Sunday, February 28, 2021

Utama Muafakat Politik Demi Bangsa, Agama

PERSELISIHAN berterusan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu diselesaikan segera terutama dengan mengutamakan muafakat politik atau mungkin mengambil langkah radikal melalui penggabungan.

Hakikatnya, BERSATU biarpun tidak sebesar UMNO, kedudukannya yang memiliki kuasa politik Perdana Menteri menjadi pusat strategik tidak boleh disangkal mana-mana pihak.

UMNO biarpun pohon rendang tegap, tetapi tidak dapat berperanan aktif seperti dahulu kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif nombor satu negara.

Kini segala formula perlu diperah untuk menyelesaikan perselisihan antara UMNO dengan BERSATU. Orang Melayu dan umat Islam tidak mahu melihat pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, adalah hasil ijmak atau kesepakatan semua persatuan Melayu di Tanah Melayu untuk menentang Malayan Union.

Ijmak itu hampir kelihatan muncul sekali lagi ketika kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setahun lalu. Namun, pemimpin Melayu gemar bertelingkah apabila kembali berada di persada kuasa.

Tingkah seperti itu adalah paradigma klasik politik Melayu sejak era Kesultanan Melaka yang menyaksikan empayar itu runtuh dan sejarah menghukum orang Melayu dengan penjajahan sehingga 1957.

Oleh itu, selepas lebih 60 tahun merdeka, orang Melayu perlu satu ijmak politik baharu pasca-Malayan Union dibina atas asas sama seperti dibangunkan pengasasnya.

Soalnya, bagaimana ijmak itu boleh berlaku sekali lagi jika tiada satu titik permulaan baik dan mahal. Apakah pemimpin Melayu mahu menunggu satu titik permulaan merugikan orang Melayu dan Islam sebelum satu ijmak baharu hendak dilakarkan pada kanvas penyatuan dengan penuh keinsafan dan air mata?

Dikhuatiri air mata keinsafan ketika itu sudah terlewat dan tidak berguna lagi. Kestabilan politik Malaysia bergantung kepada kekuatan ijmak kesepakatan parti politik Melayu.

Tanpa kestabilan politik, sukar untuk negara 'membidani' kemakmuran ekonomi atau meraih keterangkuman semua kaum serta agama untuk terbabit secara langsung dalam proses pembangunan negara seperti era lalu.

Pertama, legasi sejarah dari mana dan bagaimana Malaysia ini bermula.

Kedua, keindukan Melayu-Islam-Bumiputera. 

Ketiga, nilai wasatiyah atau kesederhanaan yang perlu dihayati.

Keempat, nilai keterangkuman negara inklusif untuk semua.


Empat asas inilah menghantui kegagalan dan keruntuhan kerajaan PH lantaran keegoan untuk mengubah sistem nilai asas Malaysia yang asal kepada apa yang dinamakan sebagai 'Malaysia Baharu'.

Keempat-empat asas penting itu kelihatan sekarang ini. Namun, apabila tiada ijmak kesepakatan dalam kalangan tiga parti utama ini, kebuntuan pasti akan membawa perpecahan.

Perpecahan membawa kepada kerugian. Percantuman mungkin penyelesaian ideal. Mungkin jalan itu berliku dan berduri, tetapi tidak mustahil berlaku.

Biarlah peristiwa itu berlaku ketika kita dalam keuntungan dan bukan ketika dalam kerugian dan penuh dengan penyesalan.

Oleh: Dr Azmul Fahimi Kamaruzaman

No comments:

Post a Comment