Bukan setakat sangat terkejut dan keliru, malah, saya sebenarnya sangat tidak faham dengan ketaksuban Tun Dr. Mahathir kepada UMNO dan PAS. Setiap gerakan, saban tindakan oleh kedua-dua parti Melayu terbesar ini pasti akan mengundang perhatian rapat, ulasan segera serta pandangan serius dari beliau. Tidak ada yang tidak menarik perhatian beliau.
Bukan setakat itu, kini Tun Mahathir sudah sampai ke tahap menjadi pihak yang memberikan pula cadangan dan saranan bagaimana kedua-dua parti ini harus bekerjasama. Terbaharu, beliau pula yang tidak semena-mena tampil meletakkan syarat bahawa UMNO-PAS hanya boleh bekerjasama jika PAS meminta maaf kepada UMNO terlebih dahulu.
Saya ingin tegaskan bahawa saranan tersebut, tidak kami perlukan.
Pertama, benarlah nasihat adalah perkara yang baik. Akan tetapi, buat masa ini, saya yakin UMNO dan PAS tidak memerlukan saranan dan nasihat dari Tun Mahathir. Khususnya dalam urusan dalaman kami dan bagaimana kami akan kembali menyantuni orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Biarlah kami cari kembali kekuatan kami dan bangkit sendiri dengan cara kami, formula kami.
Kedua, mengapa Tun Mahathir bersikap double standard? Semasa Tun dan DAP mahu bekerjasama, adakah syarat meminta maaf yang serupa telah Tun letakkan kepada mereka? Atau adakah Tun sendiri mengambil pendekatan berjiwa besar dengan meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan DAP secara umum atas segala gelaran cauvinis, rasis dan kata-kata buruk yang Tun lemparkan kepada mereka sebelum ini sebelum Tun kembali mendakap mereka?
Demikian juga apabila Tun mahu bekerjasama dengan YB Mohamad Sabu dan PAN. Adakah Tun meletakkan syarat yang sama kepada beliau yang pernah mengeluarkan ungkapan ‘penyangak’ kepada Tun? Atau adakah Tun sendiri pernah meminta maaf kepada beliau atas segala gelaran buruk yang Tun gunakan ke atas YB Mohamad Sabu?
Saya percaya perkara yang sama juga terpakai dalam kes Tun dan Dato Seri Anwar Ibrahim dan PKR.
Persoalannya, mengapa sekarang perkara itu menjadi sangat penting dan kritikal sehingga ia wajib menjadi prasyarat untuk mana-mana parti lain bekerjasama?
Ketiga, sampai bila Tun Mahathir mahu menjadi batu api dan mengungkit-ungkit perkara silam?
Kami sedar akan segala perselisihan antara UMNO dan PAS. Kami ingat semuanya. Apa yang tidak pernah kami hamburkan kepada sesama kami sebelum ini?
Bukan setakat ungkapan ‘kafir’, tetapi pendukung UMNO dan PAS pernah berpecah sehingga mengasingkan masjid dan imam dalam solat. Kami ingat semua itu. Tun juga sebahagian dari episod gelap tersebut.
Sesungguhnya, semua itu sangat kami malu dan kesalkan. Semua itu perkara silam dan telah kami tinggalkan di belakang. Kini, kamu mahu menjadi lebih baik. Kami sedar, sampai bila kita harus terus bersengketa?
Secara peribadi, saya sangat tidak faham, mengapa Tun Mahathir begitu sakit dan gelisah jika orang Melayu bersatu dan berbaik-baik. Bukankah, pada saat dan usia sebegini Tun sepatutnya menyaran dan mencontohkan kepada kami untuk berbaik-baik, mengeratkan hubungan sesama saudara seagama dan bekerjasama memberikan kebaikan kepada rakyat?
Nasihat dan contoh sedemikian lebih kami perlukan. Nasihat dan contoh sedemikian lebih cocok dan serasi dengan imej seorang negarawan dan tokoh Melayu.
Saya harap Tun Mahathir tidak lagi akan mengeluarkan kenyataan dan saranan yang mengungkit-ungkit kesilapan lepas dengan hasrat melihat kami terus berpecah. Amat sedih jika perkara sebegitu masih terus menjadi pilihan bagi Tun Mahathir.
Demi bangsa, agama dan negara ini, UMNO dan PAS akan terus bersatu. Kami telah lupakan segala persengketaan antara kami. Yang ada, hanya keyakinan dan iltizam untuk kami sama-sama membina masa depan yang lebih baik untuk semua, insya-Allah.
Oleh: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
No comments:
Post a Comment