SAMPAI bila minoriti boleh memahami majoriti? Apakah majoriti sudah menjadi minoriti? Tahniah! Ketua Polis Johor, tindakan pantas mengesan identiti lelaki murtadkan wanita Islam. Ingatkan orang agama yang akan bersuara dan bertindak dahulu, tetapi nampak macam senyap.
Tik Tok pemuda Hindu secara berani dan terbuka bercakap mengenai cara memurtadkan wanita Islam, begitu mencabar, bukan sahaja Perlembagaan Negara, tetapi juga sensitiviti umat Islam negara ini. Ianya tidak boleh dibiarkan.
Kenapa hari ini bukan-Islam berani melakukan provokasi sebegini? Begitu berani membangkitkan isu-isu yang sensitif berkaitan agama Islam, sedangkan kita tidak pernah pun mengganggu cara hidup mereka. Malahan, jika adapun bukan-Islam memeluk Islam, itu adalah atas kerelaannya, kerana dalam Islam, kita tidak dibenarkan sama sekali memaksa bukan-Islam memeluk Islam.
Sebab itu, apabila sudah rela, kita tidak benarkan mereka yang telah memeluk Islam, keluar daripada Islam. Saya amat hairan, sekian lama, tinggal di bumi bertuah ini, apakah mereka tidak diajar dan diberitahu akan sensitiviti orang majoriti.
Apakah ibu bapa atau pemimpin parti politik kaum ini, tidak sensitif atau sekurang-kurangnya memberitahu bangsa mereka, perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Saya ingatkan pemimpin parti politik dan individu bukan-Islam supaya mengingatkan mereka ini, jangan terlalu celupar dan kurang ajar.
Saudara mungkin melihat ada orang Melayu yang jahil, tidak sembahyang, minum arak, main judi dan melakukan perkara yang bertentangan dengan agamanya Islam itu sendiri, tetapi ingat, dalam perkara agama Islam, jangan dibuat main-main.
Pantang datuk nenek moyang orang Melayu apabila dicabar sebegini. Apakah bangsa minoriti masih tidak faham budaya bangsa majoriti. Sedangkan bangsa majoriti begitu memahami budaya bangsa minoriti.
Sehingga lambakan rumah ibadat, menjadi tidak terkawal, beratus-ratus ribu bilangannya. Jangan sampai bangsa majoriti hilang sabar. Justeru, sudah sampai masanya, tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang kurang ajar dan celupar ini.
Inilah akibatnya apabila terlalu mencanangkan ‘unity in diversity’ dan ‘social cohesion’, yang menjadi kitab sesetengah ahli akademik dan telah pun dijadikan rujukan hidup bernegara. Sudah sampai masanya dua perkara ini dilihat secara serius. ‘Unity in diversity’ dan ‘social cohesion’ ini tidak berpijak di bumi nyata.
Sekadar bertemu di kedai mamak, sehingga timbul teori ‘mamakization’ tidak ke mana. Makan di kedai mamak, tidak membawa kepada interaksi kaum. Perpaduan itu perlu dilihat dari segi persamaan, ‘unity is uniformity’, termasuk asimilasi. Tujuannya, tidak lain, supaya bangsa minoriti faham cara hidup bangsa majoriti. Jika tidak, inilah jadinya.
Pergilah ke China dan ke India, apakah ‘unity in diversity’ dipraktikkan? Jika ada pun, sejauh manakah ‘diversity’ itu? Malangnya, bila tiba di Malaysia, semua mahukan ‘unity in diversity’. Asasnya apa? Apakah budaya bangsa dan cara hidup bangsa majoriti tidak menjadi pasaknya? Amat malang sekali, dalam merangka perpaduan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, langsung ditolak ketepi, seolah-olah tidak ada nilainya lagi.
Pada saya, dalam memahamkan rakyat negara ini terhadap budaya bangsa majoriti, Dasar Kebudayaan Kebangsaan mesti dihidupkan kembali. Janganlah terlalu terpengaruh dengan ‘unity in diversity’ dan ‘social cohesion’. Mudah-mudahan tidak ada bangsa yang menjadi kurang ajar seperti yang telah berlaku.
Oleh: PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
No comments:
Post a Comment