ISU halal dan haram berkaitan makanan dan minuman terus menjadi topik perbincangan umum di mana sahaja dan terkini timbul kempen mengutamakan pembelian barangan produk Muslim oleh pihak tertentu sekali gus menjadikannya semakin ‘panas’.
Komuniti Islam terutama orang Melayu sejak dahulu lagi amat berhati-hati dan sensitif dalam pemilihan makanan halal kerana ia dianggap sebagai elemen yang ada hubungkait dengan kesempurnaan ibadat dan kehidupan seharian.
Sejauh pengetahuan saya dalam aspek hukum haram berkaitan makanan dan minuman ini, ulama membahagikan kepada dua kategori haram iaitu dinamakan haram semula jadi (haram zati) dan haram yang datang kemudian atas sebab-sebab lain seperti cara sembelih, proses, penyimpanan dan pertukaran sifat.
Saya rasa tiada masalah dengan haram semula jadi kerana ia memang sudah diketahui umum serta jelas statusnya. Apatah lagi masyarakat Islam sangat prihatin dan berhati-hati terhadap isu ini, namun mungkin agak sukar untuk mengenalpasti barangan yang menjadi haram ketika diproses, disimpan dan seumpamanya.
Justeru keadaan ini akan membawa kepada timbulnya keraguan terhadap status asalnya, sama ada masih halal untuk dimakan atau telah bertukar kepada haram. Menurut ulama, apabila berlaku keadaan seperti ini, langkah terbaik adalah tiada mengambilnya atau cari alternatif lain yang diyakini dan tidak meragukan. Antaranya sudah tentulah dengan membeli produk Muslim.
Tindakan membeli barangan yang jelas status halal sudah tentulah lebih baik daripada memilih barangan yang tidak ketara hala. Untuk memudahkan tindakan tentulah memilih barangan yang datangnya daripada produk Muslim.
Justeru, gerakan kempen mengutamakan produk Muslim adalah salah satu langkah terbaik dalam konteks mematuhi syariat dan membina ekonomi komuniti Islam khususnya di negara kita. Harapnya menerusi gerakan itu, segala usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang makmur dan maju serta masyarakat Malaysia yang bersatu padu dapat dicapai sebaiknya.
Oleh: ORANG KAMPUNG
No comments:
Post a Comment