Dahulu, parti itu adalah big brother dan king maker dalam mencorak wajah parti lain. Namun, sekarang UMNO tidak lagi mampu berdiri sendiri sebaliknya memerlukan ‘teman’ untuk sama-sama mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Sejarah kalah dalam pilihan raya terdahulu menyebabkan perpecahan parti. Pepatah lama jelas mengatakan, bersatu teguh, bercerai roboh dan kambing yang suka bersendirian mudah dimakan serigala.
UMNO tidak perlu lagi memikirkan hal remeh-temeh tetapi perlu memikirkan kelangsungan hidup terutama orang Melayu yang sekian lama bertuankan parti tersebut.
Selain itu, buang keegoan sebagai bekas big brother kerana orang Melayu harus dijaga dan dibela oleh parti yang telah berakar umbi.Tidak salah menerima pelawaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang boleh menjadi king maker untuk menghadapi PRU-15.
Mungkin penyatuan ini sebagai simbolik untuk mengukuhkan kekuatan parti bangsa Melayu. Justeru, jadikan perbezaan antara Pas dan UMNO sebagai titik pertemuan dan titik perdamaian yang menyatukan bangsa Melayu.
UMNO perlu mengikut jejak Pas yang mengajak untuk bergabung di bawah Bersatu yang akan memberi kelebihan berbanding jika UMNO bergerak sendirian dalam PRU-15.
Seterusnya sebagai rakyat, kita tidak mahu pemimpin masih lagi taksub dengan kejayaan yang disumbangkan oleh UMNO dahulu sebaliknya hadapi realiti dengan mendengar suara akar umbi rakyat yang tidak mahu sejarah kekalahan parti Melayu terbesar itu berulang.
Ini adalah masa untuk muhasabah dengan memilih dan meletakkan calon pemimpin yang berkarisma, berjiwa rakyat, bersih dan mengamalkan ajaran Islam pada PRU-15 nanti dan bukan pemimpin yang pentingkan duniawi serta pandai berlakon.
Hala tuju UMNO hendaklah akhirnya membawa kekuatan dan keuntungan kepada parti, agama, bangsa dan negara, bukan untuk segelintir pemimpin parti.
Oleh: ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang
No comments:
Post a Comment