Penanda aras Moody ke atas ekonomi negara ini dilihat semakin pulih. Usaha menangani penularan virus Covid-19 semakin terkawal dan kes sembuh semakin meningkat. Tetapi lembaran politik masa kini sarat dengan lipatan insiden yang mewarnai suka duka politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.
Apa yang pasti, selagi belum terbubarnya Parlimen dan diadakan pilihan raya umum, politik tiga parti besar Melayu ini tidak pernah sepi dengan kontroversi. Dari isu kerusi menjadi titik perbezaan sehingga mengundang pergeseran dan ketidaksefahaman walaupun saudara sebangsa dan seagama. Ibarat kuasa, takhta dan ego menjadi pertaruhan siapakah yang akan menang? Yang menderita adalah rakyat dan pengikutnya.
Isu tikam menikam menjadi satu lumrah kehidupan bukan sahaja kepada pemimpin politik tetapi juga dalaman parti itu sendiri. Contohnya, parti A menikam parti B guna parti C yang lawannya untuk tikam parti A. Kemudian parti A guna komponen parti B tikam parti C. Selepas itu parti B secara senyap merajuk dan menyalahkan parti A dan parti C. Parti C yang tertikam menyebelahi parti A.
Akhirnya, yang hidup bukan parti A atau parti B atau parti C, tetapi parti lain yang akan tertawa dengan tingkah laku kurang matang ketiga-tiga parti ini. Malahan, parti lain menggunakan kesempatan ini untuk menjatuhkan ketiga-tiga parti tanpa disedari. Memang mengasyikkan tikam menikam ini bila sudah berada dalam kemabukan siapakah yang perlu menjadi abang long dan adik bongsu. Inilah politik Melayu yang suatu ketika dahulu dilanyak dan dihina seperti pengemis di bumi sendiri. Politik tikam menikam sehingga tiada yang hidup. Berbaloikah semua ini?
KHAYAL
Amat malang, Melayu masih belum sedar semua permainan ini. Khayal di puncak kuasa. Syurga atau neraka, dosa atau pahala, sudah tidak menjadi taruhan lagi. Yang penting, kekal berkuasa.
Wahai Melayu, bangunlah! Kami, Cina Muslim ini sudah letih sentiasa mengingatkan.
Apabila kuasa di tangan dan sudah melupai hakikat yang telah berlaku, benarkah Melayu mudah lupa? Benarkah Melayu lebih selesa dengan penguasaan parti bukan Melayu? Mengenang kembali sejarah kedatangan British ke Tanah Melayu adalah bermula dengan tikam menikam untuk kuasa. Adakah sejarah selalu berulang kembali disebabkan tidak sedar apa yang berlaku dan bakal berlaku nanti?
Yang pasti, satu perkara yang tidak boleh dinafikan apabila secubit pergolakan dunia politik Melayu akan menarik perhatian ramai. Seterusnya ada yang menjadi batu api dan ada yang menjadi mual dan bisu. Akibatnya, kepanasan meluap sehingga akhirnya semua terbakar rentung.
Di manakah kematangan budaya politik Melayu untuk dihormati oleh rakyat? Adakah budaya politik Melayu terlalu ‘shit’ sehingga tiada jalan penyelesaian? Semuanya boleh disucikan asalkan anda yang menyokongnya dan bukan awak di sebelah sana. Mungkin sesuatu isu itu nampak reda. Tetapi tiada jaminan ia berkubur kerana menunggu masa yang sesuai untuk diletupkan asalkan ada laba dan motif.
Konflik dalaman parti dengan pertembungan kem masing-masing juga merumitkan situasi hala tuju parti itu sendiri. Adakalanya menjadi punca luka dan duka yang sukar dirawati walaupun telah lama berlalu. Seolah-olah saudara seagama itu tidak bernilai walaupun darah yang sama tetapi rambut berlainan.
ULTRA KIASU
Inilah yang menyebabkan ultra kiasu mampu mengolah dan mempergunakan politik Melayu untuk kepentingan mereka, mungkin di suatu hari nanti untuk melepaskan anjing yang tersepit demi laba kuasa. Adalah tiada mustahil Perdana Menteri adalah seorang bukan Melayu.
Sejarah mengajar kita bagaimana Residen British lebih berkuasa daripada pemerintah Sultan. Walaupun negeri-negeri Melayu tidak dijajah dan hanya negeri naungan tetapi yang berkuasa dan bermaharajalela adalah Residen British. Akhirnya, British dijunjung sebagai wira yang menjadi ikutan perundangan dan budaya kehidupan politik di negara ini iaitu demokrasi.
Jika melihat politik Melayu hari ini, sukar disatukan dan didamaikan apabila masing-masing sudah mendapat keselesaan dan keyakinan kuasa. Maka generasi Z dan Y perlu berani untuk mengubah apa yang terbaik bagi kehidupan masa depan negara. Mungkin perlu ditanya, apakah neraca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) relevan untuk kelangsungan kuasa politik Melayu pada masa depan? Wahai Melayu! Bangunlah sebelum melayu dan layu. Selama ini, Melayu pernah jatuh tetapi mampu bangun kembali. Teramat bimbang selepas ini jika jatuh, tidak mampu untuk bangun.
Ketika itu, untuk menyesal sudah terlambat kerana peribahasa ada menyebut, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Nasi sudah menjadi bubur. Menangis air mata darah sekalipun, kamu tidak dapat kembali apa yang telah hilang.
Kami, Cina Muslim ini masih bersuara kerana kita seagama walaupun tidak sebangsa. Bangsa sudah tidak membawa erti, jika tiada agama atau agama dipersenda. Ingat! Jangan sampai Malaysian Malaysia menjadi realiti kerana negara ini ada asal usul dan sejarahnya, tanpa menafikan sumbangan bangsa lain terhadap pembangunan Malaysia.
Oleh: Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment