Thursday, March 7, 2024

Apa Tun M Cakap Benar Belaka

DI MANA kesetiaan jika setiap hari bercakap bahasa ibunda?

Di mana kesetiaan jika setiap tonton saluran negara China dan India?

Di mana kesetiaan jika setiap hari bersekolah vernakular (Cina/India)?

Di mana kesetiaan, jika setiap hari bertemu dan bergaul dengan sesama bangsa?

Di mana kesetiaan jika setiap kali kerajaan mahu tambah baik sekolah vernakular dengan menambah masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, maka ditentang habis-habisan?

Di mana kesetiaan jika setiap hari membaca akhbar berasaskan kaum?

Di mana kesetiaan jika setiap hari, media sosialnya berasaskan kaum?

Di mana kesetiaan jika setiap hari duduk dalam parti perkauman berasaskan bangsa?

Di mana kesetiaan jika setiap hari duduk dalam NGO kaum berasaskan bangsa, persatuan bahasa hokkien, kantonis, teo chew, tamil, tulugu dan lain-lain?

Di mana kesetiaan, jika proses pencinaan dan pengindiaan berlaku sangat ekstrem?
Di mana kesetiaan, jika ada hubungan dengan pengganas LTTE?

Di mana kesetiaan, jika setiap kali terbang ke negara asal nenek moyang?
Mungkin selepas membaca tulisan ini, kamu akan bandingkan, bagaimana dengan parti/NGO berasaskan kaum Melayu/Bumiputera, seperti UMNO dan PAS, misalnya, yang juga perkauman.

Saya sudah ada jawapan yang sangat mudah. Ini negara asal-usul mereka. Mereka ada hak ke atas negara mereka. Semua perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Persoalannya, hak bukan Melayu, tidak disebut secara langsung dalam Perlembagaan, namun, realitinya, kamu menguasai boleh dikatakan dalam semua perkara, segalanya.

50 terkaya di Malaysia, Melayu hanya 3, selebihnya, 3 India, dan 1 Siam. Kenapa negara asal-usul Melayu, majoriti Melayu, yang terkaya hanya ada tiga, daripada 50. Pernah tak kamu terfikir, mengapa semua ini boleh terjadi? Adakah ia berlaku secara semulajadi? Atau bagaimana?

Jika bukan Melayu tidak mahu dipertikaikan kesetiaannya, mudah sahaja, kamu mesti menguasai agenda negara yang termaktub dalam Perlembagaan. Kamu kena jadi paling kurang, seperti Cina Indonesia, Cina Thailand. Hidup mati mereka hanyalah satu, iaitu negara yang dihijrahinya. Sebab itu, Kerajaan Indonesia dan Thailand, tidak pernah meragui Cina di sana. Malah diangkat menjadi Perdana Menteri dan pemimpin besar.

Kamu di sini bagaimana? Adakah kamu berusaha untuk jadi seperti Cina di Indonesia dan Thailand?

Pertama, buktikan kamu boleh berkomunikasi dengan fasih dalam bahasa Melayu, selaku bahasa negara. Teramat sukar bukan? Mudah sahaja hendak mencari bukti, ambil wakil rakyat mereka yang berada di Parlimen dan DUN, suruh mereka bercakap dalam bahasa Melayu tanpa teks.

Dalam keadaan membaca teks pun, bahasa Melayunya tunggang langgang, apa yang kita mahu harapkan kepada mereka ini dari segi kesetiaan? Ini belum lagi bercakap soal, sanggup hidup mati bersama negara tercinta ini.

Saya yakin, jika berlaku, sesuatu terhadap negara ini, kita diserang oleh negara kecil Yahudi yang berada di Selatan tanah air, ramai yang akan belot ke sana. Sebab itu, jangan sembang karilah, terutama parti ultra kiasu, seperti DAP, Gerakan dan UMNO. Begitu juga dengan parti India yang lain.

Selagi kita gagal melahirkan orang-orang Cina (India) seperti mendiang Khoo Kay Kim, Apek Cina, Prof Teo Kak Siong, Ong Hak Ching, Lee Lam Thye, Dr Bala (kelab penyokong PAS) dan lain-lain, selagi itulah kesetiaan mereka ini amat diragui.

Kedua, kamu tahu atau tidak kenapa, sektor keselamatan dan pertahanan, yang merisikokan nyawa, seperti tentera dan polis, tidak diminati oleh orang bukan Melayu? Kalau ada, mereka hanya idamkan jawatan tinggi, lubuk duit? Tetapi bukan jawatan berpangkat rendah, seperti kuli, yang boleh disuruh-suruh dan dikerah? Kamu sudah tahu jawapannya. Di mana kesetiaan?

Kamu bukan main marah apabila Tun M membangkitkan soal kesetiaan rakyat Malaysia, terutama bukan Melayu (Cina dan India, bukan semua), melompat-lompat seperti cacing kepanasan. Laporan polis dibuat bertalu-talu, macam tidak ada kerja lain.

Terkini, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu jadi jaguh, sifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun M menyinggung perasaan rakyat berbilang kaum di negara ini. Gerakan kata, kenyataan itu adalah sangat memalukan dan tidak sepatutnya datang daripada bekas Perdana Menteri yang pada suatu ketika dulu membawa agenda Wawasan 2020.

Menurut Gerakan, ahli politik perlu keluar dari perigi politik cetek, tidak guna untuk mendabik dada sebagai sebuah negara pesat membangun, tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah. Ujarnya, rakyat Malaysia perlu bersatu, menerima faktanya bahawa negara ini adalah sebuah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan.

Benarkah negara ini diasaskan atas landasan perpaduan? Pada saya ia dibina atas landasan perkauman. Sebab itu semangat perkauman kita begitu tinggi.

Gerakan tidak kurang hebatnya memperjuangkan sekolah berasaskan kaum dan bahasa kaum sendiri. Sejak dahulu, hidup mati Gerakan bersama sekolah Cina. Bahasa Melayu pemimpin Gerakan pun tunggang langgang. Memalukan? Inikah kesetiaan? Itu pemimpin, jika pengikut, tak tahu nak cakap macam mana. Jika kamu setia, sudah tentu kamu sayang dan cuba sedaya upaya, yang terbaik, menguasai bahasa negara. Tetapi, keadaan itu tidak berlaku. DAP, MCA, MIC sama sahaja perjuangan perkaumannya.

Ya, kita menerima hakikat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum dan budaya, tapi ingat mesti ada asasnya. Apa dia? Islam, Melayu dan Bumiputera. Berbilang kaum tidak terjadi dengan sendiri. Mesti ada sebab menjadikan ia berbilang kaum. Semua negara dunia ini, asalnya, sebangsa. Berbilang kaum disebabkan oleh adanya pendatang dan diterima pendatang itu. Status pendatang dalam sejarah tetap akan terus kekal, tidak ada siapapun boleh menafikan.

Jika negara ini dibina asasnya berbilang kaum sudah tentu, trend pengundian tidak akan mengikut kaum. Teramat jelas, trend pengundian sangat bersifat perkauman. Jangan pergi jauh, lihat sahaja di Kuala Lumpur, dominasi Cina. Jika Melayu yang bertanding di Kepong, Seputeh, Cheras dan lain-lain, akan hilang wang deposit.

Inikah kamu kata, negara ini diasaskan atas dasar perpaduan? Calon Cina/India, bertanding di kawasan majoriti Melayu, harapan untuk menang begitu tinggi dan telah pun terbukti.

Contoh, Tanjung Malim, Tanjung Piai, Ayer Hitam, dan lain-lain, banyak lagi. Dalam kata lain, orang Melayu/bumiputera, mudah sahaja menerima bukan Melayu. Sebaliknya, bukan Melayu terlalu sukar menerima Melayu/bumiputera. Inikah yang kamu katakan kesetiaan, sedangkan ini bumi mereka?

