Untuk rekod, Skuadron 601 ini juga mencatat sejarah baru sebagai skuadron UAS pertama yang diwujudkan serta dioperasikan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Lebih membanggakan, buat pertama kali TLDM berjaya menerbangkan UAS ScanEagle yang dikendalikan sendiri oleh Pegawai Memerintah Skuadron 601, Komander Mohd Khalid Ahmad Zakaria.
Pengoperasian UAS melalui Skuadron 601 ini akan memberi kelebihan kepada TLDM dalam tiga aspek iaitu ‘Intelligence, Survillance, Recconaisance (ISR)’ di seluruh perairan negara serta meningkatkan ‘maritime domain awareness (MDA)’ semasa.
Kelebihan ini cukup kritikal; Laut China Selatan khususnya wilayah Zon Ekonomi Eksklusif kita berfungsi sebagai penghubung kepada Pasifik Barat dan Lautan Hindi – penghubung jalinan ekonomi berskala gergasi.
Lebih separuh daripada muatan perdagangan tahunan global melalui pusat yang sempit ini, dan adalah satu pertiga daripada keseluruhan trafik maritim di seluruh dunia.
Minyak yang diangkut menerusi Selat Melaka dari Lautan Hindi, dalam perjalanan ke Asia Timur melalui Laut China Selatan, adalah sebesar tiga kali ganda berbanding jumlah yang melalui Terusan Suez dan lima belas kali ganda jumlah yang transit di Terusan Panama.
Selain daripada kepentingan lokasi, Laut China Selatan turut memiliki simpanan minyak yang telah dibuktikan sebanyak tujuh bilion tong, serta anggaran 900 trilion kaki padu gas asli.
Realitinya, simpanan minyak yang dikawal China kini hanya berjumlah 1.1 peratus daripada jumlah simpanan minyak dunia, sedangkan penggunaan minyaknya adalah berjumlah lebih daripada 10 peratus pengeluaran minyak dunia manakala penggunaan tenaganya adalah lebih daripada 20 peratus kesemua penggunaan tenaga di dunia.
Maka tidak menghairankan sama sekali apabila China begitu agresif sekali membina struktur helipad dan ketenteraan yang konkrit di atas tujuh buah terumbu dan beting pasir di Laut China Selatan.
Sebagai contoh, di Terumbu Mischief (yang ditakluki begitu sahaja oleh China di depan mata tentera laut Filipina pada 1990-an), China telah membina sebuah bangunan setinggi tiga tingkat dilengkapi lima buah struktur konkrit, yang kesemuanya adalah bagi tujuan ketenteraan.
Di Terumbu Johnson pula, China meletakkan sebuah struktur yang dipersenjatai dengan mesingan berkuasa tinggi.
Posisi China terhadap Laut China Selatan pada abad 21 ini adalah menyerupai posisi Amerika terhadap Laut Caribbean pada abad 19 dan awal abad 20. Perang Sepanyol-Amerika 1898 menjadi saksi ketibaan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa dunia.
Dominasi ke atas Lembangan Caribbean Besar ini memberikan Amerika kawalan ke atas Hemisfera Barat yang kemudiannya membolehkan Washington menghalakan pula pengaruh mereka ke Hemisfera Timur. Senario yang sama adalah berkemungkinan besar berulang kepada China pada abad 21.
Tentera laut China yang merupakan pasukan tentera laut yang kedua terkuat di dunia terus melonjak dengan dramatik. Beijing tidak menggunakan strategi membeli atau membina kapal-kapal perang secara pukal, sebaliknya mereka membangunkan kapasiti nic dalam peperangan bawah permukaan dan teknologi peluru berpandu balistik (misil DF-21) yang direka bentuk bagi menembak sasaran yang bergerak di laut, seperti kapal induk pesawat udara Amerika.
Pada 2019, dilaporkan bahawa sebahagian senjata ‘hypersonic’ China sudah boleh diubahsuai bagi menenggelamkan kapal pengangkut Amerika. Sekiranya China memperluaskan armada kapal selamnya hingga mencecah 78 buah menjelang tahun 2020 sebagaimana yang dirancang, ia bakal menyamai armada bawah laut Tentera AS dari segi kuantiti.
Maka pelancaran Skuadron baru TLDM dengan nic dron UAS melalui program Maritime Security Initiative (MSI) ini memang cukup tepat pada masanya. Antara kehebatan dron ScanEagle ini adalah kemampuannya melakukan tugas risikan di darat dan laut pada ketinggian lebih daripada 5000 meter serta terbang tanpa henti selama 12 jam.
Semoga UAS yang setiap satunya berkelajuan maksimum 150 kilometer sejam ini akan memperkuatkan sistem pertahanan negara di bawah kendalian Skuadron 601 berpangkalan di Teluk Sepanggar, Sabah, di Laut China Selatan. Tahniah, TLDM!
Oleh: Abdul Muein Abadi
No comments:
Post a Comment