Thursday, September 15, 2022

Jangan Tonjol Sifat Rakus, Jelik

SJKC Mikro: Prof Kok Seong nasihat masyarakat Cina jangan tonjol sifat rakus, jelik
BANGI – Tindakan segelintir masyarakat Cina membantah cadangan penggabungan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mikro bukan sahaja memperlihatkan sifat jelik, bahkan rakus yang selalu mahu keuntungan dalam apa jua keadaan.

Walhal, cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai perkara itu dilihat langkah paling logik dari pelbagai segi antaranya pragmatisme pengurusan.

Sewajarnya, langkah tersebut – yang membabitkan semua jenis sekolah dan bukannya SJKC sahaja – hendaklah diterima baik dengan minda terbuka, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.

Ini kerana, logik cadangannya begitu nyata, iaitu tidak mampan langsung untuk terus-terusan mengekalkan keadaan persekolahan sebegitu.

“Namun kerana kerakusan, masyarakat Cina mahu menyelesaikan keadaan ini dengan cara memindahkan setiap satu SJKC yang terbabit ke tempat lain, malah di kawasan baharu yang kekadang amat jauh daripada tapak asalnya.

“Dalam hal ini, mereka tidak mahu SJKC yang terbabit ini bergabung sesama sendiri meskipun dalam sesuatu kawasan atau daerah itu, sebagai mana yang dicadangkan KPM,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata, kerakusan ini begitu jelik sehingga masyarakat Cina sengaja buat-buat lupa bahawa sesebuah SJKC tertentu itu didirikan di sesebuah tempat untuk menampung keperluan pendidikan vernakular Cina di situ atas permohonan mereka.

“Sebab enrolmennya mengecil sehingga terpaksa digabungkan adalah bukan bikinan etnik lain. Ia yang merupakan bikinan etnik Cina sendiri yang gagal mengekalkan enrolmen munasabah ekoran kadar kelahiran yang rendah dalam kalangan etnik Cina.

“Perkara itu hendaklah bukan sahaja difahami mereka sendiri tetapi ikut diambil tanggungjawabnya oleh mereka sendiri dengan bersetuju kepada cadangan penggabungan KPM itu,” katanya.

Pada masa sama, Prof Kok Seong beranggapan tidak ada keperluan langsung untuk memindahkan SJKC Mikro ke tempat lain, sedangkan sedia maklum bahawa sekolah lama gagal mengekalkan enrolmen minimum.

“Kemahuan menggunakan ‘badi’ sekolah lama ini untuk sekolah baharu sebenarnya tidak selari dengan amalan kepercayaan Cina, yang tidak mahu menyimpan lagi apa-apa yang tidak membawa kejayaan.

“Akan tetapi, oleh sebab kerakusan, masyarakat Cina sanggup melakukan sesuatu yang langsung tidak bersifat Cina itu, iaitu mahu terus mengekalkan apa-apa yang tidak membawa kejayaan,” katanya.

Menurut Kementerian Pendidikan, dari 1,302 buah SJKC di seluruh negara, 616 buah atau 47.3% mempunyai murid kurang daripada 150 orang.

Keadaan yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan telah membuat tinjauan dalam kalangan ibu bapa murid SJKC Mikro mengenai rancangan penggabungan sekolah yang telah menarik perhatian masyarakat Cina sehingga kedengaran saranan ‘Tidak boleh kurang walaupun sebuah (sekolah)’.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan telah berjanji untuk menangguhkan sementara rancangan penggabungan sekolah untuk pertimbangan semula bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk SJKC Mikro demi perkembangannya. - ismaweb.net