Di antara slogan yang pernah disematkan kepada masyarakat Malaysia tidak lama dahulu ialah ‘kepimpinan melalui teladan’ dan ‘ke arah membina bangsa bermaruah tinggi’. Maka kini tertanya-tanyalah masyarakat, ke mana hilangnya slogan-slogan yang menarik itu?
Munasabah bagi masyarakat untuk mengutarakan pertanyaan demikian memandangkan suasana yang ada pada persekitaran kehidupan masa kini tidak dapat diadunkan lagi dengan slogan-slogan berkenaan. Kepimpinan melalui teladan? Yang asyik bertelagah dan berebut kuasa dalam dunia politik tanpa reda itu karenah siapa?
Kata masyarakat, kalau diselusuri slogan indah itu, tentu akan wujud nilai seseorang pemimpin itu ada disenang, tiada dikenang. Apa pun, konteks ini bukan sahaja dituju atau menjurus kepada kalangan pemimpin politik, tetapi mencangkupi mereka yang bergelar pemimpin di semua peringkat institusi termasuk ketua keluarga, ketua jabatan, ahli akademik, pendidik, pendakwah agama juga peneraju mana-mana komuniti atau pertubuhan.
Benar, menilai ketinggian budi dan akhlak tertakluk pada sifat setiap individu, bukan cerminan nilai sesuatu bangsa atau kaum. Bagi umat Islam, formula mudah untuk dijadikan sandaran ialah dengan mencontohi akhlak baginda Rasulullah SAW. Cara bertutur kata dan santun budi baginda terhadap makhluk termasuk isteri dan segenap segmen masyarakat amat tertib dan menarik.
Ikhlas dan jujur itu mengikut kiasan cendekiawan, ibarat seekor semut hitam berada di atas batu hitam pada malam yang gelap gelita. Hanya semut berkenaan tahu ia berada di situ. Secebis kiasan semut itu turut mengajak masyarakat melihat dan menilai dengan jujur dan adil terhadap sesuatu isu. Ini kerana ada kala masyarakat terperangkap dengan unsur dakyah dan provokasi sesetengah pihak yang sengaja mahu menyelit agenda membenci, melaga-laga atau menyerang peribadi yang biasanya ditemui dalam kaitan politik. Sumber yang mempengaruhi persepsi ini biasanya dipetik dari media sosial.
Istilah ‘persepsi’ dimaksudkan dengan sikap membuat andaian tanpa mengetahui kedudukan sebenar. Contoh terkini dapat dilihat pada suasana bencana banjir yang melanda kawasan-kawasan tertentu khususnya di Selangor. Jangan nafikan di celah-celah kekalutan banjir yang melanda, ada pihak cuba mempolitikkan keadaan untuk menangguk keuntungan.
Pantang berhadapan sebarang isu, para pemimpin turut menjadi sasaran cemuhan. Media sosial seolah-olah menjadi wadah untuk menampilkan ramai warga yang terlalu pandai membuat bermacam nasihat dan teguran. Sehingga terlintas pula persoalan, apakah tugas seseorang menteri itu terpaksa turun menyelamatkan mangsa banjir termasuk dengan memunggah barangan perlu untuk menyelamat keadaan? Bukankah sudah ada anggota-anggota penyelamat daripada unit-unit khusus? Tidak memadaikah mereka berbincang dan mengatur kaedah berkesan dalam menghulurkan bantuan di peringkat kementerian masing-masing?
RUMAH KACA
Dalam hubungan ini, kedua-dua pihak yakni rakyat dan pemimpin perlu sama-sama mencari jawapan yang lebih tepat bagi menyerlahkan ikhlas dan kejujuran. Sering disebut, kehidupan masa kini umpama berada di rumah kaca yang semuanya bersifat telus (transparent).
Apa pun, budi baik kalangan mereka yang ikhlas membantu amat disanjung dan dihargai. Kebanyakan mereka tidak banyak bercakap tetapi lebih banyak bertindak.
Hasilnya, ramai mangsa banjir dapat dibantu dan diberi pertolongan sewajarnya.
Membina tamadun dan peradaban tidak boleh lari daripada tanggungjawab setiap yang bergelar ‘ketua’ dalam mana-mana institusi. Jadi, sama-samalah bertindak memikul amanah dan tanggungjawab untuk membina keperibadian mulia akhlak yang baik kepada sesiapa jua di bawah seliaan masing-masing. Dan jangan menganggap memperkatakan soal nilai tamadun dan peradaban sebagai klise atau ketinggalan zaman.
Bahasa Melayu itu indah. Dipertuturkan oleh tidak kurang 300 juta umat manusia di sekitar Asia. Tidak terganggukah emosi apabila kini semakin sebati dengan ungkapan-ungkapan “Hai guys!”, “Ok guys!”, “Korang tahu tak?”, “Aku nak beritahu korang” dipertuturkan di pentas-pentas formal seperti dalam rancangan-rancangan televisyen tempatan? Apa tindakan pihak-pihak berkenaan dan pejuang-pejuang bahasa dalam melihat isu ini?
Eloklah dicari jalan penyelesaian sewajarnya supaya penodaan bahasa ibunda tidak terus parah sehingga melenyapkan keaslian bahasa warisan bangsa itu. Jangan bersikap lepas tangan. Bagi umat Islam, hayatilah seruan bahawa setiap insan yang dilahirkan adalah sebagai khalifah, iaitu untuk memakmurkan makhluk di atas muka bumi. (al- Baqarah, ayat 30)
Dalam memperkatakan isu kepincangan santun budi nilai budaya ini juga, tidak adil untuk mempersalahkan golongan anak muda sepenuhnya. Golongan ini patut diberi panduan dan pengajaran secukupnya sama ada disampaikan secara formal atau secara memberi contoh teladan yang baik. Hapuskan gejala dadah yang banyak membuatkan struktur masyarakat menjadi terganggu dan pincang.
Selamat datang tahun baharu 2022! Semoga tiada lagi terjelma kepada masyarakat isu-isu seperti buli di pusat-puat pengajian dan tiada berlaku lagi keganasan rumah tangga, sementara kadar salah laku dan salah guna kuasa biarlah semakin menurun, kalaupun tidak terhapus semuanya.
Mari kita cari dan mengutip kembali nilai-nilai ketinggian tamadun bangsa seindah ungkapan, bersatu teguh, bercerai roboh; bergotong-royong, sederak seganding; bahasa jiwa bangsa; biduk berlalu, kiambang bertaut; cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit; dan banyak lagi.
Jangan bohongi perasaan bahawa hidup sentiasa impikan damai dan keindahan!
Oleh: DATUK Sayuti Mukhtar
penganalisis sosiopolitik tanah air.
No comments:
Post a Comment