Ia tentang kandungan teks ucapan khutbah Jumaat keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikatakan tidak ikut keadaan semasa.
Mereka yang mengadu ini daripada kalangan profesional, bekas pegawai tinggi kerajaan dan ilmuwan. Kata mereka, sayang sekali Jumaat yang hadir tidak dilengkapi intipati teks khutbah yang terkesan kepada jemaah. Sampai ada yang menguap, tertidur sementara nanti solat. Skrip yang dihidangkan ‘bosan kerana biasa-biasa sahaja isu dibawakan’.
Jumaat lepas, saya difahamkan di Perak, masjid-masjid di sana tidak gunakan skrip khutbah daripada Jakim – walaupun dikekalkan tema khutbahnya “Polis dan masyarakat berpisah tiada”. Dikatakan skrip yang disediakan oleh Jakim kitar cerita lama. Sedangkan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) lebih tumpu perkara semasa. Lampiran asal teks Jakim dan yang dikeluarkan MAIPk dirujuk kepada saya untuk dibuat perbandingan. Setelah diamati, nampaknya teks khutbah MAIPk lebih terkesan dengan senario masyarakat hari ini. Menusuk jiwa para jemaah.
Barangkali pegawai di Jakim kena lihat sesuatu dari perspektif semasa, kaitkan dengan isunya. Khabarnya bukan sahaja teks khutbah Jakim minggu lalu ditambah baik MAIPk, tetapi skrip khutbah Jumaat sebelum ini pun – peristiwa Israk Mikraj dan malapetaka dadah kepada ummah.
Seeloknya kandungan teks dapat kawal kombinasi khutbah. Tak harus melebihi 20 minit. Panel penulisan khutbah perlu dianggotai ahli pelbagai disiplin pengajian. Tak terbatas kepada imam-imam berlatar belakang syariah sahaja.
Suatu ketika pada Januari 2020 masjid-masjid di negara lain termasuk Singapura menutup sementara aktiviti lawatan daripada pelancong luar. Ia sebagai langkah berjaga-jaga elakkan jangkitan koronavirus. Sayangnya tajuk khutbah Jumaat dikeluarkan Jakim waktu itu adalah “Malaysia Destinasi Mesra Pelancongan Islam”.
Benar, masih tedapat sedikit peringatan diberikan kepada jemaah. Namun ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’. Situasi ini menggambarkan ketidakpekaan dalam membantu menyebarkan maklumat dan memberi kesedaran berkaitan koronavirus.
Jakim sebagai tempat rujukan masyarakat Islam sewajarnya sensitif terhadap hal-hal sekeliling yang berlaku. Kita tidak mahu ada perlakuan seperti burung kakak tua yang hanya bercakap mengikut kehendak pihak tertentu. Akibatnya, teladan dan hikmah khutbah Jumaat tidak dijiwai para jemaah.
Hari ini Selasa, dua hari lagi akan masuk Jumaat.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment