Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru Ketua Pemuda DAP, YB Howard Lee untuk tidak membuat kenyataan berpilih yang menggunakan sirah Nabi Muhammad sebagai sandaran tidak memboikot produk keluaran orang bukan Islam.
Sememangnya orang Islam amat mengenali Nabi Muhammad, utusan Allah yang menyebarkan ajaran agama Islam. Islam adalah agama yang tidak menindas dan menzalimi penganut agama lain.
Namun begitu, amat malang apabila penganut Islam yang kian ditindas dan tertekan disebabkan Islamofobia, merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi kepada Islam dan penganut Islam.
Islamofobia juga dapat dilihat dengan amalan diskriminasi terhadap orang Islam dari sudut kegiatan ekonomi, sosial dan pendidikan. Maka, DPIM menyokong kempen mendahulukan membeli barangan buatan Islam untuk membina kembali kekuatan ekonomi umat Islam.
Pemuda DAP seharusnya tidak bermain dengan perkataan kerana kempen ini tidak menyebutkan perkataan ‘boikot’ atau frasa ‘boikot keluaran bukan Islam’. Ini adalah manipulasi perkataan yang memberikan persepsi buruk kepada masyarakat Islam di dalam negara kita. Jangan wujudkan Islamofobia di negara kita.
DPIM mengajak YB Howard Lee mendalami sejarah perniagaan masyarakat Islam di Madinah bersama dalam kalangan Yahudi dan bukan Islam. Kaum Yahudi merupakan peniaga yang menguasai sistem kewangan dan ekonomi Yathrib (Madinah).
Mereka tidak mengamalkan cara perniagaan berteraskan ajaran Islam, maka kegiatan riba dan penindasan kepada pengguna berlaku dengan berleluasa. Disebabkan sekatan dikenakan oleh Kaum Yahudi ke atas peniaga kaum lain di pasar-pasar yang dikuasai mereka, Nabi Muhammad berwawasan untuk membina perniagaan berteraskan ajaran Islam.
Sahabat-sahabat Nabi Muhammad membantu membina pasar-pasar untuk orang Islam berlandaskan syariat Islam di samping mengukuhkan ekonomi masyarakat Islam.
Apabila ekonomi masyarakat Islam bertambah kuat, pasar-pasar Yahudi ditutup kerana mengalami kerugian. Ini kerana seluruh masyarakat Madinah, tidak kita agama lebih mengutamakan pasar milik peniaga Islam yang menjalankan perniagaan yang adil kepada pengguna dan tidak menekan sesiapa.
Akibatnya, peniaga Yahudi akur untuk berniaga dengan berlandaskan ciri-ciri adil yang diajar dalam Islam kepada pengguna. Di sinilah, semua kaum dan bangsa akhirnya bersama-sama berniaga di Madinah, berlandaskan syariat perniagaan Islam yang adil. YB Howard Lee sekadar mengambil cebisan sejarah diakhirnya untuk membuat kenyataan berpilih terhadap isu ini.
Jika Pemuda DAP, terutama ketuanya YB Howard Lee cukup berminat untuk mengambil contoh kisah Nabi Muhammad di Madinah, mengapa tidak YB Howard turut mengambil contoh sistem perundangan Islam di Madinah (hudud) dan kesusasteraan Islam di Madinah yang menggunakan seni khat untuk diterangkan kepada ahli-ahli DAP? DPIM bersama-sama Gagasan Sejahtera sedia membantu YB.
Selamatkan Malaysiaku!
Oleh: Shahir Adnan
Ketua DPIM
Parti Ikatan Bangsa Malaysia
No comments:
Post a Comment