Sunday, April 10, 2022

Punca-Punca Kejatuhan Kepimpinan Islam – Profesor Datuk Dr Shamrahayu

KUALA LUMPUR – “Antara faktor lain kejatuhan Islam dipengaruhi oleh beberapa perkara, termasuk kelemahan pemimpin; kelemahan ekonomi dan politik; kelemahan ketenteraan dan keselamatan; perselisihan hukum fiqh dan mazhab; pengabaian kepada pembangunan sains dan teknologi serta pengabaian kepada sejarah negara.”

Demikian kenyataan Profesor Datuk Dr Shamrahayu dalam Konvensyen Perundangan: Mengarusperdanakan Syariah anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di awal ucapannya, beliau memaklumkan berkenaan kegemilangan Islam adalah disebabkan kekuatan iktikad kepercayaan dan tauhid Islam. Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan mengenai faktor kejatuhan Islam dan kerajaan Uthmaniyyah suatu ketika dahulu.

Jelas beliau, Imam Syafie pernah menyebut di dalam bab terakhir dalam kitabnya ar-Risalah mengenai masalah perselisihan hukum fiqh dan mazhab yang akan melahirkan kebimbangan jika dibesar-besarkan.

Beliau turut menyentuh berkenaan pengabaian kepada pembangunan sains dan teknologi terutamanya bagaimana cara untuk kita menangani cabaran yang dibawa dua sektor tersebut.

Seterusnya, Profesor Dr Shamrahayu berkata bahawa pengabaian sejarah juga menjadi salah satu faktor jatuhnya kepimpinan Islam. Beliau merujuk kepada penulisan Ibnu Khaldun yang menyebut mengenai kepentingan dan tipu muslihat dalam sejarah itu sendiri.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan bahawa kefahaman sejarah yang satu akan membawa gerak kerja kepada hala tuju yang satu.

Profesor Dr Shamrahayu turut mempersoalkan, “Adakah kelemahan-kelemahan ini wujud pada diri kita sekarang? Mari kita bermuhasabah. Dari segi pemimpin dan kepimpinan, adakah kita ada kelemahan di sini? Saya tak nak jawapan. Saya nak cuma TST- tahu sama tahu.” - samudera.my

No comments:

Post a Comment