Bandingkan calon Melayu bertanding di kawasan majoriti Cina, Seputeh, Kepong, Ipoh, Petaling Jaya, Subang dll. Ada harapan menang? Jangan sembang karilah Gerakan, DAP, MCA, MIC dan lain-lain ultra kiasu.

Tidak lama lagi perayaan tahun baharu Cina, kamu akan tengok hiasan seluruh Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar, sudah seperti macam Hong Kong dan Taiwan. Tenggelam habis identiti bangsa asal. Seolah-olah bandar ini ultra kiasu yang punya.

Jika kamu setia dan faham, sudah tentu akan menghormati dan mendaulatkan bahasa dan budaya asal bangsa negara ini.

Apakah kamu sudah lupa tulisan saya pasal 10 ribu biji tanglung di jalan Raja Uda, Pulau Pinang. Jika kamu faham Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1970, kamu tidak akan jadi seekstrem ini. Persoalannya, kenapa kaum jadi teramat eksrem, seolah-olah Malaysia ini berada di negara China.

Kenapa kamu tidak mampu menjadi seperti Cina di Indonesia, Cina di Thailand, Cina di Filipina dan lain-lain? Kamu fikirkan apa yang saya katakan ini? Dan cari jawapan dulu, di mana kesetiaan kamu?

 Oleh : Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Tuesday, March 5, 2024

Oh! Pasar Budaya (plastik)

Ahad lepas saya ke Pasar Budaya (juga disebut Pasar Seni dan Central Market) mengunjungi Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur atau KLAB 2024, sebuah acara tahunan jualan dan pameran buku oleh penggiat buku mandiri tanahair, yang terdiri daripada berbagai syarikat penerbitan, kumpulan, dan juga orang perseorangan. Di pesta buku begini selalunya saya tetap akan cari masa untuk turut menempek, bersidai, mengopi, berbincang, dan berfoto bersama kawan-kawan penulis, penerbit, dan juga peminat buku.

Di program seperti inilah kami akan bertukar pandangan, idea sehingga adakalanya membuka peluang-peluang lain untuk kami mencari rezeki. Saya misalnya, dari acara-acara begini akan mendapat undangan menjadi pengacara, moderator ataupun membaca sajak di program-program anjuran rakan seni ‘alternatif’ yang lain. Ya, kami jauh dari arus perdana. Kami tak keluar TV dan tak masuk radio. Baik pada pemerintahan kerajaan lama begitulah juga kerajaan baharu yang katanya ingin melakukan perubahan. Pi mai pi mai dok tang tu jugalah! Bertahun-tahun kami hanya bermain di pentas-pentas bebas dan di jalanan sahaja.

Di medan ‘bawah tanah’ sebegini kami berkarya dengan bebas, membuat persembahan dengan lantang, mengkritik birokrasi, dan menjadi ‘anti establishment‘ yang berani bertanggungjawab. Buku-buku yang dijual di KLAB juga bersifat begitu.

Ya, Ahad lepas, julung-julung kalinya pada 2024 saya ke Pasar Seni. Itupun sebab acara KLAB. Jika tiada KLAB sudah tentu saya tidak akan ke Pasar Budaya (kami panggil CM) walhal di situlah rumah kedua saya sekitar 30 tahun lalu. Hari-hari di CM. CM tempat saya melepak sebentar melepas lelah selepas seharian bekerja sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Di situlah saya berhibur mengisi kepuasan jiwa. Saya menunggu persembahan seniman jalanan menyanyi di siar kaki luar bangunan CM.

Seniman Adi Jagat dan Sidek serta beberapa nama lagi akan busking dengan gaya tersendiri mendendangkan lagu-lagu rakyat. Selera lagu saya memang cenderung ke arah itu. Lagu-lagu kritik sosial, ketuhanan, tentang alam dan tentang memprotes sistem. Jiwa saya akan berasa penuh apabila mendengarnya seperti orang dahaga yang dituangkan air ke dalam tekak. Selesai menonton saya pun mengambil bas pulang ke rumah dengan penuh tenaga semula. Itulah rutin saya dahulu.

Sesekali, pada waktu itu saya berpeluang melihat persembahan baca puisi di ‘sebelah sana’ berdekatan Dayabumi. Di situ ada Kamarool Haji Yusof (lebih dikenali sebagai Farouk Gagak Hitam dalam filem Gila-Gila Remaja) yang akan memekik kuat-kuat lagak guru silat membuka gelanggang. Pekikannya membuat orang yang lalu-lalang berhenti singgah untuk menyaksikan apakah persembahannya. Ada penyair seperti Pyanhabib, Sani Sudin dan Imuda (itu nama-nama yang saya kenal sebab mereka sudah pun popular di kaca TV ketika itu) beraksi. Angkatan mereka itulah yang mempelopori acara baca sajak di bawah tiang lampu di Pasar Seni, di jalan Masjid India, dan pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman.

Namun, era itu sudah berakhir sewaktu saya sampai di Kuala Lumpur. Hanya sesekali sahaja mereka beraksi, tidak seaktif tahun-tahun yang dipanggil era ‘tiang lampu’. Di Pasar Seni juga dahulu biasanya pada hujung minggu ada persembahan di pentas terbukanya yang terletak di tebing Sungai Klang. Hari ini, lorong tempat baca sajak tiang lampu dan pentas terbuka itu sudah tiada. Ia hanya menjadi tempat lalu-lalang untuk menuju ke stesen tren sahaja. Tidak ada apa yang menarik untuk dikenang oleh generasi hari ini, agaknya. Biasa aja.

Pusat gerai-gerai jualan buku KLAB ini terletak di bahagian dalam Pasar Seni, maka saya pun masuk ke dalam. Jelas suasana juga jauh berbeza berbanding dahulu. Saya tidaklah terlalu tua untuk sempat melihat CM ini suatu ketika dahulu pasar basah. Saya berada di era yang mana pasar ini merupakan tempat anak-anak tempatan bekerja menjual hasil kerja tangan seperti melukis cenderamata, mencetak kemeja-T, dan berbagai barangan kraf lagi. Tetapi kini semua itu sudah berganti dengan barangan… ya… walaupun produk Asia tetapi ciri kemalaysiaannya tiada.

Saya akui imej Pasar Seni hari ini memang indah dan cantik sebagai tarikan pelancong dari luar. Mereka akan suka apatah lagi gerai-gerai makan di dalamnya cukup menarik dan berimejkan makanan tempatan tetapi untuk saya, yang pernah merasai zaman dahulunya – berasa CM telah mati. Ah! Saya ini tak boleh move on agaknya. Suka bernostalgia. Seperti kami yang pernah merasai sedapnya ikan patin liar, berkali-kali kita kata ia amat sedap dan tak sama dengan patin ternak, tetap takkan beri makna kepada mereka yang tidak merasai pengalaman itu. Mereka hanya ada pengalaman makan ikan patin sangkar yang bagi mereka itulah paling enak. Puaslah kita menerangkan, yang kita dapat ialah ejekan menyatakan kita ini tak habis-habis lagi bersentimental. Ahai!

Sudut pelukis potret tempat kegemaran saya dahulu. Saya kerap di sudut itu dahulu untuk mengintai para pelukis melukis sambil ‘mencuri’ gaya dan teknik mereka. Ini kerana saya juga boleh melukis dan sudut itulah tempat saya menuntut ilmu. Dari situ saya belajar amali secara percuma dengan melihat mereka. Hari ini kebanyakan pelukis yang saya lihat 30 tahun dahulu sudah tiada lagi di sekitar situ. Kalau ada pun, tinggal dua tiga orang yang masih tegar tetapi kedai mereka sudah beralih ke bangunan belakang. Pernah seorang pelukis di situ bersungut kepada saya tentang CM yang telah dijajah dan mereka, pelukis-pelukis ini semakin tersudut.

Dahulu, di tingkat atas bumbungnya ada food court yang cukup sibuk dan meriah. Di situlah tempat saya makan malam sebelum balik rumah. Seronoknya pada bulan puasa, seawal pukul enam petang saya mesti duduk di meja makan untuk cop tempat. Jika tidak, tak sempat. Orang punyalah ramai! Sesiapa sahaja sama ada saya atau kawan-kawan jika sampai dahulu akan cop tempat. Sebelum adanya telefon bimbit, kita dah tahu akan ada antara kawan kita yang sudah berada di atas. Kita tahu sudut mana di dalam CM itu kawan kita melepak. Tanpa ada telefon pun kita boleh cari dan jumpa.

Ah! Sekali lagi saya bernostalgia. Mestilah, kerana di sinilah tempat saya bertemu jodoh. CM menjadi saksi pertemuan saya dengan isteri saya 30 tahun lalu. Mungkin sebab itu saya berasa tempat ini ada nilai syahdunya. Ada keramatnya. Sebab itulah saya sangat kecewa dengan perubahan CM. Bukan saya sahaja, kawan-kawan lain pun mengakui rohnya sudah mati. Ada yang memang mengaku tidak ingin jejakkan kaki lagi. CM, untuk kami sudah jadi plastik!

Hari minggu yang lalu, di sini, saya bertanya pada diri – jika hari ini saya berusia 20-an, yang sukakan seni; manakah tempat saya hendak pergi untuk menikmati acara seni ‘organik’ seperti CM dulu-dulu? Melihat pelukis potret, orang baca sajak tepi jalan, orang menyanyi lagu-lagu bukan komersial secara percuma? Ada tak hari ini di Kuala Lumpur aktiviti seni yang jadi sendiri, tidak disusun oleh penganjur; seperti di CM 30 tahun lalu itu? Oh… maaf ya. Bukan busking macam di Bukit Bintang itu ya! Dulu busking di CM tak ada sistem bunyi mahupun pembesar suara. Baca sajak pun main jerit sahaja macam si penjual ubat tepi jalan.

Apakah hari ini ada lagi anak muda yang seusia saya dulu; berjiwa seperti saya dahulu berkehendakkan tempat seperti ini? Tempat menikmati persembahan seni yang ‘jadi sendiri’? Yang turut mengimpikan akan bertemu gadis sehati dan seiring minatnya di tempat macam ini? Ya. Saya tahu hari ini dah masuk era internet. Apa yang kita mahu semua ada di situ.

“Apa perlunya lagi Central Market yang macam awak mahukan itu wahai pakcik?” bisik hati saya pada diri sendiri.

“Salahkah kalau aku masih terus bernostalgia dan mengharapkan era seperti dulu ada lagi?” bantah saya.

CM, Pasar Seni atau Pasar Budaya hari ini sudah lain tak macam 30 tahun lalu. Ia bukan Pasar Seni, bukan Pasar Budaya lagi tetapi ia sudah jadi tempat seni dan budaya dipasarkan.

“Faham? Jadi, pakcik. Sila nasihatkan diri sendiri dan kawan-kawan seangkatan agar move on. Okay?”

Saya terdengar ejekan itu di telinga saya. Terngiang-ngiang sampai saat ini. Ejekan dari saya kepada diri sendiri, seorang pakcik yang tak habis-habis bernostalgia. Seorang pakcik yang mendakwa bahawa dalam perkembangan kegiatan seni persembahan jalanan organik di Kuala Lumpur, kerajaan berhutang kepada nama-nama penggiat yang saya sebutkan tadi. Mereka inilah yang telah menggerakkan seni rakyat sehinggalah jentera kapitalisme datang mengusir.

Ya, apakah hari ini maksud seni di Pasar Seni, budaya apakah hari ini di Pasar Budaya? Oh, Central Market!

Oleh : Ronasina
Saya bertanya pada diri – jika hari ini saya berusia 20-an, yang sukakan seni; manakah tempat saya hendak pergi untuk menikmati acara seni ‘organik’ seperti CM dulu-dulu?

