Tuesday, March 29, 2022

Gagalkah Misi Antarabangsa Guna Bahasa Melayu?

SATU rencana disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam keseluruhannya mempersoalkan keputusan dan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Sandaran hujahnya ialah pendapat beberapa orang pegawai diplomat yang tidak pula disebut namanya.

Keraguan tentang keupayaan bahasa Melayu atau lebih tepat tidak perlunya bahasa kebangsaan digunakan di peringkat antarabangsa bukan sikap dan pendirian baharu.

Hujah bahawa dunia kini dunia kosmopolitan dan bahasa Inggeris sudah begitu selesa digunakan sekian lama untuk perhubungan antarabangsa sudah menjadi klise dan ‘kepercayaan’ basi dalam beberapa hal karut. Saya katakan karut kerana di dunia, bukan hanya bahasa Inggeris yang kerap digunakan tetapi banyak bahasa lain seperti bahasa Perancis, Jerman, Rusia, Belanda, Swiss, Sepanyol, Mandarin dan Arab.

Hujah pertama yang digunakan oleh penulis terbabit untuk menolak penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa ialah kerana di mana-mana mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan hanya enam bahasa rasmi disediakan terjemahan serentak. Bagaimanapun, ini sebenarnya hanya isu teknikal.

Penulis itu sendiri mengatakan kemudahan terjemahan diberikan jika pemakluman awal diberikan dan negara terbabit sanggup membayar kos terjemahan. Demi maruah negara, adakah kos terjemahan yang merupakan satu bentuk pelaburan negara tidak boleh diperuntukkan? Saya maklum bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing mengambil langkah sedemikian. Bahkan peratusan negara menggunakan bahasa kebangsaan lebih tinggi daripada yang menggunakan bahasa Inggeris.

Hujah kedua pula disandarkan kepada pendapat seorang diplomat muda bahawa keputusan Perdana Menteri untuk mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN kononnya merupakan satu keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, iaitu hanya sesudah lawatan ke beberapa negara ASEAN.

Diplomat muda dan penulis itu mungkin tidak menyedari cadangan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah bergema sejak 1980-an dalam kalangan sarjana dan persatuan di Malaysia, Indonesia, Brunei bahkan Filipina.

Dalam Sidang Tahunan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pun cadangan itu saban tahun dijadikan resolusi. Untuk makluman, MABBIM turut disertai Singapura dan Thailand sebagai pemerhati.

MASTERA
Begitu juga Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang merupakan sebuah majlis yang merancang dan memantau perkembangan sastera Melayu/Indonesia di rantau ini. Penubuhan MASTERA dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995.

Soal sejak penubuhannya pada 1967, segala dokumen ASEAN adalah dalam bahasa Inggeris tidak menghalang cadangan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Ini kerana secara realitinya wujud 300 juta orang penutur bahasa Melayu di sejumlah besar negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Timor Leste.

Pandangan bahawa tidak perlu tradisi berbahasa Inggeris dalam ASEAN ditukar menurut perkembangan dan keperluan ialah pandangan dan sikap jumud.

Pendapat bahawa penggunaan bahasa selain bahasa Inggeris akan mengurangkan kecekapan komunikasi peringkat antarabangsa adalah jelas meleset. Sekian banyak negara menggunakan bahasa kebangsaan dalam mesyuarat atau forum antarabangsa dalam bahasa masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain. Adakah negara-negara itu gagal dalam misi antarabangsa mereka?

Saya ada pengalaman yang sahih kerana dihantar oleh kerajaan bertugas di universiti di China selama lebih lima tahun. Semua mesyuarat dengan wakil negara asing berlangsung dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan dan diterjemahkan ke dalam bahasa negara tamu (Arab, Sepanyol, Turki, Thailand, Belanda dan lain-lain).

Adakah penulis tadi hendak mengatakan China gagal di peringkat antarabangsa sebagai kuasa gergasi ekonomi dunia?

PATRIOTIK
Saya juga ada pengalaman di Jepun, Korea Selatan, Indonesia bahkan beberapa negara Eropah yang mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Penilaian peribadi bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana mendorong Perdana Menteri mengusulkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa ialah pandangan nakal yang tidak objektif dan kehilangan arah. Warganegara Malaysia sepatutnya berbangga mempunyai pemimpin yang berusaha melonjakkan maruah negara termasuk melalui bahasa negara.

Pemimpin negara yang bahasa Inggerisnya sehebat penutur jati bahasa Inggeris sekalipun wajar bersifat patriotik dengan mengangkat asas jati diri negara. Jika bahasa Inggerisnya tidak setara dengan penutur jati bahasa itu, sebenarnya tidak ada sebab untuk kita berasa rendah diri kerana bukan semua pemimpin dunia menguasai bahasa asing dengan cukup baik. Kualiti kepemimpinanlah yang utama termasuk usaha mengangkat maruah negara di mata dunia. Bahasa asing perlu dikuasai dan perlu digunakan di tempatnya yang wajar tetapi bukan penghalang usaha mengangkat martabat bahasa negara.

Demikian juga prasangka bahawa usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa hanya menjadi alat politik tidak wajar dijadikan hujah kerana ia adalah buruk sangka tanpa bukti semata-mata.

Semua pihak mesti membantu pemimpin menjayakan cita-cita ini pada saat ruang terbuka. Sikap anglophile tidak wajar mengaburkan mata hati kita.

Oleh: PROFESOR Datuk Seri Dr. Awang Sariyan

No comments:

Post a Comment