Thursday, March 25, 2021

Kartel PDRM Perlu Didedahkan, Ini soal Keselamatan, Maruah Negara

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk segera menyiasat isu ‘kartel’ di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini susulan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini, berhubung wujudnya kartel di dalam PDRM yang mendapat sokongan dari pihak luar tertentu.

Beliau berkata, data-data identiti mereka yang terlibat dalam gerakan kartel itu diperoleh daripada sumber sahih, namun tidak akan mendedahkannya kerana perkara itu diyakini masih berada di dalam kawalan.

“Sejak 2019 saya sudah ingatkan kepada semua untuk putuskan hubungan dengan taukeh judi dan dadah agar kita dapat jalankan tugas dengan selesa dan tidak diugut oleh mana-mana pihak, namun dalam tempoh itu juga saya rasa sudah hampir 100 anggota dan pegawai yang memakai ‘baju jingga’,” kata Hamid.

Terkejut dan gusar dengan pendedahan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mendesak supaya pihak berkuasa memandang serius serta menyiasat sepenuhnya perkara berkenaan.

“Jika Ketua Polis Negara pun berasa tidak selamat, mana mungkin rakyat biasa boleh selamat?

“PEMBELA menggesa Ketua Polis Negara segera membuat aduan rasmi jika benar-benar serius mahukan perkara ini diselesaikan.

“Ini supaya ia tidak menjadi polemik yang akhirnya boleh mencetuskan masalah-masalah lebih besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin berkata, pihaknya juga menuntut supaya satu bentuk pembersihan besar-besaran dilakukan segera untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM.

“PEMBELA juga menuntut supaya semua bentuk kartel dan pihak yang membiayai mereka didedahkan dan diambil tindakan tegas.

“Ini soal keselamatan dan maruah negara! Akhir sekali, PEMBELA ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Polis yang ke-214 kepada semua anggota PDRM yang selama in bekerja keras berkhidmat untuk negara,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment