Tuesday, January 4, 2022

3D: Dahulukan Orang Kita…

KELMARIN saya berbual panjang dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau menarik perhatian saya tentang keputusan kerajaan bulan lepas yang bersetuju pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain sektor perladangan.

Saya cuba imbas balik apa yang disebut Hishamuddin kerana sudah terlepas pandang berita yang saya kira ‘besar’ itu. Setelah menyemaknya, benar ada satu kenyataan disebut oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada 10 Disember 2021.

Kata Saravanan, mesyuarat Kabinet awal Disember itu bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Sebelum itu, menteri berkenaan dilaporkan berkata, negara berdepan masalah kekurangan pekerja yang kritikal membabitkan lima sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) iaitu perladangan, pembuatan, pembangunan, pertanian dan perkhidmatan kerana tidak mendapat sambutan rakyat tempatan.

Menyambung kembali sembang santai dengan Hishamuddin, kami senada – bersetuju 2022 adalah tahun harapan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Laporan Prospek Global Separuh Pertama 2022 OCBC yang dikeluarkan Disember 2021 menyatakan kadar pengangguran di negara ini kekal tinggi pada 4.6 peratus.

“Walaupun ia telah turun daripada kemuncak 5.3 peratus tahun lepas (2020), kadar itu kekal di atas kadar sebelum pandemik pada 3.3 peratus, satu petanda menunjukkan impak pandemik ke atas pasaran masih lagi berterusan,” kata laporan itu.

Laporan berkenaan menyebut: “Terdapat harapan untuk pemulihan ekonomi Malaysia dalam melangkah ke 2022, didorong antara lain, kadar vaksinasi tinggi yang akan membolehkan pembukaan semula ekonomi lebih mampan.”

2022 TAHUN HARAPAN
Ya, 2022 tahun harapan. Setiap isi rumah cuba membina semula simpanan mereka yang susut dengan ketara semasa pandemik.

Saya memerhati data-data dengan kebimbangan cukup tinggi. Bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus atau 37,200 kepada 202,400 orang (2021) daripada 165,200 pada 2019. Pertambahan itu melibatkan pemegang ijazah sebanyak 22,400 dan diploma (14,800).

Di sebalik itu, lebih dua juta rakyat asing bekerja dalam sektor 3D yang disebut Saravanan tadi ketika negara berdepan jumlah pengangguran belia tempatan kira-kira setengah juta orang berumur 15 hingga 24 tahun.

“Tangguhkan dulu hasrat bawa masuk pekerja asing ke satu tempoh, mungkin sehingga Julai tahun ini,” kata Hishamuddin kepada saya, merujuk keputusan Kabinet 10 Disember itu.

MHO, katanya, tidak menafikan wujud keperluan pekerja asing tersebut.

“Tetapi bukanlah terhadap semua sektor yang menghadapi keadaan dikatakan itu. Kajian di lapangan mendapati naratif agak berbeza mengenai keadaan yang berlaku ini,” katanya.

Akui Hishamuddin yang mengikuti secara dekat perkembangan migran di negara ini, memang ada keperluan mendesak terutama dalam sektor 3D berikutan kurang mendapat perhatian masyarakat tempatan. Dan lebih suka mengambil peluang terhadap gigwork yang menjadi trend di seluruh dunia ketika ini.

“Jadi, MHO melihat ada rasional terhadap perkara tersebut. Namun mengenai sektor lain, MHO tidak lihat keadaan bekalan guna tenaga yang kritikal dari dalam negara sekiranya pihak industri terlibat menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam perkara ini.

Tegasnya: “Semua pihak kena bersikap jujur termasuk di pihak membuat dasar dalam menangani isu ini bersama dan bagaimana menarik minat pekerja tempatan dalam menceburi bidang tersebut.

“Setiap pihak misalnya mesti membuat anjakan dalam model ekonomi kita ke arah capital investment daripada mengharapkan labour cost incentive yang mana Malaysia sendiri tidak memiliki sumber manusia yang ramai.”

Negara ini sebenarnya mempunyai sumber tenaga manusia berpengetahuan atau berilmu berbanding negara ketiga yang lain. Modal insan sumber tenaga manusia di Malaysia melalui program Kementerian Pendidikan dalam sistem menengah dan tinggi berupaya memenuhi keperluan guna tenaga dalam negara.

Namun, sekali lagi pihak industri berkaitan dilihat tidak bersama dalam perkara ini. Sebagai contoh di sektor perkilangan ketika ini, dengan tangga gaji RM1,600 yang ditawarkan kepada warga asing yang kita tidak pasti tahap pendidikan mereka. Sebaliknya ternyata pekerja tempatan lebih baik tetapi turut tidak mendapat sambutan.

Apatah lagi ditawarkan kepada pekerja tempatan.

GAJI MINIMUM
Jadi, bagaimana untuk kerajaan merungkai permasalahan ini? Kata Hishamuddin: “Sekiranya gaji minimum antara RM2,000 hingga RM2,500 bergantung kepada status ekonomi negeri-negeri tertentu dilaksanakan, MHO percaya tawaran kerja 3D ini akan dipenuhi oleh pekerja tempatan yang amat terkesan dengan pandemik dan banjir baru-baru ini.

“Golongan ibu tunggal dan yang seumpamanya harus diberi tempat mengisi keperluan ini.

“Mungkin boleh juga dicadangkan supaya kerajaan memberi pelbagai insentif kepada mana-mana majikan yang mahu mengambil pekerja tempatan dengan tangga gaji y menarik diberikan insentif potongan cukai korporat sebanyak 50 peratus atau satu kadar tertentu,” katanya.

Kata Hishamuddin lagi: “Kita harus fikirkan kenapa orang kita sanggup berhijrah ke Australia dan Korea semata-mata untuk bekerja di sektor ladang? Ini disebabkan teknologi mesin yang digunakan dan tawaran gaji menarik di samping tukaran mata wang asing.”

Senada dengan Hishamuddin, saya yakin untuk menjawab keperluan tenaga warga asing dalam menampung kekurangan orang tempatan, satu kajian telus perlu dijalankan Lembaga Sawit Malaysia, Felcra dan Felda serta pertubuhan peladang di setiap negeri mengenai justifikasi keperluan sebenar.

Kita tidak mahu melihat ada pihak atau kartel tertentu mengambil kesempatan dari semua sudut proses membawa masuk pekerja asing dari negara asal sehingga ke tangan majikan di Malaysia.

Dakwa Hishamuddin: “Kami difahamkan menurut beberapa mangsa yang pernah mengadu kepada kami, kos setiap pekerja asing yang hendak masuk ke dalam negara ini menelan belanja sekitar RM20,000 seorang.

“Dibimbangi Malaysia seolah-olah menjadi syurga kepada kegiatan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang dihalalkan dengan pelbagai cara oleh sindiket terlibat.

“Rata-rata setiap warga asing di negara ini menerima gaji antara RM2,800 hingga RM3,000. Ditambah kos levi yang dikenakan setiap tahun ke atas PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementera) di imigresen.

“Peliknya rakyat tempatan sendiri tangga gaji sebegini tidak ditawarkan. Sesuatu tidak kena sedang berlaku dalam sektor guna tenaga manusia di negara kita.”

Kata Hishamuddin: “Elok tangguhkan dahulu. Kerajaan harus lihat sentimen rakyat yang susah ketika ini daripada melihat kepentingan segelintir pihak yang ingin mengambil keuntungan singkat.

“Keperluan guna tenaga tersebut boleh dipenuhi oleh rakyat Malaysia dengan tawaran gaji lebih menarik.”

1 comment:

  1. Datuk Yip Kum Fook always called the police and thugs(gangster) to disturb the Buddhists monks in Samnak Sambodhi Buddhist Temple, recently many people understand your way of life, you do that because you want to control people to them according to your ideas and now many people are angry and do not like you because you do evil to them

    Everything that happened in Taman Desa Jaya and Taman Daya, Kepong... please suspect this Datuk Yip Kum Fook and his team because this is Datuk Yip Kum Fook is the biggest Ghost in the Kepong area, he is a lawyer and has the title of Datuk because (decades) people are afraid of him but now people know who Datuk Yip Kum Fook is

    We wrote a message to announce to the Chinese community that we understand and know who is causing problems in Kepong... when he was MCA chairperson (Taman Daya) many people suffered because he asked for money from our community, now many MCA members are also concerned about that.

    David Tan, Kepong (comment & post to website)



    ReplyDelete