Monday, March 4, 2024

Segera Tangani Lambakan Kuil Hindu Sebelum Terlambat

Penguatkuasa tak berani kerana ada orang politik,
jangan bermain api
PERGILAH ke mana-mana saudara akan dapat melihat kuil-kuil yang bertutup dengan kain, maknanya ia dalam proses pembinaan dan diperbesarkan. Asalnya dahulu, kecil sahaja di tanah kerajaan.

Perjalanan menyelusuri jalan keretapi utara selatan, keretapi bandar, LRT dan MRT, tidak termasuk kawasan bandar dan luar bandar, menyaksikan begitu banyak kuil hindu haram sedang diperbesarkan di kawasan tanah kerajaan.

MRT Serdang Raya – UPM, sebuah kuil Hindu skala besar, sebelah tasik, sedang dibina. Saya hampir pasti, itu bukan tanah kuil, tetapi tanah kerajaan. Di kawasan Serdang sahaja, UPM, hospital UPM kiri kanan, bawah jejantas UNITEN dan banyak lagi, berderetan.

Ini tidak termasuk kawasan lain seperti di Kajang, kes bantahan terbaharu di Taman CUEPACS. Difahamkan di Kajang sahaja begitu banyak kuil Hindu sedang dibina tanpa mendapat kebenaran. Jika ianya dibiarkan berterusan, tidak lama lagi, negara ini akan dipenuhi dengan kuil-kuil Hindu yang dibina di kawasan haram, menenggelamkan masjid dan surau, meskipun Islam adalah agama persekutuan.

Cuba lihat sepanjang perjalanan keretapi utara selatan. Ini tidak termasuk keretapi dari KL Sentral- Subang-menuju ke Kelang. Apa sudah jadi dengan negara kita, terutama Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan lain-lain, penduduk tidak ramai, tetapi lambakan kuil hindu ini amat membimbangkan

Kalau dibina dikawasan persendirian milik mereka sendiri tidak mengapa lagi, tetapi rata-rata dibina di kawasan tanah kerajaan, termasuk swasta. Tanah ini seolah-olah telah menjadi tanah dan hak mereka. Apabila penguatkuasa mahu mengambil tindakan, maka menjadi isu sensitif dan perkauman. Kalau masjid dan surau senang sahaja dirobohkan untuk memberi laluan kepada Pembangunan. Tetapi bila tiba giliran kuil dan tokong, terlalu payah sangat. Di Jalan Ampang, LRT terakhir (Ampang), tiba-tiba jalan menjadi sempit, tokong seolah-olah seperti pulau di Tengah-tengah jalan raya. Tidak boleh dirobohkan meskipun membahayakan.

Persoalannya, kenapa begitu banyak. Kalau mengikut perancangan mereka, kalau boleh setiap taman ada kuil hindu, walaupun bilangan mereka sangat sedikit

Jika terus menerus begini, negeri-negeri yang terkenal dengan panggilan darul Ehsan, Darul Ridzuan, akan menjadi darul kuil.

Islam tidak pernah menghalang hak bukan Islam untuk beribadat, atau mendirikan kuil atau tokong. Tetapi kena berpada-pada. Kena ikut peraturan, bukan memaksa pihak berkuasa, menghalalkan yang haram.

Kes nyawa arwah Adib masih terkorban, akibat ‘rusuhan’ kuil di Subang Jaya masih belum mendapat pembelaan. Paling malang, arwah Adib menjadi korban, kuil yang sepatutnya dirobohkan tetap kekal di situ, tempat gantian baharu, pun mereka dapat juga. Dalam kata lain, makan kiri kanan. Adakah ini dinamakan keadilan? Pergilah ke mana-mana pun, kawasan Ampang sahaja, penuh dengan kuil haram. Dahulunya kecil sahaja, tetapi dibiarkan, akhirnya menjadi besar, dan langsung tidak boleh sentuh meskipun itu bukan tanah miliknya, tetapi milik kerajaan.

