Saturday, September 7, 2019

Penentangan Sekolah Satu Aliran Akan Berterusan....

Sekolah satu aliran langkah kebelakang - Dominic
Cadangan pelaksanaan sekolah satu aliran disifatkan sebagai langkah ke belakang dan ketinggalan zaman.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memberitahu, pihak yang mencadangkan sistem pendidikan satu aliran mungkin tidak memahami sejarah negara.

"Pendidikan vernakular adalah warisan kemerdekaan negara dan pendidikan pelbagai aliran adalah sistem terbaik untuk negara dan rakyat.

"Mereka yang masih mencadangkan sistem pendidikan satu aliran sama ada hendak melaksanakan dasar asimilasi atau mereka tidak memahami sejarah negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi peluang kepada negeri Johor untuk melaksana sekolah satu aliran.

Kata Dominic, Razlan dan mana-mana pihak yang terus mencadangkan sekolah satu aliran seharusnya membuka mata dan melihat pendidikan di negara lain.

"Lihat Thailand, Kemboja, Singapura dan Indonesia yang secara beransur-ansur menjadikan lebih banyak aliran dalam pendidikan di sekolah.

"Sekolah-sekolah Cina ada di negara-negara ini tetapi Malaysia nampaknya mahu ke belakang. Pendidikan pelbagai aliran tidak akan menjadi penghalang kepada perpaduan negara," katanya. - UTUSAN ONLINE

1 comment:

  1. Tengok la kat Indonesia , Thailand , Brunei...AdaAka banyak aliran...? Buat aje...jangan layan diorang ni...!

    ReplyDelete