Thursday, September 19, 2019

Syukur...Masih Ada Kewarasan

Khazanah tak jual lapangan terbang
KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Berhad sama sekali tidak akan menjual Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada mana-mana syarikat memandangkan ia adalah aset strategik yang bernilai kepada dana pelaburan itu.

“Tidak betul. MAHB adalah pegangan strategik Khazanah. Tidak ada niat untuk menjual,” menurut sumber yang mengetahui maklumat berkenaan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar ini melaporkan Khaza­nah berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam MAHB kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airport.

Ini susulan status Facebook milik Badrul atau che’Gu Bard yang mendakwa, Khazanah menolak cadangan awal yang dikemukakan oleh ADP Incorporated untuk mengekalkan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham utama MAHB.

Menerusi status itu, dimaklumkan daripada sumber maklumat yang diperoleh, bahawa MAHB akan terlelong kepada Gatwick – London yang tidak mempunyai rekod kecemerlangan dalam pengurusan.

Khabar angin mengenai penjualan MAHB mula bertiup sejak akhir Jun lalu apabila terdapat laporan Gatwick akan membeli kepentingan dengan Khazanah mengekalkan sekitar 10 hingga 20 peratus pegangan daripada 33.2 peratus.

Gatwick Airport telah diuruskan oleh VINCI Airports dan Global Infrastructure Partners sejak 2009. Pada Julai lalu, dilaporkan VINCI Airports memperoleh kepentingan 50.01 peratus dalam pengendali lapangan terbang manakala Global Infrastructure Partners memiliki 49.99 peratus.

VINCI Airports menguruskan pembangunan dan operasi di 46 lapangan terbang di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Paris, Sweden, Portugal, Serbia, Brazil, Chile, Cambodia, Dominican Republic dan Costa Rica.

Apakah objektif pelaburan Khazanah?
Khazanah akan berusaha ke arah dua objektif pelaburan, iaitu komersial dan strategik dalam mempertingkatkan kekayaan negara.

Dana Komersial merujuk kepada dana kekayaan jangka panjang dengan sasaran pulangan yang setara dengan Indeks Harga Pengguna Malaysia (CPI) ditambah tiga peratus pada asas lima tahun berterusan.

Menerusi dana ini, ia terma­suk aset awam seperti Kumpulan CIMB, Kumpulan Axiata, IHH Healthcare dan Alibaba.com serta aset persendirian seperti The Holstein Milk Company, Sun Life Malaysia, WeLab dan Palantir.

Bagi Dana Strategik, ia melibatkan dana pembangunan dengan sasaran pulangan bersamaan dengan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) selama 10 tahun pada asas lima tahun berterusan serta manfaat ekonomi yang boleh diukur.

Di bawah dana ini, ia termasuk aset strategik seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Malaysia Airlines, MAHB dan PLUS Malaysia serta aset pembangunan se­perti Silterra, Iskandar Investment Berhad, Themed Attractions Resort & Hotels, Pinewood Iskandar Malaysia Studios dan Medini Iskandar Malaysia. - www.utusan.com.my

1 comment: