'UMNO ambil kira akar umbi tolak kerjasama dengan BERSATU'
KUALA LUMPUR: Surat UMNO kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan kedudukan parti itu dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.
"Satu perjumpaan khas antara UMNO, BERSATU dan PAS diwakili lima pemimpin tertinggi setiap parti diadakan pada 15 Februari lalu.
"Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri meminta UMNO supaya membuat pendirian jelas berhubung kedudukan kerjasama dengan BERSATU sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
"Oleh itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lalu dan keputusan MKT sebulat suara untuk Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan keputusan MKT," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, dua keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MKT dan diutuskan kepada Perdana Menteri ialah mengenai tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik, mesti berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.
"Justeru, keputusan ini dicapai selepas mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, baik buruknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19," katanya.
Sebelum ini tular spekulasi mengenai keputusan MKT UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15, malah perkara itu turut dikongsikan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam laman media sosialnya semalam.
Sebelum ini, UMNO turut memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP. - www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment