Ini adalah pakej bantuan banjir yang cukup tinggi (mungkin tertinggi dalam sejarah bantuan bencana dalam negara).
Namun, memang lumrah dalam krisis sebegini pasti ada unsur-unsur politik mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Yang menggusarkan adalah desakan beberapa ahli politik supaya kerajaan mengizinkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas dasar membantu mangsa banjir.
Apakah tujuan sebenar di sebalik desakan ini? Alasan membantu mangsa banjir bukanlah hujah kukuh untuk mengizinkan pengeluaran simpanan KWSP, lebih-lebih lagi dengan adanya pakej bantuan banjir begitu besar baharu diumumkan.
Malah pada 2014, sewaktu banjir besar melanda Pantai Timur sehingga 300,000 isi rumah terjejas, kerajaan Pusat tidak pula membenarkan pengeluaran KWSP.
Justeru, amat menghairankan kenapa hari ini ada ahli politik yang mendesak lebih banyak pengeluaran KWSP dibuat atas alasan banjir. Menurut angka yang diumumkan KWSP, sepanjang program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, seseorang ahli KWSP (bergantung kepada jumlah simpanan) boleh membuat pengeluaran sehingga RM71,000.
Ini bukanlah angka yang kecil. Maka tidak hairanlah sejak tahun lalu, sebanyak RM101 bilion disalurkan keluar dari KWSP melalui ketiga-tiga program tersebut.
Kesan daripada jumlah pengeluaran ini adalah amat membimbangkan apabila 6.1 juta ahli KWSP kini mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.
Lebih menyedihkan, daripada jumlah itu, 3.6 juta ahli mempunyai baki kurang RM1,000. Kebanyakan mereka adalah bumiputera.
Mungkin disebabkan ketandusan idea atau sekadar meraih kepopularan menyebabkan ahli politik terbabit membuat desakan yang bukan sahaja tidak memberi penyelesaian mampan, malah mendorong kepada kewujudan generasi pesara yang kekeringan simpanan pada hari tua mereka.
Adalah menyedihkan melihat hari ini keteguhan simpanan KWSP dipertahankan oleh hanya segelintir tokoh dan wakil kesatuan pekerja, sedangkan isu ini membabitkan masa depan berjuta-juta rakyat.
Jika simpanan KWSP tidak dipertahankan, isu ini berisiko suatu hari nanti menjadi beban kepada generasi muda.
Jika warga emas kita tidak lagi mampu menyara keperluan dan kos kesihatan, pastinya kerajaan dan rakyat yang lebih muda sebagai pembayar cukai pada waktu itu perlu menanggung tanggungjawab ini.
Ramai ahli politik tahu apa masa depan kelam yang menunggu bakal pesara dan generasi tua jika pengeluaran awal dibenarkan berterusan.
Di manakah suara pembangkang yang dahulu sering kali menentang penyalahgunaan dan eksploitasi dana KWSP? Kenapa kali ini mereka memilih untuk hanya berdiam diri?
Oleh: ISMAEL YUNUS
Shah Alam.
No comments:
Post a Comment