BANGI – Dakwaan Anthony Loke bahawa DAP bukan parti yang anti-Melayu adalah seperti menafikan kewujudan bangunan KLCC, demikian sinis Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Sebelum ini, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata, perlembagaan serta asas perjuangan parti itu tidak sama sekali mencerminkan yang DAP anti terhadap orang Melayu atau mana-mana kaum.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, sentimen atau pandangan berkenaan hanya sekadar tohmahan yang dilempar bagi memburukkan imej DAP kepada masyarakat.
Membidas dakwaan itu, Ustaz Fauzi menegaskan, dengan keadaan DAP yang telah terpalit dengan pelbagai sejarah menentang hak-hak Melayu dan Islam dalam Perlembagaan, adalah lebih baik parti itu diam serta biarkan sejarah sahaja yang bercakap berkenaan diri mereka.
Dakwanya, DAP sebelum ini pernah terlibat di dalam Jawatankuasa Pemandu Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan menuntut murtad dibenarkan, serta tiada pengenalan diri di dalam kad pengenalan berasaskan agama.
“DAP juga aktif di dalam Comango yang antaranya menuntut dihapuskan hak-hak istimewa orang Melayu.
“DAP juga beberapa kali sebelum ini menggertak jabatan agama, jabatan mufti dan mempertikai kewujudan Jakim. Jangan lupa juga isu pimpinan DAP dengan Sultan Perak dan Sultan Selangor yang pernah berlaku beberapa tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Dalam pada itu, Ustaz Fauzi yakin DAP akan kehilangan undi Melayu Islam – kecuali hanya segelintir yang masih percaya kepada mereka.
Bahkan Presiden ISMA itu yakin bilangan orang Melayu Islam yang percaya kepada DAP akan semakin berkurangan.
“DAP juga akan kehilangan undi orang bukan Melayu yang lain dalam tempoh yang panjang. Kegagalan mereka mentadbir negara sebagai salah satu parti utama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sejarah hitam mereka yang tidak akan dilupakan.
“Ini dinilai oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Pilihan terbaik buat DAP adalah mengubah sikap dan pendiriannya terhadap Melayu Islam dan menjadi warganegara yang baik,” katanya. - ismaweb.net
No comments:
Post a Comment