Thursday, March 18, 2021

Tanah Ini Dicabut Identiti Asal “Melayu” nya Sedikit Demi Sedikit...

Berfikir semula tentang Merdeka: Negara Bangsa atau Negara Tamadun?
Peta yang menunjukkan Tanah Melayu
termasuk dalam Wilayah ke 19 China
1) Setelah 63 tahun Merdeka, integrasi nasional masih lagi gagal dicapai. Perpaduan antara rakyat semakin berpecah belah. Hasrat melahirkan sebuah negara bangsa beridentitikan “multikultural” gagal menyelesaikan krisis antara kaum. Solusi ini hanya menimbulkan masalah-masalah kaum yang lebih ekstrim. Setiap kaum ibarat duduk dalam “negara” sendiri dan gagal untuk berintegrasi. Mengapa?

2) Masalah utama adalah pada mengembalikan semula identiti asal “tanah ini”. Setelah ribuan tahun Tanah ini dicabut identiti asal “Melayu” nya sedikit demi sedikit akibat penjajahan. Sebuah negara Bangsa Baru bernama Malaysia dicipta pasca kolonialisme. Hasrat mengabungkan bekas-bekas tanah jajahan British terangkum dalam sebuah “grand strategy” The Greater Malaya seperti yang tercatat dalam lipatan sejarah.

3) Antara hasrat besar strategi ini adalah membentuk sebuah “negara bangsa baru” bernama Malaysia yang mempunyai identiti baru, dengan meleburkan identiti asal setiap warganegara. Dalam negara baru ini tiada lagi Melayu, Cina, India, dan lain-lain tetapi yang ada hanya Bangsa Malaysia. Nampak seperti baik hasratnya. Tetapi apakah identiti baru yang hendak dibentuk?

4) Berbahasa dalam bahasa Inggeris, bersekolah melalui sistem pendidikan inggeris, berkongsi cita rasa inggeris, berminda inggeris, identiti baru yang dibentuk ini adalah identiti “anglophile” . Walaupun pada nama beliau seorang Melayu, namun cara fikir, tidak tumpah seperti seorang Inggeris. Maka berjayalah hasrat penjajah untuk kekal “menjajah” melalui proksi-proksinya.

5) Kelompok ini menguasai segenap sudut pemerintahan negara. Tetapi ironinya mereka menubuhkan parti-parti beridentitikan kaum untuk mengaut undi dan sokongan rakyat yang dahagakan identiti asal mereka ini dikekalkan dan dipelihara.

6) Masalah perkauman tidak boleh dirawat dgn sekadar bahagikan kerusi di Parlimen sahaja, atau hapuskan sekolah vernakular. Naratif identiti rakyat harus diikat dalam satu naratif identiti yang sama.

7) Di sini kita dapat lihat dua bentuk esktrim yang lahir daripada fahaman tentang Bangsa di Malaysia, “Rasis” dan juga “tolak semua identiti”.

8) Hal ini sangat bercanggahan dengan fitrah asasi manusia. Manusia secara sosialnya memerlukan sesuatu untuk disandarkan sebagai satu identiti. Apabila tiada identiti, maka hidupnya tiada tujuan dan menjadi satu entiti tanpa jati diri.

9) Salah faham ini timbul, apabila sebahagian rakyat memandang negara ini sebagai “negara bangsa” dan bukannya “negara tamadun”. Apa bezanya?


10) Negara Bangsa adalah terbina daripada bangsa “buatan”. Lebur semua identiti jadi “satu identiti” tanpa agama dan bangsa.

11) Negara Tamadun pula negara yang terbina daripada proses sosialiasi mengambil kira naratif sejaeah Bangsa semulajadi yang ada di sesuatu kawasan. Seperti sebahagian daripada Negara China dan India.

12) Sebagai contoh, jika anda berhijrah ke China, atau India dan mahu berpartisipasi dalam politik dan mendapat hak kerakyatan, adakah anda perlu menerima prinsip-prinsip negara terbabit? Seperti berbahasa Cina, berbudaya Cina dan sebagainya.

13) Ya anda perlu. Begitu juga dengan negara ini. Sejak ribuan tahun negara ini adalah Negara Tamadun yg memiliki identiti kebangsaan Melayu. Tidak jadi masalah jika anda datang sebagai orang dagang untuk berniaga dan kemudian pulang semula ke negara asal.

14) Tetapi jika anda hendak mendapat hak yg sama sebagai seorang rakyat, dan berpartisipisasi dalam politik, anda perlu menerima prinsip asas negara ini, iaitu menerima kebangsaan Melayu.

15) Dari situ termeterainya ikatan sosial yang menjadi prasyarat kerakyatan awal. Namun hari ini, sebahagian besar bangsa yang datang ke negara ini, masih lagi membawa acuan “superiority” bangsa asal.

16) Di satu ekstrim ada yg mengatakan bahawa negara ini adalah “tanah Chola” dan wilayah ke 19 China. Di satu ekstrim lagi, mengatakan bahawa ini adalah negara bangsa tanpa identiti dan agama. Kedua-duanya bekerjasama utk meruntuhkan prinsip asas “Negara Tamadun” ini iaitu Kebangsaan Melayu.

17) Di bawah Kebangsaan Melayu, hak anda sebagai seorang warganegara akan dibela, sama taraf dan tiada diskriminasi dan superiority selagi anda setuju utk mendokong prinsip-prinsip asas warganegara.

18) Anda bebas menjadi seorang India, Cina dan sesiapa sahaja, identiti anda terbela dan tidak perlu dileburkan di bawah Kebangsaan Melayu. Konsep Negara Tamadun Melayu ini, bukan konsep superiority atau “bangsa terpilih” dan peleburan identiti seperti yg anda lihat di China, India dan Amerika Syarikat.

19) Atas kerangka inilah, Melaka membina ketamadunan suatu masa dahulu dan memayungi berbilang bangsa dan identiti dalam satu negara. Konsep memayungi tidak sama dgn konsep menekan, menghapuskan, atau menjarah. Memayungi adalah “custodian”, pelindung kepada setiap warganegara.

Saya percaya negara kita akan kekal aman makmur jika naratif kebangsaan Malaysia berteraskan identiti Melayu ini dikembalikan semula dan diperkukuhkan untuk kesejahteraan bersama. Inilah identiti asal Tanah ini. Tanah Melayu, sebuah negara Tamadun bukannya negara Bangsa.

Oleh :  Asyraf Farique merupakan Pegawai Penyelidik di IRIS Institute dan Editor Fokus

No comments:

Post a Comment