Tuesday, March 29, 2022

Gagalkah Misi Antarabangsa Guna Bahasa Melayu?

SATU rencana disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam keseluruhannya mempersoalkan keputusan dan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Sandaran hujahnya ialah pendapat beberapa orang pegawai diplomat yang tidak pula disebut namanya.

Keraguan tentang keupayaan bahasa Melayu atau lebih tepat tidak perlunya bahasa kebangsaan digunakan di peringkat antarabangsa bukan sikap dan pendirian baharu.

Hujah bahawa dunia kini dunia kosmopolitan dan bahasa Inggeris sudah begitu selesa digunakan sekian lama untuk perhubungan antarabangsa sudah menjadi klise dan ‘kepercayaan’ basi dalam beberapa hal karut. Saya katakan karut kerana di dunia, bukan hanya bahasa Inggeris yang kerap digunakan tetapi banyak bahasa lain seperti bahasa Perancis, Jerman, Rusia, Belanda, Swiss, Sepanyol, Mandarin dan Arab.

Hujah pertama yang digunakan oleh penulis terbabit untuk menolak penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa ialah kerana di mana-mana mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan hanya enam bahasa rasmi disediakan terjemahan serentak. Bagaimanapun, ini sebenarnya hanya isu teknikal.

Penulis itu sendiri mengatakan kemudahan terjemahan diberikan jika pemakluman awal diberikan dan negara terbabit sanggup membayar kos terjemahan. Demi maruah negara, adakah kos terjemahan yang merupakan satu bentuk pelaburan negara tidak boleh diperuntukkan? Saya maklum bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing mengambil langkah sedemikian. Bahkan peratusan negara menggunakan bahasa kebangsaan lebih tinggi daripada yang menggunakan bahasa Inggeris.

Hujah kedua pula disandarkan kepada pendapat seorang diplomat muda bahawa keputusan Perdana Menteri untuk mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN kononnya merupakan satu keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, iaitu hanya sesudah lawatan ke beberapa negara ASEAN.

Diplomat muda dan penulis itu mungkin tidak menyedari cadangan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah bergema sejak 1980-an dalam kalangan sarjana dan persatuan di Malaysia, Indonesia, Brunei bahkan Filipina.

Dalam Sidang Tahunan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pun cadangan itu saban tahun dijadikan resolusi. Untuk makluman, MABBIM turut disertai Singapura dan Thailand sebagai pemerhati.

MASTERA
Begitu juga Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang merupakan sebuah majlis yang merancang dan memantau perkembangan sastera Melayu/Indonesia di rantau ini. Penubuhan MASTERA dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995.

Soal sejak penubuhannya pada 1967, segala dokumen ASEAN adalah dalam bahasa Inggeris tidak menghalang cadangan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Ini kerana secara realitinya wujud 300 juta orang penutur bahasa Melayu di sejumlah besar negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Timor Leste.

Pandangan bahawa tidak perlu tradisi berbahasa Inggeris dalam ASEAN ditukar menurut perkembangan dan keperluan ialah pandangan dan sikap jumud.

Pendapat bahawa penggunaan bahasa selain bahasa Inggeris akan mengurangkan kecekapan komunikasi peringkat antarabangsa adalah jelas meleset. Sekian banyak negara menggunakan bahasa kebangsaan dalam mesyuarat atau forum antarabangsa dalam bahasa masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain. Adakah negara-negara itu gagal dalam misi antarabangsa mereka?

Saya ada pengalaman yang sahih kerana dihantar oleh kerajaan bertugas di universiti di China selama lebih lima tahun. Semua mesyuarat dengan wakil negara asing berlangsung dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan dan diterjemahkan ke dalam bahasa negara tamu (Arab, Sepanyol, Turki, Thailand, Belanda dan lain-lain).

Adakah penulis tadi hendak mengatakan China gagal di peringkat antarabangsa sebagai kuasa gergasi ekonomi dunia?

PATRIOTIK
Saya juga ada pengalaman di Jepun, Korea Selatan, Indonesia bahkan beberapa negara Eropah yang mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Penilaian peribadi bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana mendorong Perdana Menteri mengusulkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa ialah pandangan nakal yang tidak objektif dan kehilangan arah. Warganegara Malaysia sepatutnya berbangga mempunyai pemimpin yang berusaha melonjakkan maruah negara termasuk melalui bahasa negara.

Pemimpin negara yang bahasa Inggerisnya sehebat penutur jati bahasa Inggeris sekalipun wajar bersifat patriotik dengan mengangkat asas jati diri negara. Jika bahasa Inggerisnya tidak setara dengan penutur jati bahasa itu, sebenarnya tidak ada sebab untuk kita berasa rendah diri kerana bukan semua pemimpin dunia menguasai bahasa asing dengan cukup baik. Kualiti kepemimpinanlah yang utama termasuk usaha mengangkat maruah negara di mata dunia. Bahasa asing perlu dikuasai dan perlu digunakan di tempatnya yang wajar tetapi bukan penghalang usaha mengangkat martabat bahasa negara.

Demikian juga prasangka bahawa usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa hanya menjadi alat politik tidak wajar dijadikan hujah kerana ia adalah buruk sangka tanpa bukti semata-mata.

Semua pihak mesti membantu pemimpin menjayakan cita-cita ini pada saat ruang terbuka. Sikap anglophile tidak wajar mengaburkan mata hati kita.

Oleh: PROFESOR Datuk Seri Dr. Awang Sariyan

Monday, March 28, 2022

Pembuat Keris Berbangsa Cina Tetap Mahu Teruskan Legasi

Walaupun tiada pengganti...
PONTIAN: Menyusuri deretan kedai di Bandar Permas, Kukup, di Johor terletak sebuah kedai bernama Chop Seng Lee dengan papan tanda zaman dahulu masih tergantung atas pintu masuk utama, berhuruf besar serta tulisan Cina.

Kedai sederhana itu dikendalikan Lai Kah Foh, 72 tahun, seorang tukang besi generasi kedua, yang menjual senjata tajam seperti parang, parang, sabit dan keris popular.

Agak sukar untuk mencari individu berbangsa Cina di negara ini yang menerima tempahan keris, yang kini seolah-olah telah hilang ditelan zaman.

Tonton video di sini.

Lelaki warga emas Cina itu agak kekok ketika menerima kedatangan FMT ke bengkelnya yang turut mempamerkan pelbagai keris, senjata ikonik yang sinonim dengan budaya dan identiti Melayu.

Lai memberitahu FMT, dia mempelajari seni kraf itu ketika berusia 12 tahun menerusi bapanya yang juga tukang besi yang berhijrah dari China dan membuka kedai di Kukup.

“Ketika di bangku sekolah, saya terus belajar membuat kraf daripada ayah. Selain keris, saya membuat parang, bilah lain dan sebagainya walaupun sekarang saya lebih banyak membuat keris.

“Tempahan ramai pelanggan memiliki kehendak berlainan. Di sini kebanyakan aktiviti pertanian, jadi mereka tempah pisau menoreh getah, tajak, pisau rewang termasuk keris.

“Tetapi ramai yang meminati keris, zaman sekarang saya buat keris sahaja,” katanya.

Lai atau lebih dikenali sebagai Ah Lai dalam kalangan penduduk di pekan itu berkata, di China terdapat juga tukang yang membuat keris tetapi bentuknya lain daripada di Malaysia.

Ada kalanya, dia tidak dapat melakukannya seperti proses membuat keris, termasuk mengelakkan daripada menjemur kayu di bawah cahaya matahari.

Sebaliknya, Lai menyalai kayu untuk mengeringkannya yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Apabila kayu kering, maka kita akan mendapat corak cukup cantik. Kita sentiasa menggunakan kayu yang berkualiti. Kita tidak mahu menggunakan kayu yang mudah pecah.”

Pelanggannya datang dari seluruh Johor, malah ada yang sampai ke Batu Pahat. Lai berkata, satu keris boleh mencecah harga sehingga RM1,200 dan bergantung kepada permintaan pelanggan.

Kira-kira 60 tahun selepas mengasah kemahirannya, aktiviti itu masih beroperasi di bengkelnya, walaupun tidak sama dengan tempat kerja bapanya. Tetapi tidak seperti bapanya, Lai tidak mempunyai seseorang untuk menurunkan kemahiran kraf yang ada padanya.

“Saya ada tiga orang anak, jadi dikira tiada pewaris kerana semua anak masing-masing saya ada kerja.”

Namun begitu, Lai berusaha mencari individu berminat untuk belajar ilmu kraf termasuk mengambil pelajar atau anak saudaranya.

“Bekerja sebagai tukang besi bukan mudah, tetapi pekerjaan ini sangat penting. Ini kerana selain keris, parang dan pisau akan terus digunakan dalam kehidupan seharian. Jadi tukang besi boleh hidup lama, sekarang kita boleh buat, kita buat.

“Selagi saya boleh melakukan ini, saya akan teruskan. Tetapi saya juga mencari sesiapa yang berminat termasuk mengambil pelajar atau anak saudara.

“Yang penting dia mesti bersungguh-sungguh bekerja keras dan ada keyakinan. Itu penting, kalau tiada keyakinan diri sendiri, payah hendak dapat (ilmu), benda ini kerja rumit, ini kraftangan.” - freemalaysiatoday.com

Sunday, March 27, 2022

Kerajaan Perlu Perjelas Sebab Jual MySejahtera Kepada Swasta, Tiada Tender

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan memberi jawapan segera berhubung penjualan aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta sebagaimana diputuskan Kabinet pada 26 November tahun lalu.

Pada 24 Mac lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) telah membangkitkan persoalan berhubung penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, Kabinet telah membenarkan Kementerian Kesihatan (KKM) melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme runding terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera pada 26 November.

“Bagaimanapun, pada Disember 2021, PAC telah mengesyorkan bahawa kerajaan sepatutnya mengambilalih operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan aplikasi tersebut kini telah menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.

Pegawai KKM yang memberi keterangan di hadapan PAC mendakwa bahawa MySJ Sdn Bhd tidak ada kaitan sama sekali dengan KPISoft, iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera sebagai inisiatif CSR.

“KPISoft sejak itu telah menukar nama syarikat kepada Entomo. Dakwaan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn Bhd mesti diteliti dan disiasat.

“Para pengarah MySJ Sdn Bhd termasuk dua orang pengasas KPISoft. Pengarah-pengarah MySJ Sdn Bhd juga termasuk inidividu-individu yang punya kaitan politik dan perniagaan dengan beberapa parti di dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata ini termasuk Tan Sri Shahril Shamsuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy sehingga bulan Mac 2021 dan Tan Sri Megat Najmuddin yang merupakan seorang ketua UMNO bahagian yang kemudian menjadi anggota kanan Bersatu.

Sementalah itu, katanya 81.4% saham MySJ Sdn Bhd dimiliki oleh sebuah syarikat yang lain yakni Revolusi Asia Sdn Bhd di mana 88 peratus dimiliki oleh pengasas-pengasas KPISoft.

“Dalam kata lain, 71.2 peratus saham MySJ Sdn Bhd dimiliki oleh dua pengasas KPISoft yang membangunkan aplikasi MySejahtera. Untuk mengatakan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn Bhd adalah tidak jujur.

“Di bawah sistem tender terbuka, fakta-fakta ini akan diteliti oleh kerajaan dan rakyat. Dalam sistem runding terus, apa yang berlaku ini hanya mirip kepada gejala menganugerahkan syarikat-syarikat dan individu yang dekat dengan pemerintah.

“MySJ Sdn Bhd termasuk pengarah-pengarah yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam mengurus pengoperasian perisian atau teknologi maklumat tidak jelas dan menimbulkan kebimbangan tentang logik menganugerahkan aplikasi ini secara runding terus,” katanya lagi.

Anwar berkata penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

Aplikasi MySejahtera telah merekodkan lebih 11 bilion daftar masuk sejak bulan Disember 2020, dan ini adalah menurut GitHub. Maklumat daftar masuk ini mengandungi pelbagai maksud iaitu kecenderungan peribadi, corak penggunaan, atau laman sosial individu.

“Kita juga mengandaikan bahawa pengkalan data MySejatera juga termasuk maklumat kesihatan individu tentang simptom-simptom dan diagnosis positif Covid-19.

“PAC juga memberitahu bahawa segala data di dalam MySejahtera dan kerahsiaannya adalah di bawah kawalan Kementerian Kesihatan.

“Pada 19 November 2020, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa “data yang dikumpul melalui aplikasi MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh KKM dan diselia oleh Nacsa dan MKN”, katanya.

Beliau mengingatkan bahawa pada 20 Disember 2020, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSEcurity Malaysia mengatakan bahawa data MySejahtera adalah selamat.

“Data-data ini digunakan hanya untuk memantau Covid-19 dan tidak dikongsi dengan mana-mana pihak ketiga kerana ia tertakluk kepada dasar kerahsiaan”.

Laman web MySejahtera termasuk kebijakan kerahsiaan yang menyebut “Tidak ada data peribadi yang dikumpul aplikasi ini dikongsi dengan mana-mana pihak ketiga atau dipindahkan ke tempat luar dari Malaysia untuk tujuan komersial.”

Laman web itu juga menyatakan “MySejahtera dimiliki dan dikawalselia oleh kerajaan Malaysia. Ia diuruskan oleh KKM dan dibantu oleh NSC dan MAMPU.

Menurut Anwar, kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat data peribadi hanya digunakan untuk tujuan mengurus dan membendung penularan wabak Covid-19 dan tidak akan dikongsi kepada mana-mana pihak.

Laman GitHub MySejahtera pula menyatakan “Menurut polisi kerahsiaan MySejahtera, data daftar masuk individu akan dilupuskan selepas 90 hari. Statistik rumusan ini hanya disimpan sebagai jumlah agregat; MySejahtera tidak menyimpan data tersebut. Kesimpulannya, penyemakan data tidak boleh dilakukan untuk tarikh-tarikh lebih dari 90 hari, meski wujudnya ketidaktekalan.”

Oleh yang demikian, Anwar berkata persoalan-persoalan ini mesti dijelaskan oleh Kabinet:
- Mengapakah keputusan diambil untuk menjual MySejahtera kepada syarikat swasta daripada membenarkan aplikasi itu di bawah kawal selia KKM?

- Mengapa penjualan aplikasi ini tidak dibuat melalui tender terbuka atas dasar ketelusan?

- Apa sebab-sebab MySJ Sdn. Bhd. menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara untuk projek ini?

- Apakah kerajaan Malaysia sering menganugerahkan individu-individu atau syarikat-syarikat yang menjalankan CSR untuk manfaat rakyat Malaysia dengan kontrak yang lumayan?

- Apakah skop dan kepakaran MySJ Sdn. Bhd. terkait pengoperasian MySejahtera dan bagaimana KKM boleh memastikan data-data yang dikumpul oleh aplikasi itu tidak akan disalahguna oleh pihak ketiga termasuk MySJ Sdn. Bhd.

- Apakah syarat-syarat kontrak tertakluk kepada jaminan yang dibuat KKM sebelum ini tentang data kesihatan peribadi, dasar kerahsiaan MySejahtera dan undang-undang negara yang mengawalselia kerahsiaan data individu?

- Apakah peranan dan tanggungjawab MySJ Sdn. Bhd. dalam memastikan data yang dikongsi rakyat Malaysia melalui MySejahtera atas dasar mandat awam tidak akan digunakan sama sekali untuk tujuan pemasaran, pembangunan produk, pemantauan, mahupun untuk tujuan yang berunsur diskriminasi?

Friday, March 25, 2022

Undi Parti Politik Melawan Arus

SEJAK pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, pelbagai analisis muncul terutamanya daripada penganalisis politik dan politikus.

Tetapi saya kurang membaca sebarang analisis yang melihat apakah sebenarnya baik untuk rakyat berbanding dengan apakah yang baik untuk parti politik.

Selama tiga hingga empat minggu saya berada di Johor semasa PRN itu, saya mendengar pelbagai komen daripada rakyat setempat.

Antaranya yang biasa didengar ialah pilihan raya ini membazir masa sahaja, semua parti sama sahajalah dan lepas undi semua hilang tak tunaikan janji pada rakyat.

Ada komen-komen lain yang memaparkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap parti politik sedia ada dan juga mempertikaikan keperluan mengadakan PRN sekarang.

Saya juga melihat langsung tidak wujud apa-apa suasana pilihan raya dalam kalangan rakyat. Tiada laungan “ini kalilah” atau pun motivasi untuk turun mengundi dengan harapan memperbaiki nasib rakyat biasa.

Kenapa rakyat berasakan bahawa kehidupan dan kesusahan mereka tidak akan berubah melalui PRN Johor kali ini?

Adakah mereka sudah mencapai kesimpulan bahawa, tidak kira apa jua parti yang menang, ia dua kali lima sahaja?

Adakah rakyat mendahulukan kestabilan selepas ketidaktentuan politik sejak Langkah Sheraton pada awal 2020 lagi?

Rakyat sanggup mengorbankan aspirasi perubahan sebenar dengan mengundi Barisan Nasional (BN), demi kestabilan politik walaupun ia datang daripada blok yang pernah dicampak oleh rakyat sendiri pada 2018.
ELIT

Dalam pada itu, jika dilihat pada parti-parti yang memperjuangkan hak bumiputera, daripada UMNO dan serpihannya seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), rakyat kini jelas memahami bahawa kesemuanya hanya menjual retorik hak Melayu.

Parti-parti terbabit hanya menumpukan kekayaan ke dalam tangan golongan elit Melayu dan bukannya majoriti kaum itu. Begitu juga parti-parti lain yang menggunakan retorik perkauman sebagai agenda mereka.

Jika kita lihat pada pembangkang, mereka juga gagal membawa perubahan jelas dalam kehidupan rakyat, terutamanya isu-isu asas.

Walaupun mereka hanya memerintah peringkat Persekutuan selama 22 bulan, tetapi mereka telah berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor selama 14 tahun. Apakah nasib rakyat di kedua-dua negeri itu?

Kita harus sedar tentang kewujudan suatu tatacara sistem ekonomi yang merampas hasil titik peluh rakyat untuk mengkayakan segelintir peniaga dan ahli politik elit.

Ia berlaku dalam pelbagai cara, bermula daripada polisi gaji murah kepada pekerja demi membolehkan ketua pegawai eksekutif (CEO) menerima gaji ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Monopoli perniagaan yang menekan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa mengurangkan kos kerana dituntut oleh pembeli multinasional.

Merampas tanah daripada petani, Orang Asli dan juga penduduk kampung untuk diberikan kepada korporat besar, penindasan terhadap pekerja industri e-hailing dan p-hailing yang melihat pendapatan mereka semakin berkurangan walaupun pesanan bertambah.

Hampir semua parti politik dan juga gabungan politik sama ada yang memerintah atau pernah memerintah, nampaknya ingin mengekalkan status quo dominasi ini kerana ia jelas menguntungkan kerjaya politik mereka.

Kini sudah tiba masanya, kita memilih parti politik yang berani melawan arus bagi memecahkan dominasi ekonomi dan politik pihak tertentu yang memperhambakan rakyat terbanyak.

SIVARAJAN ARUMUGAM,
Kuala Lumpur

Thursday, March 24, 2022

Beijing Meluaskan Pangkalan Tentera Di Laut China Selatan

WASHINGTON: Komander Indo-Pasifik Amerika Syarikat (AS), Laksamana John C. Aquilino mendakwa China menjadikan tiga pulau buatan di Laut China Selatan sebagai pangkalan ketenteraan dengan memasang sistem peluru berpandu antikapal dan antipesawat, peralatan laser serta jet pejuang.

Lapor Sputnik, beliau menegaskan tindakan China di kawasan itu berbeza dengan kenyataan Presiden China, Xi Jinping yang memberitahu tidak akan menjadikan pulau itu sebagai pangkalan tentera.

Aquilino melakukan tinjauan bersama wartawan dengan melakukan penerbangan di ruang udara di kawasan yang dipertikaikan di kepulauan Spratly, Laut China Selatan.

Semasa berada di dalam pesawat peninjau P-8A Poseidon, Tentera Laut AS menerima beberapa amaran daripada tentera China yang mengatakan pesawat itu memasuki wilayah kedaulatan China secara haram.

Pesawat itu dinasihatkan terbang jauh serta-merta bagi mengelakkan salah pertimbangan.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat Tentera Laut AS tidak mengendahkan mesej itu dan meneruskan penerbangan.

Tentera itu dengan yakin memaklumkan melalui radio dia bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.

“China melihat pangkalan tentera di pulau-pulau itu sebagai satu cara mengembangkan keupayaan serangan ‘melangkaui pantai benua’,” katanya.

Menurut Aquilino, mana-mana pesawat tentera atau awam yang terbang di atas perairan yang dipertikaikan boleh jatuh ke dalam sistem peluru berpandu kepulauan China.

“Jadi itu adalah ancaman yang wujud, sebab pangkalan ketenteraan sangat membimbangkan di pulau ini.

“China mengancam semua negara yang beroperasi di sekitar laut dan ruang udara antarabangsa,” ujarnya.

Pertikaian di Laut China Selatan membabitkan beberapa kepulauan yang dituntut oleh China, Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Taiwan.

Beijing mengisytiharkan mempunyai hak sejarah ke atas hampir keseluruhan wilayah Laut China Selatan dengan memetik dokumen lama yang mengaitkan 90 peratus perairan itu kepada China.

Apabila keupayaan kapal perang tentera China semakin berkembang, negara itu meluaskan tuntutannya.

Akhirnya, pada 2009, China mengisytiharkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan kawasan perairan Laut China Selatan sebagai wilayah berdaulatnya. - UTUSAN

Wednesday, March 23, 2022

Singapura Buka Kedutaan Pertama Di Israel

BAITULMUQADDIS: Singapura memutuskan untuk membuka kedutaan di Israel, iaitu 53 tahun selepas kedua-dua kerajaan menjalin hubungan diplomatik pada 1965.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Yair Lapid di Baitulmuqaddis.

Kementerian Hal Ehwal Luar Israel dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Singapura di Tel Aviv itu akan menjadi lokasi penting, selain menyokong mana-mana syarikat Singapura yang ingin meluaskan kerjasama dengan rakan niaga Israel.

Lapid yang bertemu dengan Balakrishnan semalam menegaskan, keputusan Singapura untuk membuka kedutaan di Tel Aviv menunjukkan hubungan istimewa antara kedua-dia pihak.

Selain itu, Balakrishnan juga bertemu dengan beberapa pegawai Palestin di Ramallah termasuk Perdana Menterinya, Mohammed Shtayyeh.

Beliau turut memaklumkan pejabat di Tebing Barat bertujuan menyelaraskan bantuan teknikal dan memudahkan penglibatan Singapura dengan pihak berkuasa Palestin. – AFP

Tiada Halangan PBT Di Perak Guna Tulisan Jawi

IPOH: Kerajaan negeri tiada halangan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) mahu melaksanakan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di kawasan pentadbiran masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagaimanapun PBT perlu mendapat persetujuan daripada komuniti terlibat terutama dalam kalangan bukan Islam.

“Di peringkat kerajaan negeri kita tidak ada (ketetapan tulisan Jawi) kerana itu adalah usaha-usaha yang digerakkan PBT mengikut kesesuaian kawasan. Kerajaan negeri juga sebenarnya tidak ada halangan berhubung perkara itu sekiranya pihak kerajaan tempatan telah mendapat sokongan daripada penduduk,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak di sini hari ini.

Mengulas penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di sekitar Kuala Kangsar, Nolee Ashilin berkata, langkah yang diambil Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) itu telah mendapat persetujuan pelbagai pihak.

Katanya, perkara berkenaan telah dibawa ke mesyuarat penuh dan dipersetujui oleh wakil-wakil ahli majlis, serta libat urus juga dibuat dengan peniaga-peniaga bukan Melayu.

“Mereka memikirkan ini adalah bandar pelancongan yang ditakrifkan sebagai Bandar Diraja. Jadi mereka perlu kekalkan elemen-elemen yang disebut boleh menonjolkan warisan dan tradisi melalui seni Jawi. Saya kira usaha ini antara tarikan untuk daerah Kuala Kangsar,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang aduan berkaitan bantahan berhubung mengadakan tulisan Jawi dalam papan tanda sedia ada.

Terdahulu, media melaporkan kawasan sekitar Kuala Kangsar termasuk bangunan restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan menggunakan tulisan Jawi.

Langkah itu digerakkan MPKK sebagai langkah membudayakan semula tulisan tradisi itu.

Selain MPKK, Majlis Daerah Batu Gajah juga menggalakkan tulisan Jawi selepas mendapat kelulusan mesyuarat bulanan dengan tujuan mempertingkatkan penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan dan tanda di kawasan pentadbiran itu. – UTUSAN

Saturday, March 19, 2022

PN Layak Ketuai Gabungan Baharu Untuk Tumbangkan BN, Jadi Kuasa Ketiga

Melalui sistem pilihan raya “first past the post” (parti pertama meraih majoriti mudah) yang diguna pakai di negara ini, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Pun begitu, adalah penting untuk mencerna mesej-mesej tersirat yang disampaikan oleh pengundi Johor daripada perspektif sistem undi popular.

Statistik menunjukkan daripada 1,426,573 pengundi yang mengambil bahagian pada PRN itu, terdapat 826,820 pengundi (56.89%) menolak BN dan hanya 599,753 pengundi (43.11%) menyokong BN.

Jika undi parti penentang BN digabungkan di peringkat DUN pula, BN sebenarnya hanya menang di 21 dari 56 kerusi sahaja sekaligus tidak mampu membentuk kerajaan negeri.

Walaupun statitisik ini tidak diguna pakai oleh sistem “first past the post”, ia memberi isyarat jelas bahawa BN sebenarnya boleh ditumbangkan.

Dengan syarat, satu kerjasama baru parti penentang BN diwujudkan dengan segera kerana UMNO dan BN nampaknya semakin gelojoh untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Keghairahan UMNO dan BN itu tidak pelik kerana mereka sangat yakin boleh memenangi PRU15 selagi parti lawannya gagal membuang ego masing-masing untuk membentuk kerjasama.

Sedangkan, keputusan PRU14 telah membuktikan penguasaan BN boleh diranapkan dalam sekelip mata apabila parti lawannya bersatu.

Persoalannya, parti mana yang sepatutnya mengetuai kerjasama baru itu? Adakah Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Jawapan jujur kepada persoalan itu boleh diperolehi daripada statistik undi popular PRN Johor yang menunjukkan PN menjadi penyumbang terbanyak iaitu 24% (334,457 undi) diikuti PH sebanyak 20.5% (284,969 undi) dan PKR pula sekadar 5.9% (82,556 undi).

Data-data ini pastinya boleh menjadi asas kepada rundingan untuk membentuk kerjasama yang diketuai oleh PN menjelang PRU15.

Namun, untuk merealisasikannya, DAP dan Amanah perlu meneruskan formula di Johor iaitu bersama-sama dalam PH tanpa penglibatan PKR.

PKR pula perlu berlapang dada menjalinkan kerjasama dengan PN dan ia lebih mudah dijayakan kerana tidak melibatkan Amanah dan DAP yang tidak dapat diterima PAS.

Kerenggangan hubungan PAS dan PKR juga sebenarnya tidak parah kerana ia bukan melibatkan dasar parti seperti perjuangan PAS untuk menegakkan hudud.

Sebaliknya ia berpunca daripada perbezaan pendapat akibat tindakan PKR mencetuskan Langkah Kajang pada 2014.

Serangan PKR terhadap PAS menggunakan “modal” hudud hanya berlaku selepas itu.

Soal pertelagahan PAS dan DAP juga tidak menjadi rumit lagi kerana kedua-dua parti ini bertanding di kerusi yang berbeza demografinya.

Justeru, satu kerjasama di bawah khemah besar penentang BN melibatkan PN+PKR+PH yang diketuai PN perlu dibentuk bagi mencapai cita-cita yang sama iaitu menewaskan BN.

Kepemimpinan parti-parti ini perlu mengenepikan ego masing-masing demi menterjemahkan aspirasi rakyat yang telah menolak BN pada PRU14 kerana mahu melihat pemimpin yang menyeleweng dikenakan hukuman setimpal.

Semua parti yang menentang BN tidak boleh mengkhianati aspirasi itu kerana kegagalan mereka bersatu akan menyebabkan BN menang besar dan pemimpinnya yang sudah didakwa dah dijatuhi hukuman oleh mahkamah akan lolos.

Nauzubillah min zalik, minta dijauhkan.

Oleh: Saladin Hasan Salleh

Perancis, EU Dan India Tolak Cadangan Iktiraf 15 Mac Hari Menentang Islamofobia

NEW YORK – Perancis, Kesatuan Eropah dan India secara tegas membantah pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu menjadikan awal minggu ini sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia.

Kelmarin, Perhimpunan PBB meluluskan resolusi dari Pakistan yang memperingati 15 Mac sebagai hari ulang tahun serangan dua buah masjid di New Zealand pada 2019 yang mengorbankan 51 orang.

Resolusi berkenaan disokong 55 buah negara yang majoriti Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Arab Saudi, Iran, Mesir, Turki, Qatar, Algeria, Magribi dan beberapa buah negara-negara Teluk dan Afrika Utara.

Dalam ucapan perasmian, Setiausaha Agung IOC, Hissein Brahim Taha berkata, peringatan berkenaan menguatkan kesedaran global tentang ancaman kebencian dan fanatik terhadap umat Islam.

Sementara wakil dari Perancis dan India pula menentang resolusi berkenaan.

Bukan itu sahaja, kedua-dua negara itu turut menyifatkan resolusi berkenaan tidak adil dan menimbulkan masalah.

Wakil tetap PBB Perancis, Nicolas de Riviere memberitahu Perhimpunan Agung bahawa Perancis menyokong perlindungan semua agama dan kepercayaan tetapi mempersoalkan pengasingan dalam agama tersebut.

Perancis juga menolak penggunaan istilah Islamofobia, dengan mengatakan istilah Islamofobia tidak mempunyai definisi yang dipersetujui dalam undang-undang antarabangsa, tidak seperti kebebasan beragama. –  ismaweb.net

Politik Negara Tak Stabil Selagi Pemimpin Parti Sekarang ‘Aktor Utama’, Kata Penganalisis

PETALING JAYA: Politik negara tidak akan stabil selagi parti diterajui pemimpin sedia ada, kata penganalisis Mohammad Agus Yusoff.

Beliau berkata, oleh itu sampai masanya pemimpin lama melepaskan teraju kepada kepimpinan baharu.

“Pada hemat saya, politik negara tidak akan stabil selagi pemimpin parti sekarang masih lagi sebagai aktor utamanya,” katanya.

Katanya, pengunduran tokoh utama parti bukan didorong faktor “tidak hebat”, namun gaya kepimpinan mereka semakin tidak memenuhi tuntutan politik hari ini.

“Khusus untuk Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Anwar Ibrahim (PKR), Muhyiddin Yassin (Bersatu), Najib Razak (Umno), Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), Lim Guan Eng (DAP) — lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu.

“Jika mahu kekal dalam politik dan masih sayangkan parti masing-masing, jadilah pengerusi parti atau ketua umum sahaja. Biar urusan operasi harian parti diuruskan orang baharu.

“Lakukan ini sebagai jasa bakti kepada negara. Negara perlu bergerak cepat ke depan dan ini memerlukan tenaga dan idea baharu untuk menggerakkannya. Politik Malaysia perlu disuburkan. Kita perlukan kesegaran,” katanya di Facebook.

Kestabilan merosot
Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sejak 2018 Malaysia sudah mempunyai tiga Perdana Menteri, namun kestabilan negara dalam segenap segi terus merosot.

“Dengan tiga Perdana Menteri ini, apa yang dapat dilihat ialah ekonomi negara tidak terurus baik, rasuah berleluasa, kos barangan menaik, peluang pekerjaan terbatas, pengangguran rakyat meningkat, nilai ringgit merudum, bilangan menteri bertambah, dan hutang negara membengkak,” katanya.

Agus juga mengulas empat pilihan raya negeri (PRN) diadakan sejak 2018 dan mempersoalkan adakah Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor semakin maju atau stabil politiknya.

“Selepas empat PRN, semakin majukah empat negeri tersebut? Dalam konteks negara pula, semakin stabilkah politik kita? Semakin yakinkah pelabur kepada negara kita? Semakin perlukah kita kepada PRU15 dipercepatkan?” soalnya.

Sabtu lalu, PRN Johor menyaksikan kemenangan besar berpihak kepada Barisan Nasional (BN). Terdahulu pada PRN Melaka, juga menyaksikan sokongan pengundi kembali berpihak kepada BN.

Kemenangan bergaya BN itu menyaksikan segelintir ahli dan pimpinannya menggesa PRU15 segera diadakan. - freemalaysiatoday.com

Friday, March 18, 2022

Sultan Ibrahim Titah Semak Kesahihan Kelayakan Akademik Calon

Calon Exco dititah isytihar harta: Sultan Johor
BANGI – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

Menurut Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office), baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru, semalam.

“Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Pertemuan bersama Sultan Ibrahim berlangsung hampir satu jam dan baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Datuk Hasni, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

“Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda. - ismaweb.net

Johor – Jauh Daripada Kemenangan “Cemerlang” ​​Untuk BN

Walaupun pada permukaan, kelihatan seperti pengundi di Johor telah mengalihkan pilihan mereka kembali kepada Barisan Nasional, jika dilihat dengan lebih dekat, keputusan akan membuktikan sebaliknya.

Pertama, adalah tidak adil untuk mengatakan BN memenangi majoriti pengundi Johor, kerana pada hakikatnya, mereka hanya berjaya 43 peratus.

Ya, kemenangan adalah kemenangan, tetapi seseorang tidak boleh mengatakan kudanya berada di tempat kedua apabila hanya dua kuda mengambil bahagian.

Realitinya, bukan BN mendapat semula sokongan di kalangan pengundi, sebaliknya Pembangkang kehilangan sokongan di kalangan semua masyarakat.

Sokongan kepada PH adalah jauh daripada zaman kegemilangan Reformasi.

Angka tidak berbohong dan setakat pilihan raya negeri Johor, satu-satunya parti yang mengekalkan sokongannya ialah Perikatan Nasional.

PN bukan sahaja berpegang pada sokongannya, tetapi sebenarnya mencapai peningkatan dari seluruh pengundi Melayu, Cina dan India.

Secara keseluruhan, Umno memperoleh 3.6 peratus dalam bahagian undinya, manakala MCA memperoleh 1.6 peratus dan MIC sedikit sebanyak 0.4 peratus.

Ini bukanlah kemenangan besar, memandangkan Bersatu dan PAS sebenarnya mengekalkan bahagian undi mereka dari 2018.

PAS hanya kalah sedikit sebanyak 0.9 peratus, manakala Gerakan berjaya memperoleh 1.9 peratus undi.

PN membuat banyak “inroads” ke dalam pangkalan sokongan Pakatan Harapan, manakala di 35 daripada 56 kerusi, undi daripada PN dan PH jauh lebih besar daripada BN.

BN hanya mendapat faedah kerana berlaku perpecahan undi, tidak ada yang lain.

Sebaliknya, PN mencapai keuntungan merentasi semua komuniti etnik dan lebih daripada dua kali ganda sokongan di kalangan orang Melayu.

PN menawan lebih kurang 33 peratus sokongan masyarakat Melayu di Johor.

Satu lagi faktor yang dikaitkan dengan kemenangan BN yang dikatakan “landslide” ​​ialah peratusan keluar mengundi yang lemah daripada 84.5 peratus pada 2018 kepada 54.9 peratus sahaja.

Ini mungkin disebabkan oleh kebimbangan yang timbul daripada pandemik Covid-19 dan juga sekatan yang dikenakan terhadap kempen.

Jadi, kesimpulannya, bagi pengundi seperti kami, adalah tidak adil untuk menganggap kami telah “kembali” kepada BN.

Pengundi tidak bisu dan tidak buta. Orang-orang seperti Najib Razak dan kroninya mungkin boleh memperdayakan beberapa orang, tetapi secara keseluruhannya, pengundi masih mengetahui kebenaran di sebalik apa yang dipanggil “Bossku”.

Rizalman Hamid Kusnan
Pelangi Heights, Johor Bahru

Tuesday, March 15, 2022

Tukar Nama Port Dickson, Georgetown, Butterworth

PETALING JAYA: Usaha penukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka baru-baru ini perlu diteruskan dengan tempat-tempat lain yang turut dinamakan oleh penjajah seperti Port Dickson, Georgetown dan Butterworth.

Sebelum zaman penjajahan British, Port Dickson dikenali sebagai Tanjung manakala Georgetown pula terkenal dengan nama Tanjong Penaga. Begitu juga Butterworth yang dipanggil sebagai Bagan.

Malah, kawasan-kawasan ba­haru yang diterokai penjajah seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser turut menggunakan nama Inggeris.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican menyifatkan, tempat-tempat yang dinamakan oleh penjajah perlu diubah kerana ia sebenarnya memadam sejarah awal tempat tersebut.

Katanya, walaupun sebelum ini ada usaha-usaha dari kerajaan untuk mengembalikan nama asal, suatu gelombang pembaharuan diperlukan bagi memartabatkan identiti asal negara ini.

“Apabila penjajah mengambil alih nama asal seperti di Georgetown dan Butterworth, ia bermaksud mereka menjarah identiti tempat itu. Mereka bukan sahaja merosakkan sejarah tetapi memadam sejarah tempat yang sudah sekian lama wujud.

“Jadi, usaha mengembalikan nama seperti Bukit Melaka ini perlu diteruskan, perlu ada gelombang dengan mengubah nama penjajah kepada nama asal. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi polemik kerana ia melibatkan identiti, budaya dan bahasa kita, ini proses menyah penjajah dan mengembalikan identiti kita.

“Dalam keadaan sekarang ini, tidak ada apa yang menghalang kita, tidak ada sebarang sekatan. Mengapa tidak ubah? Kalau saya Perdana Menteri, saya akan ubah nama-nama tempat, nama-nama jalan,” katanya.

Papan tanda
Beliau mengulas mengenai Bukit St. Paul yang kini dikenali dengan nama asalnya Bukit Me­laka, malah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sudah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan lokasi tersebut sebagai Bukit Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan, penukaran nama tersebut adalah untuk mengembalikan semula nama asal bukit berkenaan dan tindakan itu dilihat mampu menjadi produk baharu pelancongan negeri.

Jelasnya, Bukit Melaka merupakan nama asal lokasi itu ketika pemerintahan Kesultanan Me­layu Melaka sebelum kedatangan penjajah.

Pada masa sama, kata Ahmad Murad, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tegas dengan permohonan nama kawasan-kawasan baharu seperti taman perumahan, bandar dan bangunan yang tidak mematuhi penggunaan nama bahasa Melayu.- UTUSAN

Sakit Hati Bahasa Melayu Masih Terpinggir

AMAT sedih apabila promosi iklan Sukan Komanwel, Sukan Paralimpik dan Sukan Asia yang disiarkan di televisyen swasta sebelum ini berbaur perkauman. Sungguh menyakitkan hati. Adakah mereka tak pandai berbahasa Melayu walaupun sepatah dua? Adakah promosi tersebut untuk negara lain, bukan Malaysia?

Begitu juga jika ke Genting Highlands, Pahang, papan-papan media dan bahasa informasi yang digunakan tidak mengutamakan bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa ketiga di situ.

Tokoh politik bertaraf menteri yang memberi ulasan dan ucapan tentang isu ekonomi juga menggunakan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan rakyat di kampung tidak memahami apa disampaikan sehingga dasar-dasar kerajaan yang memberi peluang kepada rakyat tidak dapat dikecapi terutama oleh orang Melayu dan bumiputera. Hal sama melibatkan tokoh-tokoh perniagaan baik yang korporat ataupun orang kenamaan.

Justeru, saya mencadangkan kepada pemimpin masyarakat, ahli korporat, peniaga, media, ahli sukan dan orang ramai agar memainkan peranan proaktif demi merealisasikan matlamat memartabatkan bahasa Melayu.

Tokoh-tokoh seperti Tan Sri Hussein Ahmad dan Datuk Dr. Firdaus Abdullah mengaku dan sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan bahasa kebangsaan.

Di sinilah peranan RTM, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta menanamkan semangat cintakan bahasa kebangsaan memandangkan banyak papan tanda, iklan dan pelbagai dokumen seperti memo, risalah serta dokumen perjanjian masih dalam bahasa Inggeris.

Jangan undur ke belakang sehingga sanggup menjadikan bahasa Inggeris untuk bahasa sains dan teknologi. Mengapa tidak sanggup meneruskan usaha murni pemimpin dahulu yang mendaulatkan bahasa kebangsaan dengan cara memperkenalkan istilah dan terjemahan dalam pelbagai bidang ilmu sehingga tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain menggunakan bahasa Melayu dalam semua kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam?

Lihatlah usaha Dr. Ridhuan Tee Abdullah, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Dr. Lim Swee Tin yang tidak pernah berhenti memperjuangkan bahasa Melayu.

Dengarlah rintihan mereka dan jangan rosakkan generasi akan datang dengan momokan bahasa Melayu bukan bahasa sains dan teknologi dan tidak global. Indonesia, Thailand, Jepun bahkan Brunei menjadi contoh terbaik untuk diikuti.

Untuk menjadi satu bangsa yang dikatakan Malaysia, bahasa akan menunjukkan bangsanya.

GURU KAMPUNGAN
Kampung Selandar, Melaka

PRN Johor: Tak Mustahil UMNO ‘Kuburkan’ MN

ALOR SETAR – Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan UMNO menamatkan Muafakat Nasional (MN) selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Malah, kemenangan BN yang bertanding secara solo memberi lebih keyakinan kepada parti itu untuk terus bergerak secara sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“PAS tidak pernah berhasrat untuk menguburkan MN walaupun pemimpin daripada kedua-dua parti kini dilihat sering bertikam lidah.

“Saya nampak kemenangan berturut-turut BN di PRN akan mempercepatkan usaha mereka untuk memacak batu nisan pada MN.

“Namun, PAS sejak awal lagi memang tak mahu tamatkan gagasan itu,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Tegas Muhammad Sanusi, pendirian PAS sehingga kini masih kekal dan tidak berubah seperti diputuskan oleh Majlis Syura iaitu memperkasakan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tunggu tengok sama ada UMNO mahu pacak batu nisan tu, kalau berlaku, kita (PAS) hafal talkinlah,” katanya.

Tegas Menteri Besar Kedah itu sebarang perubahan termasuk membubarkan MN kini terletak pada keputusan UMNO, kerana PAS tidak pernah membangkitkan isu tersebut.

“Terpulang pada UMNO, PAS tak pernah buat keputusan mahu putuskan hubungan dalam MN, sebaliknya pimpinan UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presiden parti itu kerap membuat kenyataan ke arah perpecahan.

“Walaupun nampak sukar, namun itulah keputusan yang PAS mahu capai untuk perkasakan MN dan pertahankan PN,” katanya lagi. - ismaweb.net

Monday, March 14, 2022

Undi Merosot, Kemenangan BN Tak Wakil Majoriti Rakyat Johor

BANGI – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti rakyat negeri itu.

Ini memandangkan peratusan rakyat yang turun membuang undi hanyalah 54 peratus berbanding 70 peratus seperti sasaran dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Presiden BERJASA, Haji Samad Ashaari berkata, hanya 54.9 peratus atau bersamaan 1,426,573 juta sahaja turun mengundi berbanding 2,597,742 jumlah mereka yang layak.

“Peratusan yang rendah keluar membuang undi ini memberi satu indikator bahawa kemenangan BN adalah tidak mewakili majoriti rakyat Johor.

“Hakikatnya, rakyat masih trauma dengan polemik orang politik yang hanya mementingkan agenda parti dan kuasa politik parti berbanding dengan agenda survival rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan BN dalam PRN Johor yang menyaksikan parti itu memperoleh mandat besar lebih dua pertiga majoriti daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

BN memenangi 40 kerusi dengan UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga.

Mengulas lanjut, Haji Samad berkata, senario orang politik hanya turun padang menjelang PRN terus menghantui pengundi.

“Situasi ini sepatutnya tidak wujud lagi, kemajuan sesebuah negara perlu kepada susuk tubuh ahli politik yang berwibawa, bebas dari segala isu rasuah dan mempunyai integriti diri.

“Selain memiliki wawasan yang jelas ke mana hala tuju negara dalam tempoh masa 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berpandangan, rakyat sebenarnya dahagakan kepimpinan baharu dalam mengubah landskap politik negara kepada yang lebih baik dalam jangka masa panjang.

Justeru, katanya, kepada pemimpin yang menang, tunaikan tanggungjawab sebagai individu diberi amanah oleh rakyat.

“Gelaran Yang Berhormat bukan tiket keistimewaan atau untuk dibanggakan.

“Hakikatnya adalah tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada rakyat, bangsa dan negara,” katanya.

Malah, Haji Samad menegaskan, antara tanggungjawab besar pemimpin yang terpilih dalam kalangan ahli UMNO ialah memperjuangkan dan mengarusperdanakan perundangan syariah di negeri Johor. - ismaweb.net

Thursday, March 10, 2022

Guna Sijil, Ijazah Palsu Satu Jenayah

SEBARANG tuduhan sijil atau ijazah palsu ataupun sijil atau ijazah yang diperolehi dari mana- mana universiti yang tidak wujud yang dilemparkan kepada mana- mana pihak perlu disiasat dengan teliti dan segera. Ini bagi mengelakkan sesetengah pihak daripada terus menggunakan sijil atau ijazah mereka yang tidak mempunyai nilai itu dalam negara kita. Isu sijil atau ijazah palsu ini bukan lah satu isu yang baru dalam negara kita. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, tuduhan sijil atau ijazah palsu ini mula muncul dalam negara kita. Tidak dapat dipastikan sebab-sebab utama penggunaan sijil atau ijazah palsu ini. Antara sebab- sebab yang boleh dikenalpasti adalah kerana terdesak untuk mendapatkan pekerjaan, kemunculan pelbagai jenis teknologi moden yang memudahkan proses pembuatan sijil atau ijazah palsu serta untuk tujuan melakukan aktiviti jenayah. Isu yang melibatkan sijil atau ijazah palsu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap negara kita.

Sekiranya seseorang yang memiliki sijil atau ijazah palsu ini mendapat sesuatu pekerjaan diatas sebab sijil atau ijazah palsu yang mereka yang miliki, mereka tidak akan berupaya melakukan sebarang jenis pekerjaan kerana mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran asas yang dimiliki oleh mereka yang dapat sijil atau ijazah yang tulen. Kesan negatif penggunaan sijil atau ijazah palsu bukan sahaja terhad terhadap diri pelaku malah turut memberi kesan kepada organisasi di mana di pelaku bekerja, kepada masyarakat sekeliling dan negara. Adalah penting untuk diketahui, penggunaan sijil atau ijazah palsu ini adalah satu bentuk kesalahan dan jenayah.

Sekiranya seseorang itu telah diambil bekerja berdasarkan sijil atau ijazah palsu ini, mereka boleh dianggap telah melakukan kesalahan besar yang boleh dikenakan hukuman berat termasuklah dibuang kerja terus oleh pihak majikan. Selain daripada dibuang kerja, kesalahan penggunaan sijil atau ijazah palsu ini juga boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah dan boleh disiasat dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574]. Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574]. Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574] menyatakan tentang kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan jelas iaitu ”Barang siapa membuat sesuatu surat atau sebahagian surat palsu dengan niat hendak menyebabkan kerosakan atau bencana kepada awam atau kepada seseorang, atau hendak menyokong apa-apa tuntutan atau hak, atau hendak menyebabkan seseorang melepaskan harta atau membuat apa-apa kontrak yang nyata atau yang disifatkan ada, atau dengan niat hendak melakukan tipuan atau supaya tipuan boleh dilakukan, adalah melakukan pemalsuan”.

Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini denganmenyatakan bahawa ”Barang siapa melakukan pemalsuan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”. Oleh yang demikian, adalah penting supaya isu penggunaan sijil ataupun ijazah palsu ini dipandang serius oleh semua pihak dalam negara kita. Semua pihak perlu elakkan diri mereka daripada menggunakan sebarang jenis dokumen palsu dalam kehidupan mereka.

Ia bagi mengelakkan diri mereka yang terlibat daripada menyesal dikemudian hari kerana boleh berdepan dengan hukuman yang berat dan boleh menjejaskan reputasi serta masa depan mereka.Pihak majikan perlu memainkan peranan mereka dengan meneliti segala dokumen, sijil ataupun ijazah yang diberikan kepada mereka. Pihak majikan tidak boleh memandang ringan terhadap perkara ini kerana ia melibatkan reputasi organisasi mereka. Bahagian sumber manusia di setiap sektor pekerjaan perlu menjalankan proses pengesahan teliti terhadap semua jenis dokumen, sijil ataupun ijazah yang telah diberikan oleh pekerja bagi memastikan setiap dokumen, sijil ataupun ijazah yang telah diberikan oleh setiap pekerja mereka adalah sah serta diperakukan untuk penggunaannya dalam negara kita. Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam soal pengesahan sijil ataupun ijazah akademik ataupun kemahiran yang dimiliki oleh seseorang individu dalam negara kita.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow

Wednesday, March 9, 2022

Tak Perlu Malu Berucap Bahasa Melayu

SAYA menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar pimpinan utama negara bertutur dalam bahasa Melayu bagi semua urusan rasmi kerajaan di dalam dan luar negara termasuk persidangan antarabangsa. Dalam masa sama tidak menghalang penggunaan bahasa Inggeris mengikut situasi negara dikunjungi.

Bagi saya, ini salah satu cara bagi negara memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Ini adalah salah satu langkah proaktif bagi memperkenalkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Jika dikaji, negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Rusia, Jerman dan banyak lagi menggunakan bahasa kebangsaan dalam siri lawatan rasmi ke luar negara.

Saya juga setuju dengan pendapat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan serta Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di mana penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa bukan langkah kebelakang dan bermasalah kerana kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang untuk menterjemahkan bahasa Melayu dalam tempoh singkat dalam apa jua bahasa.

Ismai Sabri ketika kunjungan ke Kemboja dan Thailand bulan lalu memeranjatkan media asing yang mengikuti program rasmi itu dengan tampil berucap hanya dalam bahasa kebangsaan.

Beliau dalam sidang akhbar di Bangkok menjelaskan, tidak perlu berasa malu malah bangga kerana Malaysia harus menjuarai bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.

Sama-sama kita terus martabatkan bahasa Melayu kita.

Oleh: DATUK ARMAND AZHA ABU HANIFAH