SAYA sempat menonton rakaman, AGM MCA 2021, Pemuda dan Wanita, melalui saluran YouTube yang dimuat tarikh MCA, ditonton tidak sampai 500 orang. Sepatutnya, dengan keahlian lebih sejuta, sudah tentu tontonan mencecah puluhan ribu sekurang-kurang dalam sehari dua ini. Tetapi, tidak berlaku seperti itu. Adakah benar, parti ultra kiasu mempunyai ahli sedemikian ramai? Janganlah tertipu.
Satu lagi, apabila MCA telah membuka keahlian bersekutu kepada bangsa bukan Cina, saya ingatkan MCA akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Rupanya tidak. AGMnya, daripada dahulu hingga kini, langsung tidak berubah. Begitu kecinaan. Semua maklumat disampaikan mengutamakan bahasa Cina berbanding bahasa kebangsaan.
Parti Cina ini tinggal di mana, di Malaysia atau negara komunis. Cuba lihat laman webnya, bahasa utama, Cina, diikuti Inggeris, akhir sekali, baharulah bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang terakhir.
Itupun dalam ucapan Pesidennya, mahu kekal relevan dalam PRU15. Mahukan masyarakat Cina memberi peluang kepada MCA dan mahu kekal bersama BN hingga PRU15.
Persoalannya, sejak bila masyarakat Cina menyokong MCA selama ini? Kerusi yang MCA menangi sebelum ini, semuanya di kawasan majoriti Melayu.
Begitu juga kenyataannya, mahu kekal bersama BN hingga PRU15. Andainya, BN kecundang seperti PRU14, apakah MCA akan bertindak melakukan perkara sama, isytihar keluar BN selepas itu?
Orang sebegini tidak boleh dipercayai. Saya cukup hairan, bagaimana UMNO dan PAS masih boleh mempercayai orang seperti ini. Apatah, akan memberikan ‘kerusi tradisi’ kawasan majoriti Melayu, seperti yang dituntutnya selama ini.
Saya meneliti ucapan pemimpin-pemimpin mereka, tidak relevan dengan tuntutan sesama, kecuali perkara berkaitan dengan COVID-19.
Menyentuh tentang perkahwinan bawah umur 18 tahun. Siapa sasaran MCA kalau bukan kita sebagai umat Islam. Kenapa tidak menasihat, anak-anak Cina belasan tahun yang terlibat dalam seks bebas.
Kenapa perlu tegur perkara yang sudah sah ada ikatan perkahwinan, berbanding dengan anak-anak yang dibiarkan bebas untuk melakukan seks ketika belasan tahun. Mana lebih baik, kahwin umat 18 tahun secara daripada, melakukan seks secara tidak sah. Saya cabar MCA, cuba buat kajian tengok, siapa (bangsa mana) yang lebih ramai melakukan seks bebas ketika usia belasan tahun?
Begitu juga tuntutan supaya wanita belajar karate bagi mengelakkan keganasan rumahtangga. Adakah itu bermakna, selepas ini, apabila suami melakukan ‘keganasan’ kepada isteri, maka terus dikarate oleh isteri? Adakah selepas dikarate isteri, suami akan tunduk dan sujud kepada isteri? Lagi teruk isteri akan dikarate suami, mungkin ada.
Cetek sungguh pemimpin MCA ini dalam menangani masalah keganasan rumahtangga. Menggunakan kekerasan melawan keganasan. Kalau dua-dua keras, nak selesai masalah macam mana. Salah seorang kena lembut baru boleh kendur. Jika dua-dua keras, nanti takut benjol sana sini.
Sepatutnya, sebagai parti yang kononnya telah berusia 72 tahun, begitu matang sekali, MCA mengambil pendekatan yang lebih berhikmah dan professional, bukan emosional.
Paling lekehpun, MCA cadangkan guna saluran undang-undang, jika saluran perundingan dan jalan damai tidak berjaya. Bukannya menggunakan karate. Pada saya, untuk mempertahankan diri, akido ‘lebih baik’ daripada karate. Bimbang saya selepas jika berselisih dengan pemimpin wanita MCA, takut kena karate.
Berbalik kepada ucapan pemimpin nombor satunya, sejak ditubuhkan pada 72 tahun lalu, MCA dikatakan telah menjadi asas kepada kestabilan politik dan berusaha untuk menjadi penyelesai masalah.
Betul ke?
Kenapa kamu keluar BN ketika BN susah, kecundang PRU14 dan masuk semula setelah melihat laba yang ada dalam PN?
Sepatutnya, sebagai parti yang bermaruah, tidak sepatutnya kamu berada dalam Kabinet? Katanya lagi, MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949. Pernah menguasai sehingga 31 kerusi Parlimen pada PRU 2004, parti itu kini hanya mempunyai dua wakil di Dewan Rakyat. Boleh tak kamu cari sebab kenapa MCA dapat kerusi sebanyak itu kalau bukan baiknya hati budi Melayu?
