Tuesday, April 19, 2022

Siapa Pengkhianat Janji Dana RM15 Juta Kepada SMPC?

BANGI – Tuntutan DAP supaya kerajaan mempercepatkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) di seluruh negara dilihat sebagai tidak relevan.

Hal ini kerana SMPC merupakan institusi pendidikan swasta yang langsung tiada kena mengena dengan kerajaan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat, Cikgu Izzat Johari berkata, SMPC mempunyai kemudahan infrastruktur jauh lebih sempurna dan maju berbanding sekolah bantuan kerajaan.

Oleh itu, katanya, tidak layak untuk mereka menerima malah menuntut sebarang bantuan khas jika melihat apa yang SMPC sudah miliki.

“Cukup-cukuplah melabur untuk kumpulan tersebut, kerajaan tak perlu tunduk, institusi berkenaan merupakan sekolah swasta yang tidak layak terima dana kerajaan.

“Saya melihat perkara ini tidak wajar, lagi pun institusi berkenaan mempunyai kaitan Dong Zong.

“Lebih baik gunakan peruntukan untuk pembangunan sekolah-sekolah agama di seluruh negara selari Malaysia sebagai sebuah negara berpentadbiran Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menggesa kerajaan mempercepatkan peruntukan sebanyak RM15 juta yang telah dijanjikan kepada SMPC di seluruh negara.

Kor Ming membuat perbandingan ketika di zaman Pakatan Harapan (PH) di mana RM15 juta disalurkan kepada 61 SMPC dan RM6 juta kepada tiga kolej swasta Cina sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Cikgu Izzat mempersoalkan siapakah pemimpin yang berjanji untuk menyalurkan bantuan kepada sekolah berkenaan.

Katanya, peruntukan yang tinggi sedemikian rupa tidak wajar disalurkan tambahan lagi kepada sekolah persendirian yang tidak membawa agenda kerajaan.

“Ini persoalan yang penting untuk kita mengetahui, siapa pengkhianat yang telah berjanji kepada DAP.

“(Selain itu) atas kapasiti apakah yang mereka boleh tuntut,” tegas beliau. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment