Saturday, January 29, 2022

ISMA, MAPPIM, GAPENA Fail Rayuan Cabar Keabsahan Sekolah Vernakular

BANGI – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Rayuan itu difailkan peguam yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Ia bagi mencabar keabsahan sekolah vernakular kerana membelakangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Rayuan-rayuan itu difailkan masing-masing pada 25, 26 dan 27 Januari.

Peguamcara bagi MAPPIM, GAPENA dan ISMA, Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil serta Tetuan Hariz Syakinah & Co, berkata, alasan utama Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah sah ialah kerana mahkamah berpendapat, bahawa kedua-dua entiti itu bukan ‘pihak berkuasa awam’.

Justeru, urusannya bukan urusan rasmi dan dengan yang demikian ianya tidak berkewajiban di sisi Perlembagaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam proses pengajaran serta pembelajaran.

“Justeru, rayuan di Mahkamah Rayuan nanti akan mencabar dapatan di Mahkamah Tinggi itu serta diharapkan akan dapat menentukan persoalan undang-undang, sama ada SJKC dan SJKT yang ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan dan mendapat dana serta sumber awam, adalah sebenarnya badan awam ataupun tidak (selain dari isu perundangan dan Perlembagaan lainnya),” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Katanya lagi, pihak peguamcara juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawa ketiga-tiga NGO terbabit menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan atau mana-mana bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sebagai satu mata pelajaran.

“Bagaimanapun, MAPPIM, GAPENA dan ISMA menolak mana-mana bahasa asing itu dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam. Ini kerana ianya bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.

“Justeru diharapkan rayuan ini akan dapat memperjelas kedudukan isu Perlembagaan dan tidak dijadikan sebagai isu perkauman oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa SJKC dan SJKT di seluruh Malaysia adalah sah di sisi Perlembagaan. - ismaweb.net

Friday, January 28, 2022

Menghalalkan Pencerobohan....

ADUN PKR Desak Jadikan Tokong Hampir Dihalau, Tempat Tarikan Pelancong
PERAK– Tan Kar Hing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, menggesa supaya kerajaan negeri Perak merangka dasar agar beberapa tokong yang sepatutnya diusir baru-baru ini dapat dijadikan tempat tarikan pelancong.

Pada 10 Januari awal tahun ini, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak telah membatalkan notis pengusiran terhadap 19 tokong yang dibina di atas tanah kerajaan dengan bantuan Pengerusi MCA Perak Dr Mah Hang Soon.

Antara permasalahan utama yang menyelubungi isu tokong terbabit adalah pembinaannya di kawasan gua batu kapur dan ketiadaan surat pemilikan tanah oleh pihak tokong, di mana ADUN PKR terbabit menggesa supaya undang-undang dipermudahkan untuk memberi kelulusan.

“Apa yang kita perlukan adalah undang-undang di mana selagi syarat-syarat dipenuhi, kelulusan boleh diberikan,” ujar beliau seperti yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insight.

ADUN PKR terbabit juga menyatakan bahawa jawatankuasa khas perlu diadakan bagi membantu mempermudah proses terbabit, di mana jawatankuasa terbabit perlu menangani isu teknikal dan isu pengurusan tokong berkenaan.

“Jawatankuasa khas sepatutnya mempunyai dua pasukan, satu untuk melihat isu teknikal yang dihadapi oleh tokong yang akan diusir, dan pasukan kedua untuk merangka dasar pengurusan tokong gua,” tambah beliau lagi.

Parti Berjasa Perak, baru-baru ini menyuarakan tentangan terhadap penarikan balik notis pengusiran terhadap 19 tokong terbabit, di mana Pengerusi Badan Perhubungan Berjasa Perak, Shaharuzzaman Bistaman mempersoalkan ketegasan kerajaan.

“Amat malang sekali apabila isu ini diambil enteng tanpa tindakan tegas dari pihak berkuasa,” tegas beliau seperti yang dilaporkan portal MalaysiaGazette.

Sumber: samudera.my

Hanya Tiga Parti Politik Pertahankan Raja Berperlembagaan

SHAH ALAM – Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz menyatakan bahawa hanya tiga parti yang menyebut tentang peruntukan perlembagaan parti untuk memelihara institusi raja-raja sama ada secara tersurat atau tersirat yang lain.

“Daripada lapan parti politik utama yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), hanya UMNO, BERSATU dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyebut peruntukan berkaitan dengan kedudukan Raja di dalam perlembagaan parti mereka.”

Perlembagaan ketiga-tiga parti jelas menyatakan akan sentiasa mempertahan, menjaga kedudukan raja berpelembagaan, menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi raja berperlembagaan serta menghormati sistem raja berpelembagaan, kata Prof Shamrahayu.

Justeru, menyedari akan hakikat ini, Profesor Shamrahayu menasihatkan, sebelum menyertai parti politik, bacalah perlembagannya terlebih dahulu supaya dapat mengetahui asas perjuangan parti tersebut.

“Sekiranya kita mahu mengambil pendekatan perjuangan melalui parti-parti politik bagi institusi beraja ini, maka perhatikan dulu perlembagaan parti.”

Bukan itu sahaja, pucuk pimpinan parti atau kepimpinan dalam parti juga perlu sentiasa ada di tangan mereka satu naskhah perlembagaan bagi mengingatkan para pemimpin dan juga bagi mengingatkan diri sendiri bahawa setiap perjuangan itu hendaklah berdasarkan kepada perlembagaan parti.”

Profesor Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) berkongsi perkara tersebut di dalam satu webinar “Kepimpinan Melayu Dan Institusi Raja-Raja” yang berlangsung pada 9 Januari 2022. - samudera.my

Vaksinasi: Cegah Atau Rebah Rakyat?

BARU-BARU ini timbul spekulasi mengaitkan vaksin Covid-19 mengandungi bahan racun kimia dan spike protein. Perkembangan ini amat mengejutkan dan sebagai rakyat, kami mula merasakan ada sesuatu perkara yang mahu disembunyikan oleh kerajaan.

Tanggungjawab Kementerian Kesihatan adalah untuk menjaga kepentingan kesihatan dan nyawa rakyat. Justeru, satu penjelasan jujur harus diberikan supaya rakyat di luar sana mendapat kefahaman yang betul.

Ini kerana terdapat kemusykilan selepas banyak kematian mengejut dilaporkan sejak program vaksinasi dilaksanakan. Bahkan, difahamkan ada kes-kes yang tidak dilaporkan dalam media massa.

Malah, pelbagai mitos timbul sejak awal lagi sehingga mendapat pelbagai reaksi berhubung penghasilan vaksin Covid-19. Ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan vaksin tersebut.

Ini termasuk kes terbaharu membabitkan bapa Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin apabila pihak hospital mengesan advers susulan imunisasi (AEFI) selepas suntikan dos penggalak.

Diharap Kementerian Kesihatan terutama menterinya buka mata dan sedia mendengar rintihan dan kekesalan rakyat yang terkesan akibat kesan sampingan suntikan vaksin dan dos penggalak.

TOK WALI SONGE
Bayan Mutiara, Pulau Pinang

UMNO Cakap Soal Maruah, Tapi Masih Julang Pemimpin Bermasalah Integriti?

BANGI – Kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa UMNO mahu bergerak solo bukan sebab tamak tetapi demi menjaga maruah, adalah ironi kerana bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun keladi.

Presiden Parti BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, sekiranya benar UMNO ingin menjaga maruah, mengapa semua pimpinan parti itu tidak menolak beberapa pemimpinnya yang terpalit dengan kes mahkamah.

Sebaliknya, dakwa beliau, UMNO masih menjulang pemimpin bermasalah integriti.

“Ini yang sepatutnya dibuang oleh UMNO demi menjaga maruah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Nur Jazlan yang merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mempertahankan keputusan UMNO negeri untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi kebaikan parti itu.

Keputusan itu dibuat selepas UMNO kecewa dengan PAS yang berdolak-dalik dengan kerjasama kedua-dua parti.

“Dulu UMNO dilihat macam terhegeh-hegeh, menginding-nginding mempertahankan Muafakat Nasional (MN). Tapi PAS beri macam-macam alasan, tak mengapalah. Disebabkan sikap berterusan PAS itu, UMNO Johor berpandangan lebih baik bertanding solo seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ini bukan soal tamak kuasa ke apa tapi ini soal maruah. Dalam politik perlu ada pendirian yang teguh, pendirian tidak boleh goyah,” katanya.

Walau bagaimanapun, mengulas keseluruhan situasi, Ustaz Zamani berkata, BERJASA masih melihat bahawa PRN Johor berlaku adalah disebabkan ketamakan.

Beliau mendakwa, tindakan menyegerakan PRN Johor juga adalah strategi untuk menyelamatkan UMNO dan beberapa pimpinan yang terpalit dengan kes mahkamah.

Manakala PAS pula dilihat masih ingin mencari kekuatan untuk menang pada PRN Johor, katanya lagi.

Namun, tegasnya, BERJASA berpandangan bahawa adalah lebih baik PAS menjadi sebuah parti yang mampu membawa semua parti Melayu dan Islam untuk menuju ke satu persefahaman serta jalinan kerjasama demi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sudah hampir.

“Kita tahu selain UMNO, sudah banyak parti ditubuhkan, biarkan UMNO bergerak solo untuk PRN Johor ini di masa yang sama PAS susun strategi menyatukan kerjasama dengan parti-parti sedia ada seperti BERJASA, BERSATU, PUTRA, MUDA, AMANAH, PEJUANG dan lain-lainnya.

“Saya tahu tentu ada cabarannya kerana tidak semua parti tersebut mudah untuk dibawa ke meja perbincangan, namun usaha yang murni demi agenda agama, bangsa dan negara tentunya membuahkan hasil,” katanya.

Lebih mengukuhkan lagi keperluan kerjasama ini, katanya, adalah apabila BERJASA melihat UMNO masih berwajah lama dan tidak ada agenda agama, bangsa dan negara.

“Agenda parti untuk parti masih kuat membelenggu hala tuju UMNO malah disendal pula dengan agenda peribadi yang tiada kesudahannya,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Zamani berkata, pihaknya mengakui bahawa UMNO akan menang atas kelemahan Pakatan Harapan (PH) dan peratus keluar mengundi yang rendah.

“Inilah antara strategi yang hendak direbut oleh UMNO dan menyegerakan PRN Johor sebenarnya.

“Kalau benar benar demi maruah, singkirkan dahulu pemimpin yang terlibat dengan kes rasuah dan kerosakan integriti.

“Selagi itu hidup subur dalam UMNO, janganlah bercakap demi maruah, malah bercakap demi maruah dalam keadaan masalah integriti masih teruk, itu pun tidak bermaruah,” katanya. - ismaweb.net

Thursday, January 27, 2022

Nasib Zahid, Masa Depan UMNO

PROSES mahkamah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui tempoh yang panjang. Ahli politik khususnya ahli UMNO dan rakyat mengikuti dan memerhati proses mahkamah yang panjang itu. Ia dilihat penting dengan kedudukan Ahmad Zahid sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sebuah parti politik yang mempunyai sejarah cemerlang dan sekarang sedang menyusun strategi kebangkitan semula serta masih mempunyai peluang menguasai kembali teraju politik negara.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Isnin lalu memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. Keputusan ini pastinya mempunyai implikasi besar kepada masa depan politik beliau, UMNO serta proses percaturan kuasa politik negara.

Dalam hal ini, kita harus melihat UMNO bukan Ahmad Zahid dan Ahmad Zahid bukan UMNO. Ini perlu ditafsirkan dan perlu pengertian mendalam dan benar-benar berani. Kita mesti kembali kepada prinsip dan peraturan ditetapkan UMNO.

Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 25 Mei 2009 mesti dirujuk dan diperkukuhkan pelaksanaannya. Dalam keputusan MT ini ditetapkan seseorang yang dikenakan tuduhan di mahkamah, maka jawatannya dalam parti (UMNO) akan digantung. Sekiranya seseorang itu berjaya dalam proses mahkamah dan didapati tidak bersalah, jawatan asal dalam parti dikembalikan semula.

Ini adalah suatu yang murni kerana walaupun belum dijatuhkan hukuman, tetapi untuk seseorang dikenakan sesuatu pertuduhan, ia mesti mempunyai suatu asas dan bukti yang perlu mengikut prosedur dan peraturan mahkamah. Seseorang yang ‘benar-benar bersih’ tidak mungkin dibawa dibicarakan di mahkamah.

Bagi seseorang yang menjadi pemimpin ‘nilai bersih dan suci’ daripada unsur-unsur kesalahan adalah sangat wajar bagi menarik sokongan rakyat. Seseorang pemimpin yang dituduh perlu memberikan perhatian kepada proses mahkamah bagi membolehkan ia berjalan lancar dan keputusan yang cepat dan terbaik dapat dilakukan.

Pemimpin parti politik perlu menunjukkan dan membuktikan dia bersih sebagai contoh dan tauladan kepada rakyat dan ahli parti dipimpinnya.

Apa yang berlaku kepada Ahmad Zahid ini menjadi bertambah penting dengan perkembangan UMNO dan politik negara sekarang. UMNO sedang mengalami kebangkitan semula dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berlangsung dalam tempoh tidak lama lagi (selewat-lewatnya 2023). Tempoh satu tahun lebih adalah singkat bagi membuat perancangan dan strategi sesebuah parti politik.

UMNO perlu bertindak cepat jika benar-benar mahu menguasai semula politik negara. Paling penting adalah faktor kepimpinan UMNO. Tanpa pemimpin yang benar-benar ‘bersih’, berkebolehan dan diterima umum, sukar bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit semula.

FORMULA
Dalam hal ini, adakah kepimpinan Ahmad Zahid boleh diterima oleh ahli UMNO dan rakyat? Adakah pengundi akan memberi undi kepada parti politik diterajui oleh seorang pemimpin yang mempunyai kes mahkamah dan keputusan seperti diterima Ahmad Zahid? Jawapan mudahnya, tidak boleh diterima.

Secara formula mudah, Ahmad Zahid sebagai Presiden parti akan menjadi Perdana Menteri jika UMNO/BN menang PRU15. Pastinya rakyat tidak mahu dan tidak boleh menerima seorang seperti Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Secara prinsip mudah, UMNO perlu melakukan sesuatu agar permasalahan Ahmad Zahid selesai. Peraturan dan keputusan MT UMNO perlu diambil kira bagi kebaikan parti dan politik negara. Adakah awatan Presiden disandang oleh Ahmad Zahid perlu diambil-alih oleh orang lain sehingga kes mahkamahnya selesai?

Ahli dan pimpinan UMNO perlu berkorban demi kebaikan parti. Presiden dan tokoh seperti Ahmad Zahid silih berganti. UMNO adalah milik semua ahli UMNO dan bangsa Melayu amnya. Pengorbanan demi kebaikan parti dan kepentingan negara adalah perlu. Ia bukan bersifat ‘pilihan’ tetapi keputusan yang mesti dibuat.

Kita perlu mengambil pengajaran daripada sejarah percaturan politik UMNO lalu. Sebagai contoh mudah, dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Disember 2015 menghadapi krisis dan isu besar. Berlaku pertembungan antara Timbalan Presiden dan Presiden parti. Keputusan dan kritikan berani Timbalan Presiden (dan juga seorang Naib Presiden) tidak cuba diselesaikan oleh pimpinan dan perwakilan pada masa itu.

Sebahagian besar ahli dan perwakilan tidak berani menyuarakan persoalan sebenar yang sedang berlaku waktu itu. Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Presiden parti tidak dibincang secara ‘bersih’ dan ‘ilmiah.’ Apa yang berlaku, perwakilan serta ahli dan kepimpinan tetap memberikan sokongan dan ‘pemujaan’ kepada presiden. Slogan yang dibangkitkan, “kita tangguhkan pemilihan presiden, kita tumpukan kepada PRU14.”

Nah, kita lihat apa yang berlaku kepada nasib UMNO dan BN dalam PRU14. UMNO dan BN ditolak rakyat (bahkan ahli UMNO sendiri pun ada yang tidak memberi undi kepada BN/UMNO). Kenapa ini berlaku? Kerana ahli UMNO dan kepimpinan tidak meletakkan kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan dan ‘taat yang membuta’ kepada Presiden.

Tulisan ini bukan sekadar mengungkit peristiwa lalu yang tidak mungkin diputar balik. Tujuannya mengambil pengajaran supaya tidak berulang dan membawa kesan buruk kali kedua.

UMNO mesti dipimpin oleh seorang pemimpin bersih, tidak ada kaitan dengan mahkamah dan tuduhan rasuah serta salah guna kuasa. Pimpinan dan ahli UMNO mesti berani bersuara dan bertindak mengikut saluran yang betul.

UMNO bukan untuk seseorang dan bukan hanya kepentingan pihak tertentu. UMNO milik semua ahli dan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya.

Pimpinan adalah pembawa arah, salah pilih pemimpin tersasarlah arah parti. Kesucian pimpinan adalah obor penerang arah parti. Jika pemimpin terpalit kekotoran, gelap dan kaburlah arah parti.

Oleh: PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid
Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Harga Naik Buat Rakyat Berang

KENAIKAN harga barangan terus menjadi fenomena yang menghantui kehidupan rakyat. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menjangkakan semua barang akan mengalami kenaikan harga luar biasa selepas sambutan Tahun Baharu Cina, bulan depan.

Kenaikan harga barangan itu didorong oleh lonjakan kos pengangkutan lebih sekali ganda selepas bencana banjir khususnya dari kawasan pengeluar terbesar yang mempunyai banyak kilang iaitu Shah Alam.

Kenaikan mendadak harga barangan keperluan harian terutama sektor makanan bagai duri dalam daging kerana sedikit sebanyak membantutkan proses pemulihan ekonomi rakyat.

Kenaikan harga barang secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah kerana ia memberi kesan terhadap kos sara hidup dan kuasa beli mereka.

Dalam situasi mencabar ini, campur tangan pemerintah sebagai pihak bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal kebajikan dan kemaslahatan rakyat sangat diharapkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan yang dilihat semakin menggila.

Wakil agensi dan jabatan berkaitan perlu turun padang memantau kenaikan harga barangan bagi mengenal pasti punca dan menentukan solusi terbaik yang dapat diterapkan untuk menangani permasalahan tersebut.

Pihak pemerintah perlu merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan harga barang kembali stabil.

Antara pelan jangka pendek yang boleh dilaksanakan ialah melalui pemberian subsidi kepada pemain industri agar rantaian harga kos bermula dari pembekal dapat dikawal sekali gus boleh menstabilkan harga.

Pelan jangka panjang yang boleh dirancang pula adalah dengan meningkatkan produktiviti industri makanan dan sektor-sektor berkaitan ke tahap optimum supaya bekalan sentiasa mencukupi.

Sekiranya terdapat bukti kenaikan harga barang disebabkan tindakan pembekal mahupun peniaga seperti monopoli, kecurangan atau permainan harga oleh orang tengah, maka pihak pemerintah boleh melakukan intervensi melalui mekanisme penetapan harga bagi memastikan harga yang sepadan serta terjangkau oleh kemampuan poket rakyat.

Mekanisme penetapan harga boleh dilaksanakan setelah diadakan perbincangan bersama pakar-pakar ekonomi melalui pertimbangan terhadap kemaslahatan peniaga dan pembeli.

Namun, pihak pemerintah perlu menetapkan harga suatu barang secara adil, rasional dan wajar dengan mengambil kira kos modal, pengangkutan dan keuntungan pihak pembekal termasuk peniaga sehingga mereka tidak dirugikan.

Mekanisme itu hakikatnya telah menjadi kelaziman dan diterapkan oleh pemerintah di negara ini yang bertindak meletakkan harga siling, iaitu harga maksimum yang ditetapkan dan dibenarkan kepada para peniaga terhadap sesuatu barang.

Jika masih lagi terdapat pembekal atau peniaga yang berdegil dengan tetap menjual lebih mahal berbanding harga maksimum ditetapkan, maka pihak berkuasa boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Secara tidak langsung, ia menggambarkan kemaslahatan rakyat juga dapat dicapai melalui penguatkuasaan undang-undang oleh pihak pemerintah.

Ia sedikit sebanyak dapat meredakan kemarahan rakyat yang acap kali bersikap berang terhadap kenaikan harga barang.

Oleh: MUHAMMAD FAHMI MD. RAMZAN
Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre

Wednesday, January 26, 2022

Kerajaan Tak Tegas Kawal Harga Barang?

HARGA barangan terutama barang kawalan atau barang dapur seperti daging, sayuran dan rempah ratus sering kali naik terutama menjelang musim perayaan. Disebabkan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memperkenalkan pelbagai kaedah seperti Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), Harga Patut dan sebagainya untuk mengawal dan mengekang kenaikan harga selain mendenda peniaga yang mengambil kesempatan menjual pada harga terlalu tinggi di bawah Akta Pencatutan.

Kita dapati kaedah ini dapat mengawal hanya kenaikan harga pada waktu sementara seperti SHMKM yang akan tamat pada 4 Februari nanti. Selepas tarikh itu, rakyat diminta memahami serta menerima sebarang kenaikan harga dengan pelbagai alasan.

Tindakan tersebut tidak wajar ketika majoriti rakyat masih dihimpit kesengsaraan hidup akibat penularan pandemik Covid-19. Masih ramai yang hilang pekerjaan dan ditimpa dugaan apabila harta benda rosak akibat banjir besar baru-baru ini.

Sebaliknya kerajaan disaran melanjutkan lagi tempoh SHMKM atau memperkenalkan kaedah pengawalan harga yang menyeluruh dan seterusnya menstabilkan harga terutama barang dapur.

Terbuktilah kata-kata penjual sebelum ini tentang beberapa barang atau perkhidmatan akan naik pada tahun depan (tahun ini) seperti tayar, servis kenderaan dan barang basah.

Pada masa sama, kerajaan tidak boleh berdiam dalam situasi ini sebaliknya harus turun padang dan berjumpa peniaga untuk mendapatkan maklumat tentang kenaikan harga di pasaran. Jangan terima bulat-bulat alasan mereka yang menyerap kerugian semasa pandemik untuk menaikan harga. Ia tidak masuk akal sedangkan mereka naikkan harga hampir 50 peratus sementara barangan berkaitan kenderaan pula naik antara 100 hingga 200 peratus pada tahun ini.

Sedar atau tidak, tindakan peniaga itu memberi tekanan kepada pengguna. Jadi, lebih baik kerajaan memperkenalkan skim kawalan harga bersasar dan menyeluruh kepada semua barangan pengguna. Ini kerana kita tidak mahu terjadinya kenaikan barangan secara mega sekali gus menjejaskan pengguna terutama golongan B40 dan ke bawah.

Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dan bijaksana dalam membantu rakyat menghadapi kenaikan harga mega ketika ini. Jadilah kerajaan yang baik dan tidak gagal dalam menjadi juara menentukan harga minimum.

Oleh: ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang

Najib Dan Zahid Perlu Berundur Untuk Pulihkan Imej Umno

PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Penasihat Barisan Nasional (BN) jika parti itu berniat membersihkan imejnya yang terpalit dengan kumpulan korupsi, kata bekas Ketua Hakim.

Abdul Hamid Mohamad berkata, jika Umno dan gabungan itu gagal menangani perkara berkenaan, ia boleh menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah Johor.

Beliau berkata, perkataan seperti ‘rasuah’, ‘penyalahgunaan kuasa’ dan ‘integriti’ akan mempengaruhi pengundi muda.

Dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 6% daripada 2.5 juta pengundi di Johor, terdiri daripada mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun.

Hamid berkata, pembangkang akan menggunakan perkataan itu sebagai senjata untuk melawan Umno dan mudah mempengaruhi golongan muda.

“Umno tiada pilihan. Ia perlu hapuskan imej sebagai parti yang korup. Ia mesti ‘merehatkan’ pemimpin yang terlibat atau terbabit dengan rasuah. Najib dan Zahid mesti berundur,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, ketika Mohamad Hasan memangku jawatan presiden parti pada Dis 2018, BN menang tiga pilihan raya kecil berturut-turut iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Mohamad mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Zahid mengambil cuti bagi mengelak lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika itu.

Hamid berkata, beliau berasa lega dan mengharapkan ia tanda Umno sudah mula pulih.

Bagaimanapun enam bulan kemudian, Zahid kembali menerajui, manakala Najib dibawa masuk sebagai penasihat BN pada 2019.

“Saya melihat ini sebagai petanda Umno tidak akan berubah. Dan apa yang berlaku sejak itu sehingga hari ini, menunjukkan Umno menuju ke arah itu.”

Jelas Hamid, Najib dan Zahid dilihat mahu menggunakan Umno untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah manakala Ahli Majis Kerja Tertinggi (MKT) menuruti perancangan mereka.

Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah pada Julai 2020 dengan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau sedang merayu kes itu.

Zahid baru-baru ini diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.  - freemalaysiatoday

PRN Johor : Bertandinglah Dikawasan Majoriti Cina....

Undi Cina kembali kepada MCA?
SAYA amat tertarik dengan satu kajian mengenai sokongan masyarakat Cina ke atas MCA selama empat dekad sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1986. Selama empat dekad politik Cina hanya tiga parti terbesar yang memainkan peranan utama iaitu MCA, Gerakan dan DAP.

Tetapi sejak PRU 2008, Gerakan ditolak oleh masyarakat Cina kerana beberapa isu melibatkan ketokohan kepimpinan parti tersebut. Namun, peratusan tidak keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina masih dalam anggaran 10 peratus.

Walaupun begitu, terdapat juga pengundi Cina yang menyokong selain daripada tiga parti tersebut seperti Pas, UMNO, PKR dan sebagainya. Golongan ini adalah minoriti dalam politik Cina yang memberikan satu dimensi politik asimilasi dengan politik Melayu.

Data bancian menunjukkan pengundi Cina paling ramai adalah di Pulau Pinang sebanyak 45 peratus diikuti Kuala Lumpur (43%), Johor (33%), Perak (30%) dan Sarawak (25%) daripada keseluruhan pengundi negeri-negeri tersebut.

Kegagalan MCA berpunca daripada kepimpinan yang kurang memberi tumpuan dan fokus kepada negeri-negeri mempunyai pengundi Cina paling ramai.

Persaingan antara MCA dan Gerakan dalam gabungan Barisan Nasional (BN) merupakan punca kegagalan merangka strategi berkesan mendepani DAP sebagai parti oposisi.

Faktor ini boleh disumbangkan oleh kepimpinan Tun Dr. Ling Liong Sik yang terlalu lama dalam kepimpinan MCA sejak September 1986 hingga Mei 2003.

Dasar kepimpinan MCA terlalu memberi perhatian kepada masyarakat Cina Johor berbanding masyarakat Cina negeri lain. Akhirnya, polisi MCA dilihat sebagai polisi suku negeri dan bukannya menunjukkan kebersamaan sebagai satu komuniti Malaysia.

Walaupun begitu, zaman kepimpinan Liong Sik adalah era kegemilangan MCA dalam memperoleh sokongan undi Cina. Ini boleh dilihat antara PRU 1986 hinggalah 1999 menunjukkan MCA berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 45 peratus undi Cina berbanding DAP (28%) dan Gerakan (15).

Kelemahan MCA bermula apabila Tan Sri Dr. Chua Soi Lek dari MCA Johor mengambil alih daripada kepimpinan Liong Sik.

Disebabkan timbul isu skandal dan sikap acuh tidak acuh ke atas politik Cina selain daripada Johor, maka bermula satu tindakan protes dalam kalangan masyarakat Cina ke atas parti itu yang dikatakan masih dikawal oleh MCA Johor.

Ini menyebabkan berlakunya tsunami ke atas Gerakan di Pulau Pinang pada PRU 2008 yang menyaksikan parti itu hanya memperoleh kurang daripada lima peratus undi Cina. Kekalahan Gerakan di Pulau Pinang turut dirasai MCA apabila undi Cina mulai menurun di bawah 40 peratus.

Kegagalan kepimpinan Tan Sri Ong Ka Ting untuk menyelamatkan MCA daripada kejatuhan disumbangkan oleh beberapa faktor. Antaranya, perpecahan yang berlaku sejak sekian lama dalam MCA dan perpuakan MCA mengikut budaya suku politik kenegerian.

TERSUNGKUR
Kepimpinan Ka Ting dari MCA Perak dikatakan gagal mengawal penguasaan MCA Johor ke atas parti itu sendiri. Akhirnya MCA tersungkur dalam PRU 2018 apabila hanya memperoleh lima peratus undi Cina berbanding DAP (77%) dan Gerakan paling teruk sekali (kurang 1%).

Malahan, undi Cina juga tersebar ke gabungan parti Pakatan Harapan (PH) yang tidak mewakili segmen politik Cina. Buat pertama kali, undi Cina keluar daripada kepompong politik etno. Disebabkan itu, PH berjaya menumbangkan BN.

Selama dua dekad lamanya sejak PRU 1999, calon-calon MCA dan Gerakan yang hidup atas kebergantungan undi Melayu di kawasan bukan majoriti Cina juga tumbang.

Kegagalan strategi MCA yang bergantung hidup kepada undi Melayu kini sudah menemui penghujung jalan. Mahu tidak mahu, MCA perlu berusaha bangkit kembali setelah Gerakan meninggalkan BN selepas PRU14.

Kemenangan DAP disebabkan strateginya yang mengutamakan 3E iaitu pendidikan, pekerjaan dan ekonomi. Keutamaan ke atas pendidikan Cina berjaya menarik sebahagian besar masyarakat berpendidikan Cina untuk menyokongnya.

Ini disebabkan kepimpinan Liong Sik sejak 1986 hingga 2003 kurang mengambil berat mengenai hal ehwal pendidikan Cina diikuti kepimpinan Soi Lek.

Akhirnya, golongan berpendidikan Cina dalam masyarakat Cina yang merupakan majoriti pengundi menolak MCA dan memilih DAP sejak PRU 2008.

Dari segi pekerjaan, DAP ingin menyebarluaskan golongan berpendidikan Cina untuk mendapat pekerjaan berbanding golongan berpendidikan nasional.

Isu ini timbul kerana berlakunya lambakan pengangguran bagi golongan berpendidikan Cina. Ini disebabkan majoriti anak-anak muda Cina yang telah tamat pendidikan vernakular Cina menghadapi masalah untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tinggi.

Malahan, kebanyakan mereka turut mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan faktor tertentu.

Disebabkan itu, tanpa ada pekerjaan maka ekonomi kehidupan berkeluarga dalam masyarakat Cina akan mengalami defisit.

Defisit kehidupan ini juga merungkai nilai ekonomi masyarakat Cina yang berpendidikan Cina. Nilai ekonomi juga diterjemahkan ke dalam ekonomi perniagaan tradisi masyarakat Cina dalam peruncitan, keusahawanan kemahiran dan sebagainya.

Tanpa ada pekerjaan, maka ekonomi perniagaan merupakan salah satu cara untuk meneruskan kehidupan. Tetapi disebabkan kemiskinan dan kesukaran untuk mendapatkan bantuan perniagaan, maka sebahagian majoriti masyarakat Cina menghadapi defisit kehidupan terutama pascakrisis 1997.

Berikutan kejayaan DAP menunaikan janji tersebut dalam reformasi dan pembaharuan nilai 3E di Pulau Pinang selepas 2008, situasi ini telah mengubah sebahagian masyarakat Cina khususnya berpendidikan Cina dari kelas menengah mulai mendekati DAP berbanding MCA dan Gerakan.

Penolakan ini akhirnya memberikan satu pengajaran berharga kepada MCA supaya tidak alpa dengan apa yang berlaku dalam masyarakat Cina.
Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tuesday, January 25, 2022

RFID – Mendayung Sampan Ketika Air Cetek

MARKAH untuk Malaysia – idea bijak A, pelaksanaan F. Ini sangat benar untuk teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya baru-baru ini.

Kekecohan pelaksanaan RFID memaksa banyak pihak terpaksa campur tangan. Kementerian Kerja Raya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), persatuan pengguna, dan Kementerian Pengangkutan.

Malah kabinet dan Perdana Menteri terpaksa campur tangan selepas keadaan kelam-kabut berlaku di banyak plaza tol terutama di Lembah Klang yang ada lapan juta penduduk dan penyumbang terbesar kepada kekayaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Jangan salah sangka. RFID tidak bersalah seperti juga bukan salah ibu mengandung. Cuma pelaksanaannya RFID kurang aspek intelek. Mungkin ada yang bangun dari kayangan pada satu pagi dan memutuskan mari kita tutup lorong Smart Tag.

PLUS sememang bertanggungjawab. PLUS tahu jumlah trafik yang melalui setiap lorong Smart Tag di seluruh negara. PLUS ada semua data, jumlah kenderaan yang melalui setiap lorong plaza tol.

Dengan hanya melakukan analisis “Big Data”, PLUS tahu kesan penutupan tiga lorong Smart Tag di Plaza Tol Sungai Besi contohnya. Plaza tol itu menerima puluhan ribu kenderaan setiap hari. Mungkin ada terlupa terdapat ratusan kawasan perumahan dan industri di sepanjang lebuh raya.

Yang peliknya, tiada siapa mengira jumlah RFID yang dijual setiap hari dan membandingkan dengan jumlah trafik. Mana-mana ahli perniagaan tahu peningkatan permintaan digunakan bagi meningkatkan pengeluaran.

Jika penutupan lorong dilakukan mengikut jumlah jualan RFID dan trafik secara berperingkat, keadaan kelam-kabut tempoh hari sudah pasti tidak berlaku.

Mungkin ada pihak mahu pengguna beralih kepada RFID secepat mungkin. RM35 adalah perniagaan lumayan. Harus diingat apa juga cara pembayaran, pengguna lebuh raya tidak menggunakan perkhidmatan secara percuma.

Satu lagi aspek yang meningkatkan suhu kemarahan rakyat ialah kad Touch ‘n Go masih diperlukan. Kebanyakan pusat beli-belah telah mewajibkan kepada pembayaran elektronik untuk meletakkan kenderaan.

Kini pengguna perlu menggunakan Touch ‘n Go dan menyimpan baki sekurang-kurangnya RM20 untuk meletakkan kenderaan di pusat beli-belah. Jadi wang rakyat bersepah di beberapa platform.

Juga apa yang terjadi kepada puluhan juta kad Touch ‘n Go yang diedarkan? Apa berlaku kepada baki wang kad Touch ‘n Go yang tidak lagi digunakan? Adakah baki itu dihantar kepada agensi wang tidak dituntut seperti akaun bank tidak aktif?

Satu lagi perkara yang menimbulkan persoalan ialah penggunaan satu platform e-wallet bagi RFID. Jadi berapa banyak e-wallet harus rakyat ada. Satu untuk beli-belah di Shopee, satu untuk Grab, satu untuk Setel bila membeli minyak, dan Touch ‘n Go untuk RFID. Apa yang gila, terdapat 53 platform e-wallet di negara yang hanya ada 32 juta penduduk.

Kenapa pembayaran tol tidak boleh dilakukan menggunakan mana-mana platform e-wallet? Ada yang lupa kepada pakcik di kampung yang menggunakan telefon 3G perlu mendapatkan telefon 4G, pindah turun aplikasi e-wallet, lakukan pemindahan wang elektronik, dan membeli RFID untuk menggunakan lebuh raya.

Sememangnya, perubahan adalah sukar. Ia bertambah sukar kalau terdapat kelemahan dalam pelaksanaan. Ini hasilnya apabila mendayung sampan ketika air cetak. Keringat, tenaga dan peluh terbuang tetapi pendayung tidak ke mana seperti juga RFID.
Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

UMNO Tidak Boleh Pilih Kasih

TINDAKAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membela diri melibatkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubalan wang haram adalah episod terkini proses perundangan dihadapinya. Meskipun proses perundangan masih belum berakhir, namun perintah oleh Mahkamah Tinggi semalam membuktikan wujudnya prima facie.

Secara keseluruhan, rakyat dan akar umbi UMNO perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah melaksanakan proses perundangan sehingga peringkat tertinggi badan kehakiman negara. Namun dari perspektif politik semasa, imej dan kepercayaan terhadap Ahmad Zahid sebagai ahli politik serta Presiden UMNO semestinya terjejas.

Menyorot kembali perkembangan politik Ahmad Zahid selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan sepanjang perbicaraan di mahkamah, beliau pernah didesak oleh pelbagai pihak termasuk Pemuda UMNO dan kepimpinan parti pelbagai peringkat supaya bercuti daripada menjalankan tugas Presiden. Desakan muncul bagi memastikan UMNO tidak terpalit dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya di mahkamah dan memberi peluang kepada beliau untuk menumpukan kesnya sepanjang perbicaraan.

Oleh demikian, Ahmad Zahid pada Disember 2018 bertindak bercuti daripada menjalankan tugas sebagai presiden dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan memangku jawatan berkenaan untuk tempoh setahun. Tindakan Ahmad Zahid itu meredakan pergolakan dalaman UMNO.

Namun, perkembangan terkini sekali lagi merunsingkan akar umbi dan beberapa pemimpin UMNO terhadap kredibiliti ketua mereka dan imej parti yang semakin kian tercalar selagi iterajui Ahmad Zahid.

Susulan perintah mahkamah tersebut, akar umbi dan pemimpin parti hari ini perlu kembali menyuarakan dan mengangkat semula keputusan Majlis Tertinggi UMNO (MT) pada 29 Mei 2009 yang menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti iaitu seseorang yang dikenakan tuduhan di mahkamah, jawatannya dalam parti akan digantung.

Sekiranya dia berjaya dalam proses mahkamah, jawatan yang disandang akan dikembalikan. Keputusan MT ini jelas dan Ahmad Zahid Hamidi juga tidak boleh terlepas daripada dikenakan penggantungan jawatan selagi proses perundangan di mahkamah belum selesai.

DWISTANDARD
Apatah lagi UMNO-Barisan Nasional (BN) sedang melalui proses kebangkitan semula menerusi pilihan raya negeri dan semua sedang bersiap siaga berhadapan PRU15.

Adakah kerana beliau presiden, UMNO takut untuk bertindak dan kebal daripada sebarang tindakan disiplin? Adakah UMNO hari ini lebih mementingkan kelangsungan politik pemimpin daripada kelangsungan politik parti?

Budaya politik penaungan dalam UMNO seharusnya dihapuskan selepas berakhirnya PRU14 kerana ahli dan pemimpin parti perlu belajar daripada amaran yang telah diberikan oleh pengundi untuk melihat parti tersebut berubah dan mempunyai aspirasi politik baharu yang segar seperti parti-parti politik lain di negara ini.

Namun, UMNO hanya berada dalam keadaan separuh sedar selepas PRU14 dan masih meneruskan budaya lama tidak bertindak menangani kerosakan dalaman parti, membuka ruang kepada kritikan menerusi kelemahan sama sehingga boleh menjejaskan imej dan prestasinya.

UMNO tidak boleh mengambil tindakan terpilih hanya kepada ahli dan pemimpin tertentu sedangkan terdapat pemimpin seperti Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang digantung jawatan pada 16 April 2009 ketika proses perundangan ke atasnya masih berlangsung dan belum dijatuhkan hukum oleh mahkamah atas pertuduhan membuat kenyataan palsu.

Malah UMNO dilihat bertindak tegas mengatasi mahkamah dalam kes pelanggaran peraturan parti melibatkan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada 17 Mac 2009 dengan melucutkan kelayakannya untuk bertanding dalam pemilihan jawatan timbalan presiden.

Sekiranya UMNO berani dan tidak mengamalkan dwistandard dalam pelaksanaan peraturan dan hukuman, maka ia perlu segera bertindak terhadap sebarang kesalahan mencemarkan imej parti daripada sekecil-kecil sehingga melibatkan kes mahkamah.

Malah UMNO perlu membandingkan imej presidennya dengan ketua parti lain yang kebanyakannya tidak membebankan parti dan akar umbi dengan kes mahkamah bagi mendapat keyakinan rakyat untuk memilih pemimpin dalam mana-mana pilihan raya negeri atau umum.

Namun, jika ketua parti terbeban dengan pelbagai masalah dan kes mahkamah, parti perlu menanggung beban besar untuk menaikkan imej dan kredibiliti terlebih dahulu sebelum memasuki gelanggang pertandingan dalam mana-mana pilihan raya.

Dalam konteks perkembangan semasa perintah mahkamah melibatkan Ahmad Zahid, pemimpin-pemimpin UMNO yang masih berjiwa besar dan sayang kepada parti perlu berani muncul membuka laluan perubahan kepada parti demi masa depan UMNO itu sendiri.

Dalam konteks politik moden hari ini, istilah menentang dan derhaka kepada pemimpin tidak lagi relevan kerana ahli akar umbi memerhati setiap tindak tanduk pemimpin yang menerajui parti dan memihak kepada kumpulan pemimpin yang berani menyatakan kebenaran.

Malah akar umbi UMNO akan melakukan protes senyap melalui saluran lain selain parti, iaitu menerusi pilihan raya sebagai tanda menentang kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin mereka dan ketidakberanian sebilangan pemimpin dalam parti untuk melakukan perubahan serta menyatakan kebenaran.

UMNO hari ini tidak mempunyai pilihan, mengambil tindakan segera terhadap Ahmad Zahid atau parti orang Melayu ini sekali lagi akan menghadapi nasib yang sama seperti PRU14 lalu.
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik, Universiti Malaya.

Bersihkan Institusi Kehakiman Syariah Dari Tohmahan

KETIKA menjawab soalan daripada seorang peserta bukan Islam dalam satu seminar perundangan di Kedah mengenai keadilan dalam pelaksanaan undang-undang syariah kerana ia dilihat kejam seperti hukuman potong tangan, Pensyarah Kanan Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia, Roosniza Mohd. Shariff menegaskan keadilan dalam hukum syariah melebihi daripada sivil.

Katanya, jika di mahkamah sivil seseorang tertuduh akan didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman sekiranya hujah dan bukti yang dikemukakan melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt), tetapi dalam undang-undang syariah ia lebih dari itu. Ia mesti melampaui apa juga bayang-bayang keraguan (beyond any shadow of doubt).

Hujahan beliau ini menunjukkan bahawa undang-undang syariah terutama institusi kehakiman syariah mampu menjadi institusi yang dihormati dan disegani jika pelaksanaannya tidak tergelincir daripada syariat-syariat yang telah ditetapkan.

Untuk memastikan dihormati dan tidak dipandang remeh atau diperlekehkan, ia bergantung kepada perkara paling penting dalam institusi kehakiman iaitu kredibiliti institusi dan hakim yang membuat keputusan.

Sebab itu isu-isu yang timbul kebelakangan ini yang membabitkan hakim dan institusi kehakiman syariah cukup menggusarkan kerana ia seolah-olah dibiarkan menjadi polemik tanpa ada sebarang penyelesaian yang menyakinkan.

Bagaimana sistem perundangan syariah mampu membuat keputusan melangkaui apa juga bayang-bayang keraguan andai institusi kehakiman itu sendiri terpalit dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejaskan kredibiliti dan dibiarkan tanpa dibersihkan?

Apabila tohmahan dan fitnah dibuat terhadap institusi yang bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang syariah di negara ini, matlamatnya adalah untuk melemahkannya. Jika dibiarkan tanpa apa-apa tindakan ia akan membentuk persepsi yang akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi terbabit.

Tohmahan dan fitnah ini perlu dibersihkan supaya undang-undang dan institusi kehakiman syariah tidak dipandang serong dan diperlekehkan terutama oleh bukan Islam.

Isu yang membabitkan hakim kanan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memerlukan penyelesaian segera dan tidak boleh dianggap isu peribadi kerana tohmahan yang dilemparkan sangat berat dan memberi kesan secara langsung kepada institusi kehakiman syariah di negara ini.

Pihak polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan kepada laporan-laporan yang telah dibuat seperti mana yang dikatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Jika dibiarkan tanpa satu penyelesaian yang tuntas, tohmahan dan fitnah ini bakal membarah dan boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman syariah.

Siasatan perlu supaya pihak-pihak yang melakukan tohmahan dan fitnah ini dapat dikenakan tindakan kerana apa yang dilakukan oleh mereka seolah-olah tindakan terancang untuk melemahkan sebuah institusi Islam.
Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Sunday, January 23, 2022

Yang Buat Tempahan Hingga Pihak Beri Kelulusan Tak Tahu Jawi?

Papan tanda Jawi: ‘Semua buat tak kisah asal kerja siap’
BANGI – Siapakah pihak yang wajar bertanggungjawab atas kesilapan tulisan Jawi pada papan tanda jalan di Jalan Dana Permai dan Jalan Damai kawasan Residensi Permai serta Residensi Damai di Bandar Teknologi Kajang?

Kesilapan itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkan seolah-olah pihak yang bertanggungjawab dengan pemasangan papan tanda itu tidak peka terhadap kesilapan yang terang-terangan ke atas penggunaan tulisan Jawi.

Ini kerana, walaupun secara terang-terangan tulisan Jawi di tiga papan tanda jalan di kawasan berkenaan terdapat kesilapan pada ejaan dan huruf Jawi yang tidak bersambung, ia tetap tidak diperbetulkan.

Lebih menghairankan, apabila papan tanda itu tetap mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kajang, memandangkan logo pihak berkuasa tempatan (PBT) jelas terpampang pada papan tanda jalan berkenaan.

Persoalan sama turut ditimbulkan bekas Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang kesal terhadap kesilapan seumpama itu boleh berlaku di Malaysia.

“Tak tahu atau tak kisah? Malaysiaku. Inilah realiti yang berlaku. Yang buat tempahan tak tahu Jawi.

“Yang buat kerja memenuhi permintaan juga tak tahu Jawi. Yang berikan kelulusan pun tak tahu Jawi (Majlis Perbandaran Kajang). Yang pi pacak juga tak tahu Jawi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau mempersoalkan apakah kesilapan itu berlaku disebabkan oleh pihak yang tidak tahu mengenai Jawi atau sengaja tidak kisah mengenai perkara itu asalkan kerja siap dan selesai. - ismaweb.net

50 Tahun Dari Sekarang Orang Melayu Dijangka Papa Kedana

Ekuiti Bumiputera takkan capai 30 peratus selagi orang politik ‘cium tangan’ taikun
BANGI – Seluruh sistem politik di negara ini perlu dilihat dan dinilai semula kerana hari ini ia sudah sampai ke peringkat jijik.

Salah satu punca utama sistem politik negara memburuk adalah kerana ‘wujudnya tangan yang memberi dan juga menerima’.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, keadaan itu membuatkan beliau berpandangan bahawa negara ini lebih sesuai digelar negara plutokrasi.

“Apa maksudnya? Maknanya orang yang memerintah negara ini adalah saudagar-saudagar kaya. Mereka inilah yang membuatkan polisi berubah-ubah.

“Orang politik terpaksa mengikut mereka. Inilah masalahnya. Kerana orang politik ini didanai oleh taikun dan saudagar ini.

“Jika nak berkuasa sudah tentu perlukan dana. Nak melobi,” demikian dakwa Aminuddin dalam program Dimensi yang disiarkan TV Pertiwi, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, dek kerana itu, naik turunnya pencapaian ekonomi Bumiputera juga berlaku disebabkan oleh polisi yang ditentukan oleh taikun.

“Sehingga hari ini, walaupun lebih 60 tahun merdeka. Pencapaian ekuiti Bumiputera hanya sembilan peratus sahaja. Walaupun dilapor sebanyak 16 peratus. Nak capai 30 peratus pun tak boleh nak capai. Adakah sebab oleh polisi? Ia disebabkan oleh implementasi polisi ini,” katanya.

Beliau mendakwa, apabila sistem politik ini membenarkan perebutan kuasa yang begitu luar biasa hebatnya, maka di situ bermulanya berlaku pendanaan.

“… beli-membeli undi menyebabkan mereka kehilangan kewarasan fikiran, terpaksa tunduk cium tangan kepada saudagar kaya ini.

“Kalau begitulah keadaannya macam mana kita nak capai ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus. Takkan sampai,” dakwanya.

Bahkan, jelasnya, jika ditelusuri kajian yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), didapati pendapatan antara kaum Melayu dan bukan Melayu semakin melebar.

“Malah 50 tahun daripada sekarang ini orang Melayu dijangka akan menjadi papa kedana, miskin. Malah sehingga hari ini 80 peratus penduduk bandar Melayu berada di bawah paras kemisikinan tegar.

“Sedangkan pemerintah orang Melayu, pemimpin orang Melayu, menteri orang Melayu, ketua setiausaha negara orang Melayu. Semua Melayu. Tetapi berlakunya begitu,” katanya.

Bukan sahaja daripada sudut politik dan ekonomi, beliau mendakwa, kesan tunduk kepada ‘saudagar kaya’ ini turut menjejaskan isu pendidikan dan perpaduan seperti akibat kewujudan sekolah vernakular dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Sepatutnya ini bukan jadi punca kepada berlakunya perpecahan kaum. Tetapi kerajaan benarkan juga, walhal jelas UEC ini membawa pelajaran berkiblatkan negara lain.

“Mengajar bahasa lain yang bukan bahasa kebangsaan. Tetapi kerajaan lulus juga. Kerajaan kononnya tubuhkan jawatankuasa untuk dapatkan maklum balas. Tetapi yang menganggotainya adalah orang pro kepadanya.

“Sampai bila kita nak macam ini? Dah 60 tahun kita bercakap pasal perpaduan lagi. Patutnya 60 tahun kita dah ke hadapan. Orang hari ini dah nak buat kapal terbang untuk melancong ke bulan, bersiar-siar di angkasa. Kita masih bercakap tentang perpaduan,” katanya.

Justeru, tegasnya, apa yang perlu diubah adalah sistem politik itu sendiri dan sistem pentadbiran.

“Kita kena lihat secara keseluruhan. Bukan setakat hukuman sahaja. Kita perlu betulkan balik sistem pentadbiran kita, sistem politik, sistem ekonomi. Perlu satu perubahan yang radikal. Bukan perubahan yang sikit-sikit,” katanya. - ismaweb.net

Friday, January 21, 2022

RFID Banyak Masalah?

LANGKAH Plus Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan sistem radio frequency identification (RFID) dianggap tidak praktikal malah membebankan pengguna atau pemilik kenderaan.

Biarpun langkah itu diambil sebagai mekanisme baharu laluan tol tanpa henti, namun terdapat masalah teknikal lain yang harus diperhalusi semula oleh pihak berkenaan seperti pengguna lebuh raya yang buta teknologi maklumat.

Malah, penggunaan kaedah melekatkan sticker RFID dianggap mundur dan amat tidak sesuai dijadikan kit sistem keselamatan pengguna kenderaan. Tidak ada cara lainkah bagi PLUS untuk memudah dan memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya? Janganlah asyik hendak fikirkan untung sahaja sedangkan rakyat sudah banyak terbeban dengan kenaikan harga minyak dan tol setiap tahun.

Selain itu, kaedah tambah nilai melalui telefon pintar akan memberikan 1,001 masalah kerana tidak semua pengguna pandai mengakses sistem tersebut dan merumitkan keadaan sekiranya sistem bertukar menjadi offline. Bagaimana pula jika kehabisan kredit atau tiada data internet?

Ia hanya akan menimbulkan masalah dan dalam masa sama terdapat risiko berlaku kerosakan pada sticker RFID disebabkan basah, kemalangan dan kecurian. Malangnya, PLUS tidak menanggung sebarang kerosakan sebaliknya pengguna perlu membeli kit RFID baharu pada harga RM35 seunit.

Sehingga hari ini, penggunaan lorong RFID sering bermasalah seperti tidak dapat dibaca terutama jika diletakkan dari dalam kenderaan sebelah pemandu. Malah, lorong yang diperuntukkan untuk RFID juga masih sedikit, kadang-kadang hanya satu lorong.

Ramai yang mengeluh menggunakan RFID dan beranggapan Touch ‘n Go dan Smart Tag lebih mudah dan selamat digunakan.

Justeru, diharap pihak PLUS dapat mencari alternatif lain supaya kit jenis stiker RFID digantikan dengan kit yang lebih mudah serta selamat daripada sebarang risiko kerugian akibat rosak ataupun hilang dan dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah teknikal seperti sistem imbasan yang tidak boleh dibaca pada kit RFID pemilik kenderaan.

Oleh: MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Apabila Malu Sudah Tiada

Pernah seorang pemimpin negeri mencabar seterunya dalam politik untuk memberitahu kepada isteri dan anak-anaknya tentang sumber setiap sen yang diperoleh beliau.

Bagi pemimpin tersebut, seterunya adalah seorang yang korup dan pastinya akan berasa malu untuk memberitahu sumber kekayaannya datang daripada amalan rasuah dan penyelewengan ketika memegang jawatan tertentu.

Logiknya begitulah, kerana tiada orang yang bangga memberitahu kepada ahli keluarganya tentang kegiatan-kegiatan salah yang dilakukan. Apatah lagi untuk menyara ahli keluarganya dengan wang haram hasil daripada penyelewengan dan rasuah yang diterima.

Namun benarkah semua individu yang korup akan berasa malu untuk memberitahu tentang sumber kekayaan mereka datang daripada sumber yang tidak sah?

Mungkin sesetengah orang masih ada perasaan malu apabila dituduh sedemikian tetapi ada juga yang tidak kisah dengan dakwaan korupsi yang dilemparkan terhadap mereka asalkan tidak didakwa di mahkamah dan disabitkan kesalahan.

Yang penting mereka boleh hidup mewah. Sebab itulah dalam beberapa kes, terdapat mereka yang ditahan, hidup dengan penuh kemewahan secara terbuka. Secara amnya, mereka dilihat hidup di luar kemampuan.

Kebelakangan ini, berita rasuah dan penyelewengan kuasa hampir setiap hari dilaporkan media massa. Dari yang kecil jawatannya sehinggalah kepada ketua jabatan. Malah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri turut terpalit sama dengan dakwaan penyelewengan kuasa.

Walaupun sebahagian mereka tidak didakwa dan disabitkan kesalahan, dakwaan itu tidak sepatutnya timbul ketika semua pihak mahu melihat isu integriti, ketelusan dan pentadbiran yang bersih diletakkan di tempat tertinggi dalam pentadbiran mana-mana organisasi.

Kerajaan tidak ada pilihan selain memastikan penjawat awam terlibat benar-benar bersih daripada dakwaan berkenaan sama ada di mahkamah atau pun siasatan di peringkat jawatankuasa khas.

Sepanjang tahun 2020, SPRM membuat tangkapan terhadap seramai 998 orang dengan 467 daripada mereka adalah penjawat awam dan bakinya, 531 orang daripada kategori orang awam, swasta dan lain-lain.

Daripada kategori kes penjawat awam, seramai lapan orang melibatkan Kumpulan Pengurusan Tertinggi manakala Kumpulan Pengurusan dan Profesionalisme pula sebanyak 109 kes dan 305 kes daripada Kumpulan Pelaksana.

Kebanyakan mereka adalah tonggak kepada jabatan masing-masing tetapi mereka pula yang memusnahkan persepsi rakyat terhadap pentadbiran kerajaan yang bersih.
Pengarang Berita Utusan Malaysia

Melayu Liberal Adalah Musuh Islam

Sebenarnya Melayu liberal ni bukan bebas perkauman. Mereka bersungguh sungguh pertahankan cina non muslim yang biadap dengan Islam tetapi mereka tidak pernah nak defend cina muslim yang mengamalkan Islam.

Pendek kata melayu liberal ni memang benci Islam. Secara peribadi umat Islam malaysia amat terhutang budi kepada cina muslim dan india muslim yang berstatus mualaf tetapi mampu menarik ramai orang untuk memeluk agama Islam. Ini kerana Melayu Islam terlalu sibuk dengan masalah politik dan pertelingkahan mazhab dan telah mengabaikan usaha dakwah. Dan sekiranya usaha mereka ini berterusan maka ada baiknya mereka diberi peluang untuk memimpin umat Islam negara ini kerana kelihatannya mereka lebih ikhlas dan lebih sabar berbanding orang Melayu.

Ada yang mengatakan anak campuran adalah lebih bijak dari Melayu totok. Sebenarnya ia tak semestinya begitu. Melayu totok pun boleh menjadi bijak sekiranya mereka mahu bercampur dan tidak duduk didalam tempurung yang sama. Ramai anak Melayu totok menjadi lebih bijak apabila mereka bersekolah di asrama penuh. Dan mereka menjadi lebih bijak apabila belajar di universiti. Malah menjadi terlebih lebih bijak apabila menyambung pelajaran ke luar negeri.

Namun begitu untuk pergi ke asrama penuh, universiti dan luar negeri maka perlu menjadi bijak terlebih dahulu. Dan ramai anak anak Melayu totok sudah berjaya. Maka kegagalan Melayu totok bukanlah kerana kurang bijak tapi kerana lupa diri. Melayu bukanlah satu bangsa yang hebat. Buktinya ialah ia tidak dituliskan dalam sejarah Melayu.

Ia tidak diceritakan kerana tiada orang yang mahu menulis. Dan lebih menimbulkan kemuyskilan lagi ialah sejarah bangsa ini sengaja disembunyikan. Agak menghairankan tiada langsung usaha usaha menteri Melayu dari zaman dulu hinggalah sekarang yang mahu berusaha membiayai usaha pengkajian sejarah Melayu ini. Catatan sejarah Melayu banyak yang tersimpan diluar negara seperti di Thailand, China, Jepun, Portugal, Sepanyol, Belanda, England dan juga di Turki.

Sekiranya ada tangan ghaib mahu menyembunyikan sejarah kehebatan Melayu ini maka tidak mengapa. Melayu boleh mencipta sejarah baru yang lebih hebat lagi. Jumlah ramai nya orang Islam bukanlah penentu kepada kemenangan atau penentu kejayaan.

Dalam sejarah kehebatan Islam hampir kesemua kejayaan adalah waktu umat Islam adalah kurang jumlahnya daripada musuh Islam. Allah swt memberi isyarat kepada kita bahawa kemenangan Islam adalah kerana bantuannya dan bukan kerana kehebatan umat islam. - pariajalanan

Thursday, January 20, 2022

Nama Ibu Kota Indonesia Jadi Perdebatan, Apakah Maksud Disebalik Nama ‘Nusantara’?

Nusantara telah diambil sebagai nama baharu ibu kota Indonesia yang terletak di Kalimantan Timur. Kata Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Suharso Monoarfa, nama baharu itu telah dipilih oleh Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi pada Jumaat yang lalu dan disahkan semasa mesyuarat jawatankuasa kerja bagi rang undang-undang ibu kota baharu di Parlimen.

Memetik laporan New Straits Times, ibu kota baharu itu merupakan salah satu projek pembangunan infrastruktur yang menjadi keutamaan Jokowi bagi menjadikan Indonesia kuasa besar Asia yang akan membuka potensi ekonomi, menggalakkan pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di Indonesia.

Suharso berkata, alasan di sebalik pemilihan nama Nusantara sebagai nama ibu kota baharu di Kalimantan Timur kerana ayat tersebut sudah dikenal sejak lama dan ikonik di peringkat antarabangsa. “Alasannya adalah Nusantara sudah dikenal sejak dulu, dan ikonik di peringkat antarabangsa, mudah dan menggambarkan kenusantaraan kita semua Republik Indonesia,” katanya memetik laporan The Diplomat.

Bagaimanapun, nama Nusantara telah mencetuskan perdebatan di kalangan netizen yang mengikut rapat perkembangan negara jiran Indonesia. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa Jokowi memilih nama Nusantara adalah kerana dia mahu menghantar mesej kuat kepada negara-negara jiran – terutamanya negara-negara ASEAN – bahawa Indonesia bakal menjadi kuasa besar ekonomi di rantau ini.

Penulis buku Dunia Tanpa Tembok, Ayman Wong melihat pemilihan nama ini sebagai salah satu mesej kepada dunia, “Nasionalis Indonesia anggap Nusantara/Dipantara membawa maksud “pulau-pulau di antara (dua benua/samudera)”. Basically Indonesia nak beritahu dunia bahawa ia adalah “center of the world/region“. Dan ibu kota baharu adalah center kepada center ini,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitter peribadi miliknya.

Bagi salah seorang netizen, makna Nusantara dilihat sangat dekat dengan rumpun Melayu yang berkembang di beberapa pelusuk negara di Asia. “Ibu negara baru Indonesia akan dikenali sebagai Nusantara. Sebagai orang Melayu yang tinggal di Asia Tenggara, perkataan itu dan maknanya bagi kita di Malaysia, Singapura dan Brunei mempunyai makna yang penting,” katanya dalam satu ciapan.

Maksud Nusantara
Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan nama Nusantara sebagai kepulauan Melayu; kenusantaraan hal yang berkaitan dengan Nusan­tara iaitu berpegang teguh pada asas kebersamaan untuk mempertahankan sifat yang asasi. Manakala Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penelitian dan Teknologi pula mentakrifkan Nusantara sebagai kata ganti nama bagi seluruh wilayah kepulauan Indonesia.

Dari segi sejarahnya pula nama Nusantara lahir pada zaman Kerajaan Majapahit sekitar abad XIV yang sering digunakan dalam konteks politik. Ia merangkumi rangkaian pulau yang terletak di antara benua Asia dan Australia, termasuk Semenanjung Tanah Melayu. Kawasan-kawasan ini telah dikategorikan oleh Majapahit sebagai Nusantara.

Menurut Kompas, Nusantara tercatat seperti yang pernah diucapkan oleh Gajah Mada, gabenor Majapahit. Gajah Mada mengucapkannya melalui sumpah yang dikenali sebagai Sumpah Palapa. Beliau mengangkat sumpah semasa upacara pelantikan sebagai Patih Amangkubumi Majapahit. Berikut adalah sumpah yang diucapkan oleh Gajah Mada berserta dengan maksudnya sekali.

“Walaupun huwus kalah Nusantara, isun amukti palapa, tetapi gelanggang padang pasir, gelanggang Seran, Tanjung Pura, gelanggang Haru, gelanggang Pahang, Dompo, gelanggang Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, Samana isun amukti palapa.”

Maksudnya, “Kalau saya dah kalahkan Nusantara, saya (akan) berbuka puasa. Kalau kalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, begitulah saya (akan) berbuka.”

Secara dasarnya, Nusantara terdiri daripada kata nusa yang bermaksud pulau-pulau dan antara lain bermaksud seberang. Selepas kerajaaan Majapahit runtuh, istilah Nusantara dilupakan. Nusantara hanya digunakan semula pada abad ke-20 oleh tokoh pendidikan Indonesia iaitu Ki Hajar Dewantara dengan tujuan untuk menjadi alternatif penyebutan negara Nederlandsch Oost-Indie atau Hindia Timur Belanda, lapor Portal Nganjuk.

Ibu kota baharu Indonesia pula bakal merangkumi wilayah Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur di Borneo, dan Jokowi mahu peralihan itu selesai sebelum pilihan raya akan datang pada 2024, di mana beliau akan berundur selepas mandatnya sebagai presiden selama dua penggal akan berakhir.

Indonesia kini dilihat mula bergerak maju ke hadapan. Jenama besar pula sudah mula melihat Indonesia sebagai prospek untuk menjalankan perniagaan mereka. Ibu kota baharu yang menelan kos AS$35 bilion bakal menjadi salah satu permulaan baharu Indonesia yang selalu dilihat mundur dan terkebelakang. - thevocket.com

Mustahil Dihapuskan, Vernakular Perlu Dijinak Supaya Lebih Bersifat Nasional

BANGI – Cadangan pelaksanaan pengajaran bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan (SK) sebagai alternatif untuk memansuhkan sekolah vernakular adalah baik, namun realitinya ia sukar diterima kaum Cina.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, syor tersebut pernah diutarakan sebelum ini tetapi tidak popular di kalangan pelajar dan ibu bapa, khususnya kaum Cina.

Ini kerana, katanya, mata pelajaran bahasa Cina di SK lebih ringkas dan tidak begitu mendalam seperti di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Ia bakal menjadi lebih ringkas, dan hanya lebih ke arah pendekatan komunikasi supaya boleh bertutur dalam bahasa Cina.

“Namun ini tidak akan dipersetujui ibu bapa Cina. Mereka nak anak mereka belajar sukatan pelajaran yang lebih bersifat kebudayaan Cina, seperti mana silibus di SJKC yang lebih berat.

“… dimasukkan unsur budaya, bahasa Cina yang lebih dalam sifatnya, rumit sifatnya untuk diajar dan dipelajari. Bahkan, mata pelajaran lain semua diajar dalam bahasa Cina. Itu memperkukuhkan lagi pengetahuan dan pemerkasaan pelajar dalam bahasa Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dek kerana itu, Prof Kok Seong berkata, jalan menghapuskan sekolah vernakular adalah sukar dan hampir mustahil.

Beliau berkata, meskipun suatu hari nanti sekolah vernakular tidak lagi menjadi entiti kerajaan, ia tetap akan terus wujud kerana pembiayaan daripada masyarakat Cina tidak akan pernah putus.

Namun, tegasnya, apa yang boleh diusahakan adalah menjadikan ia lebih bersifat nasional.

“Andai kata mahkamah nanti tetapkan ia tidak sah, ia masih akan terus wujud dalam bentuk sekolah swasta. Masyarakat Cina tak akan terus tinggalkan sekolah Cina.

“Jadi masalah utama sekarang adalah sekolah vernakular dilihat sebagai antinasional. Kita nak kena jinakkan dia menjadi lebih bersifat kebangsaan.

“Strategi kita yang sebetulnya adalah untuk mengimbangi. Kita kena cari jalan mengimbangi sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular dan sistem pengajaran di sana yang menggunakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, adalah kedua-duanya sah di sisi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak peguamcara kesemua plaintif akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. - ismaweb.net

Wednesday, January 19, 2022

Negara Dalam Negara Di Malaysia?

KEBIMBANGAN sesetengah pihak tentang kemungkinan adanya keadaan politik ‘negara dalam negara’ di Malaysia tidak boleh sesekali dipandang mudah. Ini kerana terdapat sebilangan ciri yang semacam boleh dikaitkan dengan bibit keadaan begini sama ada permulaannya atau yang telah mantap. Ini sudah tentu sama sekali tidak baik untuk pentadbiran negara.

Antara cirinya sebagai bibit ‘negara dalam’, istilah lainnya ialah kekuasaan dan kewibawaan sesuatu pihak yang dicuakkan itu bertambah agresif dalam memperjuang ideologinya yang diikhtiarkan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamatnya melalui perancangan disusun rapi sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Kebimbangan ini hendaklah dipandang serius kerana ia bukan sahaja pergerakan yang mahu mencapai sesuatu agenda dan tujuan kepentingan pihak tertentu semata-mata. Ia juga boleh berupa percubaan untuk memanipulasi dan mengawal sesetengah kepentingan negara antaranya peraturan dan dasar dalam bidang tertentu.

Ini sudah tentu menggugat kestabilan negara yang kemudiannya mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Oleh itu, kebimbangan ini sangat berasas dan perlu diambil perhatian serius juga oleh masyarakat awam. Sehubungan ini, pasti pihak berkuasa bukan sahaja sudah tetapi senantiasa berwaspada tentang ancaman sebegini yang berbahaya kepada sistem politik dan lain-lain yang sedia wujud di negara ini.

Dalam pada itu, beberapa peristiwa dan perkembangan dalam negara kebelakangan ini yang dibimbangi sesetengah pihak sebagai manifestasi keadaan politik perlu disiasat untuk tujuan kepastian sama ada ia perancangan sebegini yang boleh mengambil pelbagai bentuk atau sebaliknya, iaitu tiada apa-apa kaitan dengannya.

Natijahnya, keadaan politik ini adalah perkara benar yang telah berlaku di banyak negara. Oleh itu, ia harus ditangani sekiranya ada dan diwaspadai jika sebaliknya. Ini kerana ia subversif, iaitu bukan sahaja bercanggah dengan nilai dan prinsip yang terdapat pada sistem sedia ada di negara ini, ia boleh meranapkannya.

Dalam meneliti sesuatu kejadian yang dibimbangi berupa keadaan politik ini, seperkara penting untuk diambil perhatian ialah pada kelazimannya pergerakan sebegini bersifat rahsia dan wujud secara bebas, yakni tanpa terikat dengan mana-mana entiti lain agar tidak mudah disyaki apatah lagi dikesani. Namun, unsur kerahsiaan dan kebebasan itu boleh sahaja disamarkan dengan diselindungi pelbagai bentuk luaran yang semuanya kelihatan positif.

