Saturday, March 13, 2021

Cetek Sungguh Kita Dalam Memahami Erti Perpaduan

Apa hairan anak Melayu ramai di SJKC kurang murid?
SAYA hanya ketawa beruk apabila membaca tulisan K Parkaran bertajuk ‘Sekolah Cina di mana pelajar Melayu melebihi bangsa lain’, dalam laman web freemalaysiatoday.com, hari ini. Pada Parkaran, itulah lambang perpaduan.

Cetek sungguh kita dalam memahami erti perpaduan. Perpaduan dilihat bila anak Melayu berada di Sekolah Cina (SJKC). Kenapa tidak lihat sebaliknya, anak Cina di Sekolah Kebangsaan (SK)? Parkaran rasa pelik, pelajar Melayu melebihi pelajar Cina di SJKC Khai Chee, Kuala Kangsar.

Katanya, dengan menerima pendaftaran 42 murid dari Tahun Satu hingga Enam, sekolah itu menjadi contoh rakyat Malaysia memilih perpaduan dan pendidikan berkualiti. Sekurang-kurangnya 27 daripada murid berkenaan adalah anak Melayu dari kampung sekitarnya, dengan tiga India dan selebihnya pelajar Cina.

Apa yang nak dihairankan? SJKC berada di kawasan majoriti Melayu. Sekolah kategori kurang murid yang sepatutnya ditutup, tetapi tidak dapat ditutup kerana ditentang oleh pertubuhan Pendidikan Cina seluruh negara. Kerajaan pula terpaksa akur, takut undi lari kononnya, walhal Cina tak undi pun.

Saya syorkan Parkaran, luaskan pemandangan dan perjalanannya, pergi pula ke Batu 18, Hulu Langat, di situ ada sebuah Sekolah Cina, SJKC Choon Hwa, juga kategori sekolah kurang murid. Di situ, ada 23 murid semuanya, hanya seorang pelajar Cina, selebihnya semua Melayu. Bilangan murid tidak sampai 30 orang, terpaksa kerajaan menyediakan hampir 10 guru.

Berapa banyak wang habis menampung sekolah kurang murid ini. Tetap tidak boleh ditutup. Sebenarnya banyak lagi SJKC kurang murid yang tidak dapat ditutup, kerana tentangan ultra kiasu. Apa nak dihairankan apabila Parkaran menemubual ibu bapa murid tersebut kenapa menghantar anak ke SJKC? Saya boleh duga jawapannya.

Cuba Parkaran pergi tanya, ibu bapa Cina yang menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Baru adil. Orang Melayu menghantar anak mereka ke SJKC, ada sebab. Pertama, Bahasa Melayu mereka telah dikuasai dan mantap. Mereka mahu tambah bahasa, kerana ini tuntutan agama. Islam menggalakkan umatnya menguasai dan belajar bahasa orang lain.

Masalahnya penguasaan Bahasa Melayu (BM) dalam kalangan murid-murid Cina di SJKC. Kenapa perkara ini tidak ditonjolkan atau dikaji? Kenapa tidak ditemuduga murid Cina mengenai tahap penguasaan Bahasa Melayunya. Berapa ramai murid SJKC gagal dan tidak boleh bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.

Parkaran kata, ada 27 peratus pelajar Melayu di seluruh negara di SJKC. Mana dapat angka ini? Betul ke daripada Kementerian Pendidikan? Tolong beri rujukannya? Pertubuhan Pendidikan Cina yang ekstrem, Dong Zong dan Jiao Zong pun kata dalam 16 peratus sahaja. Setahu saya hanya sekitar 15-18 peratus sahaja iaitu di bawah 20 peratus.

Saya fikir Parkaran, elok pergi kira pelajar Melayu di SJKT daripada susah payah mengira murid Melayu di SJKC. Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit kepada SJKC/T, apa kerajaan dapat? Makin mantapkah perpaduan? Makin mantapkah BM di SJKC/T?

Soal perpaduan bukan soal Melayu ke SJKC tetapi anak Cina ke Sekolah Kebangsaan. Pada saya, orang Melayu cukup memahami orang bukan-Melayu. Sebab itu, SJKC boleh hidup atau ‘survive’ di kawasan kampung majoriti Melayu.

Orang Melayu bila berjumpa orang Cina, terus bercakap dalam lengkok bahasa Cina. Contoh, ‘ini balang, berapa halaga’? Berbanding orang Cina bercakap dengan orang Melayu, langsung tidak hilang Cinanya, maka keluar kata-kata, lu tatak piligi sana kah? Lu apa maciam? Haiya, itu loli sula mali oooo.

Cina atau India, kena pergi kepada Melayu dan Bumiputera untuk mengenali mereka lebih dekat dengan menguasai Bahasa Melayu. Ini kerana, orang Melayu sudah cukup memahami bukan-Melayu. Sebab itu, orang bukan-Melayu boleh membina kekayaan tinggal di kawasan majoriti Melayu Islam.

Saya syorkan Parkaran, banyak lagi SJKC seperti ini di seluruh negara. SJKC kurang murid yang tidak ditutup. Pergilah tanya soalan lagi kepada ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka di SJKC. Temubual sama murid-murid Cina dalam Bahasa Melayu. Apabila telah lakukannya, barulah sedap sikit bercakap. Jika tidak, gajah pun boleh terbang.

Oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

No comments:

Post a Comment