Friday, September 6, 2019

Jemaah Menteri Bodoh Sombong

Sengaja pekakkan telinga ketepi isu Islam, Melayu dalam pentadbiran
Pendirian jemaah menteri terhadap apa yang disebut mereka ‘usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam’ di negara ini, jelas menunjukkan sikap memekakkan telinga dan bodoh sombong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mereka tidak begitu faham apa yang sebenarnya berlaku di kalangan rakyat, tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Katanya, mereka seolah-olah tidak mahu mendalami bahawa kempen yang digerakkan ketika ini adalah ‘Kempen Beli Produk Muslim’ bagi membantu ekonomi umat Islam dan bukannya kempen memboikot produk lain.

“Kabinet Malaysia buat masa ini bukanlah kabinet yang berwibawa. Menteri-menteri PH yang mabuk dengan retorik sama rata barangkali tidak faham tekanan yang dihadapi oleh masyarakat majoriti Islam di bawah.

“Setelah kerajaan dilihat gagal memberi keadilan kepada mereka untuk mendapat hak maju bersama bangsa lain, lalu mereka bertindak sendiri untuk membela nasib mereka,” kata Ustaz Abdullah kepada Ismaweb.net.

Bahkan, beliau berkata, jemaah menteri secara sengaja memekakkan telinga dan bersikap bodoh sombong untuk menyepikan isu Islam dan Melayu dalam arus pentadbiran negara.

Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri menyifatkan usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini sebagai sangat tidak wajar.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

Katanya, ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara, sekali gus meminta rakyat untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana memberi kebaikan kepada negara. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment