Thursday, March 11, 2021

Israk Dan Mikraj: Mukjizat Rasulullah SAW

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu mukjiat yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Pada malam tersebut diperlihatkan kepada Nabi SAW bukti kekuasaan Allah SWT. Peristiwa yang banyak pengajaran dan iktibar ini dirakamkan dalam ayat pertama surah al-Israk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya Nabi Muhmmad pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati di sekelilingnya... (al-Israk: 1)

Peristiwa Mikraj pula dinyatakan dalam surah al-Najm: Apakah wajar kamu mendustakan apa yang telah dia lihat? Sesungguhnya dia telah melihat Jibril dengan rupa asalnya sekali lagi. Ketika dia berada di Sidratul Muntaha. Di sisinya terletak syurga Ma’wa..sehingga kepada ayat Sesungguhnya dia telah melihat tanda-tanda kebesaran Tuhannya yang Maha Agung. (al-Najm:12-18)

Mengulas peristiwa Israk dan Mikraj ini, Ibn Asyur menyatakan, Nabi SAW mempunyai dua kemuliaan.

Pertama ialah Israk yang disebut dalam ayat pertama surah Israk dan yang kedua ialah Mikraj yang disebut dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim secara panjang lebar dan juga hadis yang lain.

Ada juga pendapat Mikraj hanya diisyaratkan dalam surah al-Najm tidak dinyatakan dengan jelas.

Mukjizat Israk dan Mikraj ini berlaku di luar kotak pemikiran manusia. Sehingga ada yang menyatakan ia berlaku dengan roh sahaja atau berlaku semasa tidur melalui mimpi. Perlu ditegaskan jumhur ulama sepakat peristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh.

Ibn Hajar semasa menghuraikan Sahih al-Bukhari berkaitan hadis Israk dan Mikraj menyatakan: “Sesungguhnya Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam secara sedar dengan jasad dan roh Baginda SAW”.

Ini juga pendapat jumhur ulama hadis, fuqaha dan ulama kalam. Di sana banyak kisah yang sahih tentang peristiwa ini. Dan tidak harus sama sekali mengingkarinya walaupun akal tidak mampu mengiyakanya sehingga perlu kepada takwilan.

Bukti yang jelas Israk dan Mikraj berlaku dengan tubuh dan jasad baginda SAW ialah penentangan yang kuat oleh orang musyrikin Quraisy semasa Nabi SAW memberitahu mereka.

Kalaulah peristiwa ini berlaku secara mimpi sudah tentu ia tidak akan ditentang oleh musyrikin Quraisy. Dan ia juga bukanlah satu mukjizat.

Hafiz al-Hakami menyatakan: “Kalaulah Israk dan Mikraj itu berlaku dengan roh sahaja dalam mimpi maka ia bukanlah mukjizat. Dan pasti Quraisy tidak akan mendustai dengan berkata: “Sesungguhnya kami menunggang unta sebulan pergi ke Baitulmaqdis dan sebulan kembali ke Mekah tetapi Muhammad mengaku dia diisrakkan satu malam sahaja dan pagi ini bersama kami di Mekah.

“Sekiranya ini berlaku secara mimpi sudah tentu tidak akan ada pertentangan dan tidak akan ditolak. Mimpi tidak akan didustai walaupun jaraknya lebih jauh daripada Masjid Aqsa.”

Banyak riwayat hadis Nabi SAW berkaitan Israk dan Mikraj. Imam Sayuti menyatakan: “Hadis berkaitan Israk ada dalam bentuk yang panjang dan ada yang disebut secara ringkas”.

Imam Qastalani menyatakan dalam kitabnya al-Mawahib al-Alladuniyyah, seramai 26 sahabat r.a sama ada lelaki dan perempuan telah meriwayatkan hadis berkaitan Israk dan Mikraj.

“Oleh kerana itu, ia adalah hadis yang berstatus mutawatir bersama nas al-Quran yang menyatakan demikian dalam surah Israk dan surah al-Najm,” katanya.

TARIKH ISRAK MIKRAJ
Yang termasyhur ialah pendapat Imam al-Zuhri. Katanya, Israk dan Mikraj berlaku pada tahun 12 kerasulan iaitu setahun sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah Munawwarah.

Ia berlaku selepas Nabi SAW menghadapi tekanan dan cabaran dari perjalanan untuk dakwah ke Taif. Justeru tarikh Israk dan Mikraj ialah pada malam 27 Rejab tahun ke 12 dibangkitkan menjadi rasul.

Objektif Israk dan Mikraj adalah meringankan beban kepedihan dan kesedihan yang dilakukan kaum Quraisy kepada Nabi SAW sepanjang dakwahnya. Lebih daripada itu peristiwa ini bagi mengangkat kedudukan Nabi SAW dan memuliakanya di samping menjelaskan kedudukan Nabi SAW di sisi Allah SWT.

Allah SWT menyatakan sendiri tujuan Israk adalah untuk memperlihatkan kepada Nabi SAW bukti kekuasaan Allah SWT.

HIKMAH ISRAK MIKRAJ
Tugasan dakwah yang dibawa oleh nabi SAW untuk mengubah kepercayaan masyarakat Mekah daripada melakukan syirik kepada tauhid kepada Allah SWT adalah amat berat.

Banyak pertentangan kepada Nabi SAW. Justeru mukjizat Israk dan Mikraj ini adalah anugerah Allah kepada Nabi SAW bagi memperkukuhkan hati Nabi SAW selepas menerima pelbagai mehnah dan ujian.

Antara hikmah yang boleh dirumuskan ialah:

* Hati Nabi SAW dipenuhi dengan keyakinan, ketenangan dan kepercayaan kepada Allah SWT selepas melihat kekuasaan Allah dan kesan rahmat-Nya.

* Persediaan dan permulaan untuk peristiwa hijrah.

* Nabi SAW melihat sendiri perkara ghaib yang Baginda SAW sampaikan kepada manusia seperti syurga, neraka dan melihat nikmat yang dianugerahkan dalam penghuni syurga serta azab yang dikenakan kepada ahli neraka.

* Israk dan Mikraj ini memperkukuhkan keimanan orang yang beriman kepada Allah SWT. Ia juga adalah ujian dan pemutihan kepada orang yang lemah iman.

* Dan secara langsung Nabi SAW mengetahui mereka yang ragu-ragu dalam beriman dan juga mengetahui mukmin yang yang sebenar dan ikhlas.

* Keberanian Nabi SAW dalam berhadapan dengan orang musyrikin di mana Nabi SAW secara terang-terangan menyatakan kebenaran dan menghadapinya walaupun orang musyrikin mengingkarinya dan tidak mempercayainya.

* Memperkukuhkan keazaman Nabi SAW. Allah SWT telah menerangkan bahawa Dia akan menolong Nabi SAW. Risalah dakwahnya akan akan merentasi sehingga sampai ke Baitulmaqdis. Setiap mehnah iaitu ujian adalah mehnah iaitu anugerah.

Bekas Rektor Universiti al-Azhar, Dr. Umar Hasyim menyatakan satu syair yang menarik berkaitan Israk dan Mikraj. Beliau menjelaskan perbezaan antara peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa yang bercakap dengan Allah dan peristiwa Nabi SAW di malam Mikraj.

Katanya: Jika kamu bandingkan firman Allah SWT: “Kamu wahai Musa tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu” dengan firman-Nya, “Hati Nabi Muhammad tidak akan sekali-kali mendustakan apa yang dilihat oleh matanya” nBekas Rektor Universiti al-Azhar, Dr. Umar Hasyim menyatakan satu syair yang menarik berkaitan Israk dan Mikraj. Beliau menjelaskan perbezaan antara peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa yang bercakap dengan Allah dan peristiwa Nabi SAW di malam Mikraj.

Katanya: Jika kamu bandingkan firman Allah SWT: “Kamu wahai Musa tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu” dengan firman-Nya, “Hati Nabi Muhammad tidak akan sekali-kali mendustakan apa yang dilihat oleh matanya” nescaya kamu akan faham perkara sebenar.

Nabi Musa jatuh pengsan sedangkan pandangan Nabi Muhammad pada malam mikraj menyaksikan dengan tepat. Israk dan Mikraj adalah kekuasaan Allah dan anugerah yang tinggi kepada nabi SAW.

Oleh: Prof Madya Dr Khairul Anuar Mohamad

No comments:

Post a Comment