Ketua Pemuda DAP, Howard Lee, hari ini mengajak masyarakat Islam - terutamanya pemimpin PAS dan Umno - untuk mengambil teladan daripada cara Rasulullah SAW bermualamat.
Kata Lee, ketika berada di Madinah Nabi Muhammad membenarkan orang Islam berjual beli dengan peniaga daripada kalangan Yahudi yang bukan Islam.
Mengulas mengenai kempen digerakkan kumpulan tertentu dan disokong pembangkang, Lee berkata pihak yang berkenaan perlu mencontohi akhlak nabi yang baik itu.
“Jika dicermati sirah Nabi Muhammad SAW, Madinah yang dipimpin oleh baginda sendiri membenarkan kaum Yahudi berniaga dan berjual beli dengan orang Islam.
“Penggerak serta pengikut kempen boikot ini harus mengambil iktibar dan pengajaran besar daripada akhlak dan teladan baik itu," katanya dalam satu kenyataan.
Gerakan kempen itu dipercayai bermula di media sosial dengan beberapa akaun dibuka untuk menggalakkan orang Islam membeli barangan peniaga Muslim.
Gerakan itu kian menarik perhatian apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Ogos lalu mencadangkan agar produk bukan Muslim dilarang menggunakan tulisan Jawi pada barangan mereka.
Bahaya jika dimanipulasi
Ia juga ada kaitan dengan polemik - dan bantahan - kumpulan tertentu kepada pembelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Untuk rekod kempen “beli produk Muslim dulu” bukanlah baru kerana ia dikesan sekurang-kurangnya sejak akhir tahun lalu namun ia tidak begitu meluas.
Bagaimanapun, ada kalangan penyokong kempen mencadangkan agar kempen itu disertakan dengan memboikot produk bukan Muslim.
Kata Lee sebagai masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang rakyat Malaysia tidak boleh memboikot sesuatu produk secara melulu atau hanya berdasarkan perbezaan agama.
Beliau yang juga Adun Pasir Pinji di Perak menambah, gerakan memboikot bertentangan dengan norma masyarakat berbilang kaum di negara ini, tidak membantu perkembangan ekonomi negara serta berpotensi untuk menggugat perpaduan.
“Beberapa hari yang lalu, kita melihat bagaimana Econsave menjadi mangsa apabila pasar raya tersebut dituduh tidak lagi menjual barangan keluaran bumiputera Muslim.
“Setelah laporan polis dibuat, pemfitnah tersebut tampil membuat permohonan maaf atas kesilapan fakta," katanya.
Menurut beliau, itu adalah contoh bagaimana kempen boikot yang didorong oleh fakta yang dimanipulasi boleh menjejaskan pihak yang tidak berkenaan.
Justeru, Lee meminta pemimpin PAS dan Umno menyatakan pendirian berhubung kempen tersebut kerana setakat ini mereka mengelak menjawab persoalan berkenaan.
"Pasangan mempelai Umno dan PAS yang baru bernikah ini perlu menyatakan pendirian mereka, sama ada menyokong atau mengecam gerakan boikot tersebut.
"Mereka tidak wajar berdolak-dalih dalam isu boikot yang boleh memecah-belahkan masyarakat kita," katanya.
Sementara itu, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata kempen itu pada asalnya menggalakkan orang ramai mengutamakan produk Muslim tetapi kini dianggap PH sebagai gerakan memboikot barangan orang bukan Islam.
Menjelaskan hal itu Nik Abduh berkata ia menunjukkan sentimen orang ramai yang membantah DAP yang didakwanya "biadab" kepada Islam.
“Saya yakin 100 peratus bahawa antara faktor utama terjadinya kempen ini adalah kerana sikap biadab DAP terhadap Islam dan umat Islam," katanya.
Anggota parlimen Bachok itu menambah beliau sendiri menolak amalan memboikot barangan halal kerana ia hanya akan merumitkan kehidupan.
"Saya sokong kempen beli barangan Malaysia. Saya sokong kempen beli makanan dan barangan Muslim.
"Saya sokong kempen keluarga saya membeli di kedai sesama keluarga saya juga.
"Saya tak akan marah orang Cina kempen beli di kedai sesama mereka. Itu hak mereka, tak salah dan dah lama pun mereka buat," katanya. - www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment