Dasar Bahasa Kebangsaan dan Sistem Pendidikan Negara yang mempunyai matlamat murni untuk menyatupadukan rakyat boleh dikatakan tidak berjaya. Ini dapat dilihat pada tahap perpaduan kita yang tidak dapat disangkal bersifat polarisasi kaum. Dengan ini, ia merujuk kepada keadaan yang memperlihat kaum-kaum di negara ini bergerak secara mencapah antara satu sama lain.
Ia juga memperlihat keadaan mereka terpisah antara satu dengan lain oleh perasaan, sikap, hasrat dan keutamaan yang berbeza. Selain dua keadaan ini, lebih dahsyat lagi disebabkan tiadanya interaksi signifikan antara mereka. Ia mewujudkan keadaan yang memupuk sentimen negatif terhadap satu sama lain.
Sehubungan itu, kita gagal melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan yang matlamat utamanya ialah penyatupaduan rakyat. Untuk itu, hasrat bahasa Melayu selaku bahasa perpaduan dalam bidang pendidikan pada Penyata Pendidikan Razak 1956 tidak kesampaian, walaupun terkandung dalam Akta Pendidikan sama ada yang 1961 atau 1996. Pada Akta 1996 Bahagian 17, dicatatkan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Negara.
Istilah bahasa kebangsaan dan bukannya bahasa Melayu digunakan kerana istilah ini mempunyai pengertian perpaduan. Dalam konteks ini, bahasa kebangsaan yang mewakili seluruh rakyat dan segenap pelosok tanah air adalah juga lambang negara. Dengan peranan sebegini integratif, ia bahasa setiap kita dan setiap ruang negara ini.
Persoalan kegagalannya ialah bagaimanakah dengan peranan semulia itu, bahasa kebangsaan kita tidak berhasil menyatupadukan rakyat sedang ia dapat dilakukan di merata tempat pada sepanjang zaman? Sehubungan itu, China melakukannya pada zaman purba lagi dan Indonesia berbuat demikian setelah merdeka pada 1945.
Kita perlu menyorot di mana dan bagaimana kita tidak mampu memanfaatkan bahasa yang memang mempunyai kuasa penyatupaduan. Untuk itu, sudah tentu persoalan nasionalisme perlu ikut dicermati kerana nilai dan tingkah laku tentang rasa keterikatan kepada negara didapati berperanan dalam soal ini.
PENGASINGAN ETNIK
Sistem pendidikan negara yang membenarkan persekolahan pelbagai aliran bahasa, tidak dapat dinafikan adalah punca utama polarisasi kaum. Ini kerana ia menggalakkan pengasingan etnik berlaku pada usia muda mulai tadika dan di sekolah rendah. Usaha menyatukan anak bangsa apabila di sekolah menengah nanti didapati tidak menjadi. Ini disebabkan ramuan penyatuan tidak pernah ditanam secara fizikal sebelum mereka berada di sekolah menengah.
Hakikat ini perlu bukan sahaja disedari tetapi diinsafi kerana ia amat menjejaskan perpaduan negara yang semakin mencapah saban hari berikutan polarisasi kaum yang bermula di sekolah, berterusan di institusi pendidikan tinggi dan mantap di tempat kerja.
Kita hendaklah melakukan sesuatu secara segera agar perpaduan negara tidak terus merudum akibat polarisasi kaum dalam bidang pendidikan. Untuk itu, sekolah kebangsaan (SK) yang sepatutnya merupakan wadah perpaduan negara atas dasar membekalkan pendidikan nasional tidak lagi menjadi pilihan utama ibu bapa. Sebaliknya, sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang menawarkan pendidikan etnik tertentu pula yang menjadi sangat popular dalam kalangan pelbagai kaum lain.
Sebenarnya kerajaan menyedari dilema yang dihadapi SK dan berjanji menanganinya untuk mengembalikan kecemerlangannya menjelang 2025. Ini dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Persoalannya kini, sejauh manakah citra SK itu telah pun dipulihkan bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menyekolahkan anak mereka semula di sana?
TIDAK BAGUS
Sebetulnya, masyarakat belum dapat melihat sebarang perubahan signifikan pada SK untuk menegakkan syiar pendidikan negara kembali sebagai maruah Sistem Pendidikan Negara. Pada tanggapan mereka, SK bukan sahaja berada di takuk lama, iaitu tidak bagus lagi, secara umumnya ia didapati bertambah teruk dengan mutunya dilihat semakin susut selain tidak dapat menyediakan pendidikan yang sesuai untuk semua etnik.
Cukup malang sistem pendidikan negara terbentuk kerana SK sebagai sekolah nasional tersasar dari beberapa sisi sehingga dijauhi ibu bapa yang cakna akan pendidikan anak mereka. Sepatutnya SK yang wujud di serata tempat di seluruh negara menjadi institusi pendidikan kerajaan yang dipercayai semua lapisan masyarakat. Namun, ia tidak sebegitu lagi.
Sudah tiba masanya kita, khususnya kepimpinan negara berjiwa besar untuk mengakui kegagalan dalam dua perkara ini bagi pemupukan perpaduan negara yang lebih erat lagi utuh. Dua perkara inilah antara struktur yang perlu diberi perhatian serius. Tidak ada banyak faedahnya jika kita hanya memberi tumpuan kepada situasi yang tercetus akibat perpaduan rapuh. Antaranya menganjurkan kegiatan perpaduan walaupun di semua peringkat di seluruh negara.
Kita hendaklah mempunyai keazaman politik untuk memperbetul struktur yang didapati tidak betul. Antaranya bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan bidang pendidikan selaku tapak perpaduan. Selagi strukturnya tidak dibaiki, segala situasi yang ditangani itu hanya baik untuk sementara waktu dan tidak bagi jangka masa panjang.
Oleh: Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment