Syor tubuh RCI kaji tindak-tanduk pertubuhan haram, rasis
LANGKAH Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran kumpulan Pendidikan Cina Dong Zong negeri Johor, satu langkah bijak dan tepat. Ia hendaklah diikuti seterusnya di seluruh negara.
Dong Zong melahirkan pemikiran rasis dan komunis. Penentangan berterusan khat jawi daripada enam muka kepada tiga muka, daripada subjek wajib menjadi pilihan, sangat menyerlahkan wajah sebenar Dong Zong.
Kerajaan sudah terlampau baik selama ini memberi muka kepada pertubuhan rasis ini. Sejak awal penubuhannya, pertubuhan ini tidak pernah bersetuju dengan apa jua saranan Kementerian Pendidikan demi masa depan negara. Malah, pertubuhan rasis ini yang mengenakan syarat kepada KPM supaya tunduk kepada mereka.
Saya syorkan RCI ditubuhkan untuk mengkaji segala tindak tanduk Dong Zong sejak mula ditubuhkan oleh Lim Lian Geok hingga kini, isu terbaharu penentangan terhadap jawi.
Dengan pembatalan ini, secara tidak langsung memberi kesan kepada Dong Zong negeri-negeri lain.
Ini bermakna, semua sekolah yang beroperasi di bawah Dong Zong seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina dan sijil UEC yang dikeluarkan adalah tidak sah.
Badan ini adalah badan haram dan sijilnya juga ada sijil haram. Pemimpin mereka daripada dahulu hingga kini masih mendewa-dewakan, pengasas mendiang Lim Lian Geok.
Lian Geok yang meninggal pada 1985 adalah seorang rasis yang dianggap sebagai hero kerana memperjuangkan bangsa dan bahasa Cina pada tahun-tahun 1950an dan 1960an. Lian Geok adalah bekas guru Sekolah Cina Confucian sejak 1935 hingga 1961.
Lian Geok adalah pengasas kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia atau Jiao Zong dan Dong Jiao Zong.
Kewarganegaraan dan tauliah mengajar sebagai guru Lian Geok ditarik balik oleh kerajaan pada tahun 1961 disebabkan oleh kelantangannya menentang dasar pelajaran kebangsaan bermula dengan Penyata Barnes hingga Penyata Rahman Talib 1960 dan akta pelajaran 1961. Kesemua akta ini mahu mendaulatkan bahasa Melayu (juga bahasa Inggeris) sebagai bahasa pengantar.
Jika ditubuhkan RCI, penentangan terhadap agenda negara sudah tentu dapat membuktikan betapa rasisnya pertubuhan ini.
Kepada Lian Geok apa sahaja akta atau undang-undang yang mencairkan proses pencinaan akan ditentang habis-habisan. Hari ini perkara sama dilakukan oleh pewaris-pewaris Lian Geok.
Mendiang didakwa sengaja memutar-belitkan dasar pendidikan negara dan menghasut rakyat benci kepada Yang DiPertuan Agong serta Kerajaan Persekutuan sehingga mengakibatkan permusuhan antara kaum.
Tindakan tepat kerajaan ketika itu mendapat tentangan dan kritikan yang hebat daripada ultra kiasu. Kerajaan dituduh mempunyai niat jahat untuk melenyapkan pengaruh dan suara Lian Geok.
Saya masih ingat, satu ketika dahulu, ultra kiasu mahukan segala ‘fitnah’ terhadap mendiang Lian Geok mesti ditarik balik selepas 50 tahun merdeka. Mereka mahukan nama Lian Geok mesti dibersihkan.
Lantas, tekanan demi tekanan dibuat terhadap kerajaan terutama menjelang pilihan raya. Ultra kiasu berpendirian, perjuangan mendiang Lian Geok tidak salah dan dibenarkan oleh Perlembagaan atas hak kebebasan bersuara.
Kata-kata keramat Lian Geok yang terus dipegang oleh pimpinan Dong Zong hingga ke hari ini adalah “orang Cina mesti menghantar anak mereka ke sekolah Cina.
Sekolah Cina adalah ibarat nyawa dan roh. Jika orang Cina mahu memastikan mereka tetap Cina, tidak ada cara lain melainkan bersekolah Cina. Ini amat penting bagi mengekalkan identiti Cina, sayangkan bangsa Cina, budaya Cina, bahasa Cina, bangga menjadi Cina, dan lebih penting lagi tahu asal usul atau akar Cina”.
Kata-kata ini tidak baik untuk pembinaan negara bangsa. Kata-kata ini begitu jelas menunjukkan bagaimana selama ini Dong Zong sedang membina negara dalam negara.
Ultra kiasu selalu menggunakan hujah Lian Geok yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Melayu pada tahun 1956 sempena Hari Raya Aidilfitri dijadikan hujah menghalalkan segala tindak tanduk Lian Geok,
Antara lain mahukan agar rakyat Malaysia dapat mendukung gagasan “Hidup Berbilang, Makmur Bersama” dengan melayani semua kaum sebagai anggota sekeluarga. Lian Geok juga dikatakan turut memberikan sumbangan besar kerana mencadangkan agar buku teks yang berkiblatkan negara China ditukar kepada orientasi Malaya sebagai rujukan sekolah vernakular.
Perkara ini penting untuk melahirkan generasi muda yang setia terhadap negara ini. Dikatakan juga Lian Geok merupakan pemimpin pertama yang menyeru masyarakat Cina bersetia dan menjadikan Malaya sebagai tanah air dan memohon kewarganegaraan.
Hujah ini begitu tersasar, penyata Razak 1956 sudah memuktamadkan bukan Lian Geok seperti yang didakwa.
Nyatakan perlakuan Lian Geok tidak mencerminkan kata-katanya, jika benarlah perjuangan beliau, sepatutnya pimpinan Dong Zong hari ini akan menjadi lebih lunak terhadap jawi. Tetapi ditentang habis-habisan sehingga ke akar umbi. Inikah semangat Lian Geok yang diungkapkan dalam Utusan Melayu.
Saya noktahkan di sini bahawa mengenai Dong Zong sekian lama, nyata sekali pertubuhan ini sangat rasis dan tidak sepatutnya didaftarkan sebagai pertubuhan yang sah. KDN hendak bertegas untuk tidak melayan sebarang rayuan untuk menghidupkan gerakan dan pemikiran rasis yang begitu bahaya dalam pembinaan negara bangsa.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
No comments:
Post a Comment