahun dalam negara melibatkan pencari kerja yang sedia ada, lepasan sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang sama-sama bersaing dengan warga asing terbabit.
Justeru, amat malang sekali pelajar lepasan sekolah ini dibiarkan terumbang-ambing tanpa tujuan dan adalah lebih baik pihak kerajaan menyediakan satu program yang besar dan komprehensif kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan pekerjaan.
Ia penting bagi membolehkan mereka dilatih terutama di sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) untuk membangunkan negara daripada mengambil tenaga kerja luar.
Saya melihat kita ada jalan penyelesaian terhadap kekurangan pekerja ini seperti sektor perhotelan yang boleh mendapatkan bantuan daripada pelajar dalam bidang perhotelan untuk bekerja secara sementara waktu.
Untuk jangka masa panjang, kerajaan patut menggalakkan pelajar lepasan SPM untuk mengikuti kursus kemahiran dan mengambil mereka bekerja dengan menawarkan gaji setimpal.
Kita harus mencontohi Jerman yang menitikberatkan kemahiran pekerjaan dengan memberi peluang pelajar tempatan menjalani latihan amali di sektor industri dan terus mengambil pelatih itu bekerja di kilang sama ada dalam industri ringan atau berat.
Walaupun kerajaan Malaysia banyak menyediakan pusat latihan kemahiran seperti GiatMara, kolej komuniti dan sekolah vokasional untuk bekerja dalam pelbagai bidang seperti pembinaan dan perladangan tetapi jumlah pelajar perlu ditambah bagi memenuhi keperluan industri.
Pada akhirnya nanti negara tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja dari luar. Juga, kita tidak mahu pelajar lepasan kolej kemahiran ini tidak diberi perhatian dan kemahiran yang mereka pelajari menjadi sia-sia serta tidak digunakan untuk membangunkan negara.
Akhir kata, Malaysia bukan tiada pusat latihan kemahiran, pelajar mahupun tenaga pengajar, tetapi kesilapan dan kelemahan dari segi perancangan membuatkan kita tidak dapat menggunakan sumber tenaga tempatan secara optimum.
Oleh: ABDUL HAMID
Temerloh
No comments:
Post a Comment