Saya pernah dipanggil oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) suatu ketika dahulu untuk membincangkan secara serius mengenai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), suatu ketika lama dahulu, nak beritahu semua, bahawa isu RIBI ini adalah isu keselamatan negara, bukan main-main. Malangnya, hari ini, kerana terlalu kemarukkan undi, kita biarkan isu yang melibatkan keselamatan negara tidak dipedulikan.

Kita amat berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin hindu yang sedar akan masalah ini, tetapi sejauh ia didengari dan dipatuhi. Keadaan semakin hari semakin membimbangkan.

Presiden MIC, SA Vigneswaran, misalnya pada April 2021, pernah mengingatkan penganut Hindu di negara ini mengenai pembangunan kuil-kuil mereka. Katanya, struktur baru kuil tidak boleh berisiko dirobohkan kerana status tanah yang dipertikaikan.

Vigneswaran dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-74 berkata isu-isu mengenai tapak kuil Hindu tidak boleh menjadi faktor pemisah antara masyarakat India dan yang lain.

Perkara ini perlu diselesaikan dengan tuntas. Untuk masa depan kuil, kita tidak boleh menghina Dewa kita dengan membuatkannya pecah. Siapa yang menghina Dewa kita? Kita sendiri. Kerana kita tidak mengikuti prosedur (dalam pembinaan) dan kemudian menyalahkan orang lain untuk itu. Untuk bersikap adil, bahkan di India kita tidak memiliki patung Dewa Muruga sebesar di sini. Komuniti Hindu, kata Vigneswaran, mesti berhenti membina kuil tanpa mempertimbangkan status tanah berkenaan, dan kemudian mengharapkan bantuan ketika menghadapi masalah yang sering menyebabkan perobohan atau pemindahan secara paksa (Malaysiakini 3 April 2021).

Saya tidak pasti sama ada penganut agama Hindu mendengar atau tidak nasihat Presiden MIC ini, tetapi itulah hakikat sebenarnya, jika mahu hidup aman harmoni dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Satu lagi persoalan, kenapa begitu banyak kuil dibina di kawasan majoriti penduduknya 80 peratus beragama Islam? Jika nak bina sekalipun, bukan tidak boleh, tetapi pastikan ia berada di kawasan majoriti hindu.

Sebagai pengkaji politik, saya telah selalu sangat mengingatkan perkara ini, kita dianggap sebagai budak nakal yang suka mencetuskan masalah. Jangan selalu dicabar peribumi dengan isu-isu sensitif sebegini, takut buruk padahnya. Ini isu keselamatan negara. Pemimpin-pemimpin, jangan tutup sebelah mata, hanya kerana mahukan undi. Ingat masa depan negara kita, masa depan cucu cicit kita.

Sama juga isu lain seperti dengan mudahnya menurunkan pangkat pegawai tertinggi agensi pelancongan, dengan menggantikannya dengan orang yang pelik-pelik, tanpa sebab munasabah.

Tidak semena-mena, pegawai tertinggi perkhidmatan awam, dalam agensi berkaitan perlancongan negara, ‘diturunkan’ pangkatnya kepada pangkat yang lebih rendah, atas arahan menteri. Tindakan ini sudah tentu cukup memalukan pegawai terbabit. Orang politik datang dan pergi, penjawat awam tetap kekal. Mereka tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

Kebiasaannya, apabila Menteri atau pegawai yang lebih kanan tidak suka kepada pegawai bawahannya, hanya akan berlaku pertukaran sahaja kepada jawatan lain. Jawatan dan gaji hakikinya tetap sama. Ini tidak, kasihan dia, diturunkan pangkat.

Kata Tan Sri Rais Yatim, ahli politik yang begitu lama, juga merupakan bekas Menteri, bekas Yang DiPertua Dewan Negara, tidak pernah berlaku dalam sejarah perkhidmatan awam, Menteri begitu berani berbuat sedemikian. Tetapi kali ini berlaku.

Malah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Persatuan-persatuan perkhidmatan awam, seperti PPTD, senyap sunyi, kecuali CEUPACS antara berani bersuara.

Teramat malang sekali, ketua perkhidmatan awam tertinggi negara pun sama bersetuju dengan tindakan menteri. Katanya, ia dibawah bidang kuasa menteri. Bidang kuasa menteri apa yang dimaksudkan? Kecualilah pegawai awam tersebut terlibat dalam salah guna kuasa, sehingga menyebabkan tindakan disiplin boleh dikenakan.

Menteri perlu sedar, bahawa penjawat awam beragama Islam, tidak boleh terus bersubahat, dengan memastikan mereka mesti mengikuti program menteri yang melibatkan aktiviti mungkar dan maksiat.

Apakah menteri tersebut tidak sedar bahawa penjawat awam beragama Islam, tidak sesuai dibawa ke sana ke mari dalam majlis-majlis haram? Tidak mungkin dia tidak tahu sebab dia hidup dalam sebuah negara Islam.

Besar sungguh kuasa menteri, sehingga dapat menurunkan pangkat pegawai perkhidmatan awam. Saya harap pegawai kanan pelancongan tersebut saman menteri tersebut.

Jika benarlah maklumat yang disampaikan kepada saya, penjawat awam diturunkan pangkat atas beberapa perkara berikut, bermakna menteri berkenaan sedang bermain dengan api, sama seperti isu kuil, meskipun isunya berbeza.

Dengar cerita, penjawat awam ini tidak disukai kerana, pertama, menolak cadangan untuk iktiraf kampung Cina sebagai tapak warisan UNESCO. Kedua, cadangan supaya inapdesa (homestay) di Malaysia dihapuskan (kerana homestay adalah pendapatan orang Islam (orang tempatan). Ketiga, menentang arahan supaya memberi keutamaan dan keistimewaan kepada pelancong Cina. Keempat, ingkar supaya memberi kelulusan geran pelancongan kepada Syarikat orang Cina. Kelima, Menteri difahamkan tidak suka kepada hotel patuh syariah.

Difahamkan juga, baru-baru ini ada lawatan ke luar negara, menteri minta dihidangkan babi. Tindakan ini ditentang oleh penjawat Islam kerana bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri.

Jika benar inilah alasannya, saya menyeru kepada umat Islam di negara ini, bangun menentang kemungkaran dan kemaksiatan ini. Termasuk juga isu kuil-kuil haram yang boleh menimbulkan masalah dan telah pun menimbulkan masalah.

Akhirnya, saya inginkan bahawa negara ini, adalah negara majoriti Islam. Islam adalah agama Persekutuan. Kedudukan Islam mesti dihormati. Jangan sampai negara ini dipenuhi dengan kuil, arak dan babi, kerana ia adalah suatu yang amat sensitif, meskipun ia adalah hak bukan Islam, tetapi perlu berpada-pada. Adil itu bukan sama rata dan sama rata tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Jika bilangan kuil hindu (tokong) itu lebih sedikit, dengan penganut yang sedikit, berbanding dengan masjid surau, itu adil namanya, kerana ia telah meletakkan sesuatu pada tempat yang betul. Ini negara Islam, penganut islam majoriti, Islam agama Persekutuan. Bantuan untuk pembangunan syiar Islam pun disebut jelas dalam Perlembagaan.

Sama juga isu, jika penjawat awam Islam tidak menyertai majlis penuh kemungkaran dan kemaksiatan bukan Islam, yang penuhi dengan arak, judi dan zina, meskipun melibatkan pembesar dan menteri, itu adil namanya.

Persoalannya, kita diminta menghormati agama lain, tetapi masalah kenapa agama lain yang asal-usul ‘menumpang’ di bumi ini tidak sedar semua ini? Atau adakah ini suatu perancangan, buat-buat tidak sedar untuk menenggelamkan identiti sebenar negara ini?

Oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah