Akhbar berpangkalan di Hong Kong, South China Morning Post (SCMP) menyifatkan kontroversi yang menyelubungi Azam sekali lagi memberi pandangan negatif kepada suruhanjaya itu yang sebelum ini tercemar dengan tindakan beberapa pegawainya menggelapkan dana rampasan.
Sudah tentu ini bukan perhatian yang kita mahukan dari komuniti antarabangsa. Kita mahukan Malaysia yang dihormati. Malaysia sepatutnya menjadi bualan di peringkat antarabangsa kerana kejayaan membangunkan ekonomi dan menjadi salah satu kuasa penting di rantau ini dan bukannya diketawakan dunia kerana isu rasuah dan integriti.
Sebagai rakyat, kita letih dengan situasi ini. Satu demi satu isu rasuah membabitkan individu berprofil tinggi muncul di negara kita. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyalahgunaan kuasa politik telah menggoyahkan asas kepercayaan antara kerajaan dan rakyatnya.
Saban hari, saban minggu, saban bulan ada sahaja kes-kes rasuah berprofil tinggi muncul. Ada yang dibicarakan. Ada pula yang terlepas begitu sahaja. Hingga ada yang berpendapat ia sudah menjadi satu norma baharu dalam masyarakat kita.
Di samping pendemik Covid-19 yang perlu diterima sebagai norma baharu dalam kehidupan kita, nampaknya berdasarkan kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku, pandemik rasuah juga bakal menjadi penghuni tetap dalam masyarakat kita.
Jika agensi yang diberi tanggungjawab untuk membersihkan rasuah seperti SPRM sekali pun tidak mampu bebas daripada budaya jijik yang juga merupakan dosa besar dalam Islam, apatah lagi dengan agensi-agensi lain. Nampaknya agama yang diajar kepada kita dari kecil tidak mampu menjadi benteng gejala rasuah.
Ada yang berpendapat bahawa tidak ada masyarakat yang wujud tanpa rasuah. Dalam masyarakat tempatan, nepotisme, rasuah, naungan, pakatan sulit dan kartel adalah antara istilah-istilah atau kategori dalam lingkungan kebobrokan rasuah. Ia ibarat satu terowong panjang yang tidak ada penghujungnya.
Rasuah adalah fenomena sosial, politik dan ekonomi yang kompleks yang menjejaskan negara dan menghalang kedaulatan undang-undang. Ia menjejaskan institusi demokrasi, menghakis ekonomi dan menyumbang kepada ketidakstabilan politik. Walaupun tiada definisi rasuah yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, terdapat banyak tindakan yang diiktiraf sebagai bentuk rasuah. Ia termasuk, sebagai contoh, penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyelewengan dana awam, secara berniat jahat mengganggu sistem keadilan atau menyembunyikan keuntungan kewangan daripada rasuah.
Sebab itu dalam budaya Melayu wujud peribahasa yang merujuk kepada rasuah. Tumbuk rusuk, duit kopi dan makan suap. Malah dalam sesetengah keadaan masyarakat, kita seperti akur dengan budaya makan suap dan duit kopi ini.
Rasuah ini sudah bukan rahsia lagi. Boleh dikatakan berlaku di mana-mana. Persepsi itu tertanam dalam fikiran setiap rakyat dari tua sampai kepada yang muda.
Sebab itu apabila kita melihat anggota beruniform tunggu tepi jalan atau menahan serta memeriksa kenderaan perkara pertama keluar dari mulut adalah ‘cari duit kopi’ atau ‘duit poket’. Maksudnya apa? Sudah tentu dikaitkan dengan rasuah.
Oleh itu untuk menangani rasuah dalam masyarakat ia perlu membabitkan integriti individu dan sosial. Banyak situasi harian mencabar integriti dan pertimbangan etika kita – daripada memotong barisan kepada menggunakan kedudukan untuk memberi seseorang kelebihan yang tidak wajar berbanding orang lain.
Sedangkan dalam kalangan penjawat awam sama ada yang beruniform atau tidak, integriti sering diterapkan dan diberi penekanan. Malah kita diikat pula dengan peraturan dan undang-undang bagi memastikan integriti itu dijulang terutama ketika berada di puncak kuasa.
Perkembangan-perkembangan yang berlaku ini menunjukkan bahawa orang kita ini majoritinya cakap tidak serupa bikin. Cakap berdegar-degar mengenai integriti, tetapi akhirnya integriti diletakkan di kaki. Integriti sebenarnya bersifat peribadi ia adalah sifat perwatakan yang perlu dibentuk dan diterap.
Menurut Victoria Cooper yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam menggubal polisi awam termasuk bersama-sama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), integriti berbeza daripada apa yang kita panggil etika, yang mempunyai peraturan dan kepercayaan luaran, semakan, pengimbangan dan akibat untuk tingkah laku tidak patuh.
Integriti dan etika adalah saudara terdekat; walau bagaimanapun, satu individu dan satu lagi komunal. Katanya, integriti ditunjukkan melalui kejujuran dan konsistensi dalam melakukan perkara yang “betul” mengikut nilai, kepercayaan dan prinsip seseorang, walaupun tiada sesiapa yang memerhati.
Seseorang tidak dilahirkan dengan atau tanpa sama ada integriti atau etika; mereka mempelajarinya daripada keluarga dan masyarakat. Penghayatan yang konsisten dan pengukuhan peraturan dan kepercayaan keluarga dan masyarakat untuk tingkah laku yang betul, dari masa ke masa, menjadi pilihan peribadi seseorang, mewujudkan integriti.
“Seseorang boleh memilih untuk menerima pakai peraturan, nilai, kepercayaan, dan prinsip keluarga, masyarakat, atau gabungan kedua-duanya dalam menentukan peraturan yang dipatuhi oleh seseorang.
“Ia bertentangan dengan peraturan dan kepercayaan ini, pada peringkat peribadi dan masyarakat, orang itu dianggap “mempunyai integriti” atau tidak dan masyarakat dianggap “beretika” atau tidak,” katanya.
Apakah maksud ini untuk usaha pencegahan rasuah? Untuk mengarusperdanakan integriti, mesti disertai dengan set peraturan, nilai, kepercayaan dan prinsip yang sama yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang beretika.
Set peraturan ini termasuk mewujudkan undang-undang dan peraturan. Kalau di pejabat kerajaan ada pekeliling yang perlu dipatuhi. Malah untuk memantapkan usaha membasmi rasuah ini, Malaysia menukar agensinya daripada Badan Pencegah Rasuah kepada SPRM.
Malangnya, semuanya kod tingkah laku dan inisiatif yang telah diambil ini tidak berkesan dalam mengurangkan rasuah jika integriti individu tidak ditangani.
Sebab itu untuk menjadi ketua atau pemimpin bukan sahaja kena bersih, tetapi mesti kelihatan bersih. Seseorang itu mungkin tidak ambil rasuah, tetapi apabila dia berbelanja melebihi kemampuan, menggunakan kenderaan mewah, rumah besar dan sebagainya ia menimbulkan persepsi yang tidak elok bukannya kepada dirinya tetapi juga organisasi yang diwakilinya.
Tidak melakukan jenayah, tetapi duduk dan minum semeja dengan penjenayah pasti akan menimbulkan syak wasangka. Sudah masuk tahun ke-65 kita merdeka, tetapi isu integriti seolah-olah makin mengundur ke belakang.
Oleh: Aznan Bakar
Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
No comments:
Post a Comment