Thursday, March 25, 2021

Kebanjiran Warga Asing Jadikan Malaysia Negara Imigran

PETALING JAYA: Dasar kerajaan yang tidak jelas dan diburukkan lagi dengan kedudukan geografinya yang mudah dibolosi, menjadikan Malaysia tarikan buat warga asing sama ada memasuki secara `haram’ atau sah.

Kebanjiran migran dari pelbagai benua itu secara tidak langsung menjadikan negara ini ibarat `pusat himpunan’ pelbagai kerakyatan.

Situasi tersebut tidak `bagus’ dan tidak `selamat’ buat Malaysia kerana ia mengundang pelbagai masalah seperti jenayah dan sosial.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, antara faktor penyumbang kepada fenomena itu ialah ketiadaan polisi yang jelas kerajaan membabitkan pengambilan pekerja warga asing.

“Pengambilan pekerja asing yang masih berterusan itu telah memberi implikasi besar kepada struktur masyarakat, ekonomi dan sosial negara ini.

“Sepatutnya kita ambil contoh seperti Arab Saudi iaitu setiap pekerja warga asing tidak akan diberi berpeluang untuk mendapat taraf hidup sebagai penduduk tetap. Pekerja asing di Arab Saudi perlu cop pas pekerja pada setiap tahun dan status pekerja asing akan tetap dipegang sampai bila-bila,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, memburukan lagi apabila pengambilan pekerja asing yang dikategorikan sebagai tidak mahir paling banyak memasuki Malaysia.

“Terlalu ramai pekerja asing yang ada di Malaysia dalam kalangan pekerja tidak mahir. Pekerja tidak mahir tersebut seperti buruh kontrak, pekerja ladang dan operator kilang.

“Kumpulan tidak mahir ini tidak banyak boleh menyumbang kepada pembangunan berbanding masalah sosial yang dibangkitkan,” katanya.

Katanya, antara masalah sosial tersebut ialah kumpulan tersebut akan cuba meminta taraf penduduk tetap atau warganegara, menjadi penjenayah dan bersedudukan dengan rakyat tempatan.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara membangun Malaysia memerlukan lebih banyak tenaga kerja mahir untuk memajukan negara bukan berterusan menerima pekerja tidak mahir yang kemudian `merebut’ peluang rakyat sendiri.

“Ini boleh dilihat contoh seperti warga Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Indonesia yang dalam katogeri pekerja tidak mahir kini ramai yang beralih cari peluang kerja lain dengan menjadi tauke kepada rakyat Malaysia dalam sektor peruncitan atau pembinaan,” jelasnya.

Raduan berkata, kehadiran kumpulan imigran secara `beramai-ramai’ itu juga menyebabkan kumpulan tersebut lebih berani membuat pelbagai tuntutan tidak berasas antaranya mahu lokasi khas buat mereka untuk bermasyarakat dalam kalangan rakan senegara.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan `buka mata’ menilai semula polisi kemasukan pekerja asing selain memperkasakan penguat kuasa menjaga laluan tikus agar tidak terus dibolosi warga asing.

Dalam pada itu, pakar Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, secara umumnya, kesan kebanjiran migran sudah nyata apabila berlaku perkahwinan antara rakyat tempatan dengan warga asing.

Menurut beliau, perkara tersebut terus berlaku dan lama-kelamaan etnik atau budaya setiap bangsa terutama Melayu, Cina dan India negara ini akan hilang.

“Lihat sahaja sekarang ini, berapa banyak sudah anak-anak yang lahir dalam kalangan kahwin antara dua negara.

“Jika kahwin Melayu dengan Bangladesh, keturunan anak tersebut sudah tidak tulen untuk bergelar Melayu lagi,” jelas beliau.

Azmi berkata, Malaysia sebagai negara migran semakin jelas apabila kebanyakan negeri sudah mempunyai kawasan yang dikuasai kelompok rakyat dari sesebuah negara.

“Malah di Lembah Klang, ada sahaja restoran atau kedai yang menjual makanan asas buat warga asing seperti kedai peruncitan khas menjual barang dari Indonesia, Vietnam, Filipina dan Arab Saudi,” kata beliau.

Jelasnya, perkembangan tersebut tidak baik untuk negara kerana kemasukan warga asing itu jika terus dibiarkan, mereka akan menguasai negara ini.

Justeru, tambahnya, kerajaan dan penguat kuasa harus melihat kebanjiran migran ini sebagai keutamaan mungkin sama keutamaan seperti kerajaan membanteras Covid-19. 
UTUSAN

No comments:

Post a Comment