KONFLIK
Antara perkara yang dikaitkan dengan keadaan politik ini ialah perkembangan pendidikan vernakular khususnya aliran bahasa Cina. Ia dilihat sebagai percubaan untuk memanipulasi sistem pendidikan negara dengan hasrat untuk mengawal sektor vernakular oleh penggiat persekolahan aliran Cina khususnya beberapa pertubuhan tertentu yang begitu agresif dalam memperjuangkannya.

Sehubungan ini, sifat penentang dan lantang pertubuhan ini perlu ikut diawasi oleh masyarakat awam selain disiasat pihak berkuasa untuk memastikan sama ada ia gejala negara dalam negara atau keghairahan dan keterujaan berlebihan untuk menegak warisan etnik Cina dan tidak lebih daripada itu.

Begitu juga dengan tindakan membersihkan tempat beribadah agama lain oleh kelompok tertentu ekoran banjir teruk yang melanda beberapa negeri di negara ini. Ia mungkin didalangi pihak tertentu dengan agenda dan tujuan jahat untuk mencetuskan konflik antara penganut agama. Ia juga mungkin kesilapan ikhlas yang memang tidak disengajakan melainkan disebabkan kealpaan sahaja. Apa-apa juga, ia hendaklah disiasat dalam konteks gejala negara dalam negara ini untuk kebaikan semua pihak, lebih-lebih lagi negara.

Sebelum kebimbangan terbaharu ini, gejala ini pernah dikhuatiri kerajaan yang baharu mengambil alih pemerintahan negara setelah berlaku perubahan kuasa pada 2018. Ia didakwa sebegitu pada awal urus tadbirnya kerana dibimbangi agensi kerajaan tertentu antaranya penjawat awam yang semacam tidak memperlihat tindak balas cepat dan yang selari pula dengan kehendak dan cara pentadbiran baharu negara. Justeru, ia mahu dianggap sebagai konflik antara dua pihak itu.

Dengan ini, ia ditanggap sebagai percubaan untuk menghalang, menentang dan mengagalkan arahan dan dasar kerajaan yang mahu dilaksanakan pemerintahan baharu itu. Namun, setelah disiasat dalam konteks negara dalam negara, ia didapati tidak pun begitu melainkan bentuk birokrasi baharu yang diperkenal secara mendadak oleh kerajaan baharu yang tidak merupakan kelaziman mengurus tadbir sebelum ini oleh kerajaan lama.

Dalam pada ini, tidak dapat dinafikan keadaan politik negara dalam negara boleh membawa banyak pengertian selain impak negatif. Oleh itu, ia tidak boleh dikenakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak kepada sesuatu pihak itu untuk melabelkan sifat dan kegiatannya sebegitu, apatah lagi menuduhnya secara melulu sebagai negara dalam negara. Ini kerana bukan sahaja pihak berkenaan diburuk-burukkan sebagai subversif. Lebih memudaratkan lagi ialah negara ikut terpalit kerana keadaan politik ini ditanggap sebagai kerajaan yang memerintah sedang menghadapi konflik daripada pihak tertentu di dalam negara yang diperintahnya sendiri.

RFID: Kos RM1 Jual Sampai RM35?

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sekeping walaupun kos sebenar hanya kurang RM1.

Najib menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini turut menimbulkan persoalan sama ada Touch N Go (TnG) atau PLUS memberi rebat bagi pemilik SmartTAG yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih kepada sistem RFID sepenuhnya.

“Adakah syarikat TnG atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik SmarTAG yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?

“Syarikat TnG dimiliki bank CIMB, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari Amerika Syarikat dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York,” kata Najib hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, transaksi tol menggunakan tag RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 10 malam 15 Januari 2022. – UTUSAN ONLINE

Tuesday, January 18, 2022

Integriti Sudah Mati?

PADA Jumaat lalu, seorang sahabat (bekas pengamal undang-undang) bertanya, “apakah integriti sudah mati?”

Terkejut mendengar soalannya itu. Saya tanya kembali, kenapa dia ajukan soalan yang begitu pelik kepada saya? Setelah saya dengar penjelasannya, barulah saya faham.

Sahabat saya itu sudah tidak yakin lagi ‘penyakit integriti’ yang kita hadapi sekian lama ini boleh pulih kembali.

Katanya, kebelakangan ini isu ‘kematian’ integriti kerap menjadi bahan laporan media melibatkan pelbagai lapisan masyarakat – bukan hanya dalam kalangan pegawai kerajaan, bahkan pekerja swasta, ahli politik, pedagang, usahawan dan orang biasa. Yang membezakan suatu kes dengan yang lain adalah skala pelanggaran integriti yang berlaku.

Mengikut sahabat saya itu lagi, peristiwa paling hitam dalam naratif pelanggaran integriti ini adalah Langkah Sheraton pada Februari 2020. Walaupun dia sedia mengakui tidak semua orang sependapat dengannya, namun baginya apabila seorang wakil rakyat mengkhianati amanah diberikan kepadanya oleh pengundi, demi mengejar kepentingan peribadinya, itu bukti telah berlaku kematian integriti.

Sahabat mengingatkan saya kepada kata-kata hikmat Harvey Mackay (pengarang buku Swim with the Sharks): “Kalau anda ada integriti, benda lain tak perlu. Kalau anda tak ada integriti, benda lain tak ada maknanya.”

Malangnya kebelakangan ini sudah ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak berasa apa-apa walaupun terlibat dalam isu pelanggaran integriti seperti mencuri, penipuan, pembohongan, sogokan dan amalan rasuah. Sebaliknya, sudah menjadi satu fenomena yang trending untuk memaparkan satu sabitan jenayah itu sebagai perkara yang dibanggakan.

3 ASPEK INTEGRITI
Ada tiga aspek integriti yang berbeza – dalaman, luaran dan bersepadu. Integriti dalaman wujud apabila seseorang melakukan perkara yang betul walaupun tidak ada orang lain memerhatikan.

Integriti luaran wujud apabila seseorang mengamalkan cakap serupa bikin atau dengan lain perkataan, dia sentiasa kotakan apa yang dia kata. Integriti bersepadu wujud apabila individu itu mempunyai kedua-dua sifat tersebut – integriti dalam dan integriti luaran. Ia bersih di luar dan bersih di dalam.

Ada orang melakukan perkara yang betul disebabkan ‘ada pemerhati.’ Ada pemimpin yang melakukan ‘kerja amal’ supaya diambil foto atau video ketika dia melakukannya. Dengan harapan foto atau klip video itu kemudian akan disebarkan hingga tular di media sosial. Niatnya mendapatkan populariti itu juga tanda kematian integriti.

6 NARATIF MENGHALALKAN RASUAH
Mengikut Profesor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi, terdapat enam naratif yang menghalalkan rasuah seperti berikut:
Naratif pertama – demi kestabilan negara.
Naratif kedua – demi ketuanan kaum.
Naratif ketiga – ijtihad halal.
Naratif keempat – demi perjuangan Islam.
Naratif kelima – demi keseimbangan ekonomi.
Naratif keenam – rasuah itu bukannya mencuri.

Naratif pertama berbunyi demikian, negara perlu mempunyai kestabilan politik agar ia tidak selalu bertukar tangan sebelum pilihan raya yang ditetapkan. Maka itu jika ada wakil Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sanggup melompat parti dengan habuan pangkat, jawatan dan projek demi kestabilan politik negara dan negeri maka ia adalah suatu perbuatan patriotik. Oleh kerana negara ini belum lagi ada undang-undang lompat parti, maka kesemua perbuatan ini sah dan halal.

Isu kematian integriti ini pernah disentuh oleh tokoh ilmu, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff. Kata beliau, andainya rakyat memilih untuk tidak berbuat sesuatu yang positif dan menuntut agar orang yang diberi tanggungjawab melaksanakan tugas mereka dengan penuh integriti, maka sudah pasti integriti akan dikuburi.

Yang menyedihkan beliau, kini terdapat mereka yang disabitkan kesalahan (melakukan pelanggaran integriti) tapi masih lagi tidak berasa malu langsung.

HATI YANG SUDAH MATI
Pastinya kita masih ingat lagi nasihat guru-guru agama kita mengenai tujuh tanda hati kita sudah mati, iaitu berani meninggalkan solat, tidak berasa apa-apa walaupun setiap hari melakukan maksiat, menjauhkan diri daripada al-Quran, tidak ada masa untuk agama, hidupnya suka sangka buruk dan mencari kesalahan orang, tidak suka mendengar nasihat dan tidak takut mati serta azab kubur. Barangkali antara tanda-tanda hati yang sudah mati itu boleh diaplikasikan kepada tanda-tanda kematian integriti.

Seorang pemerhati politik baru-baru ini menyarankan, jika ada mana-mana parti politik dalam negara ini yang mahu kekal relevan dan diterima rakyat, parti itu hendaklah bersedia menyingkirkan mana-mana pemimpinnya yang terlibat dengan isu integriti, rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Andainya parti itu gagal berbuat demikian, ia tidak akan dapat bertahan lama, sebaliknya akan menggali kuburnya sendiri, tidak kira apa pun pelan transformasi dan kerjasama politik yang dilakukan olehnya.

Antara pemimpin Islam tersohor yang hidup penuh integriti adalah Khalifah Umar al-Khattab. Pada suatu ketika, anaknya, Abdullah membeli beberapa ekor unta yang kurus pada harga rendah. Haiwan-haiwan itu kemudian dihantar ke padang ragut milik negara untuk digemukkan.

Apabila sampai tempohnya, Abdullah dapat menjual unta-unta itu pada harga yang tinggi. Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan Umar, dia memerintahkan keuntungan tadi dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara disebabkan unta-unta itu telah makan di padang ragut milik negara.

Pada zaman kita sekarang, ada pemimpin yang pergi bertugas di luar negara sambil membawa bersama ahli keluarga mereka dengan kos perjalanan ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya. Tidak hairanlah kenapa ada dalam kalangan kita yang merasakan integriti sudah mati.

Oleh: Datuk Salleh Buang