Boleh tak kamu kira, kerusi yang kamu menangi itu di kawasan majoriti besar Cina atau apa? Sebenarnya yang asas kepada kestabilan politik Malaysia daripada merdeka sehingga kini, bukan MCA. Tetapi adalah ehsan pemimpin dan orang Melayu yang begitu bertoleransi.
Kamu sedar atau tidak bahawa, kenyataan demi kenyataan kamu selama ini buat menjadi penstabil, tetapi menjadikan orang Melayu menyimpan rasa. Cuba kamu kaji kenyataan kurang ajar kamu terhadap perkara berkaitan Islam, seperti jawi di SJKC, undang-undang Syariah Islam, dan sebagainya.
Kamu kata MCA adalah penyelesai masalah, bukan pembuat masalah. MCA adalah jambatan yang menyatukan, bukan yang memecahkan masyarakat. MCA adalah pembina pembangunan ekonomi, bukan yang menyokong populisme. MCA mewujudkan suasana politik yang stabil untuk rakyat, berbanding menjadi punca kemelut politik. MCA tidak pernah menjadi parti yang mencetuskan pergeseran kaum memandangkan perjuangan mereka bukan untuk masyarakat Cina sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar. Kalau Cina MCA pun mudah lupa, biar Cina Muslim ingatkan, betapa MCA sebenarnya bukan penyatu, tetapi sebaliknya. Yang menyatukan adalah kesabaran dan toleransi Melayu. Baca molek-molek di sini, kenapa saya katakan MCA bukan penyatu atau penstabil tetapi pemecah belah. Melayu Islam yang tertipu. Akhirnya, yang berkuasa adalah ultra kiasu.
1. Mengaitkan negara Islam sebagai negara teokratik
2. Mencerca dan menghina ajaran Islam yang melarang perempuan dan lelaki yang bukan mahram dari bersentuhan. Bonceng lelaki perempuan, pemisahan lelaki perempuan dalam panggung wayang dan lain-lain
3. Provokasi dan menyindir sambutan Aidil Adha dengan menggambarkan seolah-olah pihak berkuasa tempatan di Kelantan memaksa supaya kedai-kedai di tutup pada Hari Raya
4. Mengaitkan Islam sebagai punca kepada negara yang mempunyai majoriti rakyat beragama Islam menjadi tidak demokratik, mundur, tidak mencapai taraf pembangunan global, dipalit rasuah dan lain-lain lagi
5. Semasa Berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, pemimpin MCA ada menyebut, “Apa baiknya untuk mengetahui tatasusila/nilai orang Islam?”
6. Pemimpin MCA dalam ucapannya pada satu majlis di sebuah Tokong Cina dalam PRK yang sama DUN Tenang, Labis, Johor. “Normala tidak akan datang ke Kuil Cina, dia juga tidak akan berjabat tangan dengan orang. Saya menerima aduan tentang ini. Dia (Normala) seperti Isteri Anwar Ibrahim yang memakai sarung tangan. Jika anda boleh terima nilai Islam yang sebegini silakan mengundi PAS”
7. Pada 6 Ogos 2010 di Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, pemimpin MCA telah mendakwa bahawa UMNO dan PAS menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu. Apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, menimbulkan kesan buruk kepada ekonomi negara
8. Akhbar MCA selalu menghina Islam: “Undang-undang itu (Enakmen Jenayah Syariah Selangor) jika dilaksanakan adalah langkah kebelakang dan terlampau bodoh untuk digambarkan”
9. MCA sedia keluar BN jika hudud dilaksanakan. Ucapan pemimpin MCA pada 23 September 2011. Esoknya, 24 September, pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan, Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia, Hudud tidak berpaksi kepada realiti”
10. Penegasan dibuat kepada ahli-ahli MCA pada Konvensyen MCA Negeri Selangor bertarikh 18 Ogos 2012, menghalang sebarang usaha penubuhan kerajaan Islam di Selangor
11. Seorang peguam, juga ahli seumur hidup MCA, membantah laungan azan yang berkumandang di Masjid Khadijah, Pantai Dalam. Kononnya, laungan azan terlalu kuat. Akibatnya pihak berkuasa agama, mengarahkan masjid perlahankan azan
12. Pada 16 Januari 2012, menteri MCA ketika itu, juga pemimpin wanita MCA, memperlekeh dan ‘menghentam’ langkah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang pekerja muslim dari bekerja di tempat-tempat hiburan yang terlibat dengan arak. Langkah itu katanya, mesti dibatalkan kerana bertentangan dengan hak asasi manusia. Sedangkan Kerajaan Selangor ketika itu berusaha dapatkan pekerjaan alternatif kepada orang Islam yang sedang bekerja di premis arak
13. Bekas ADUN MCA Subang Jaya, pernah menulis dalam Twitternya bahawa negara Islam seperti dicanangkan oleh PAS akan mengharamkan semua agama. Katanya, sebagai penganut Kristian, kita seharusnya takut akan negara Islam daripada perkara yang lain. Salah satu perintah tuhan ialah menentang negara Islam
14. Akhbar MCA, adalah antara akhbar yang kerap mempersendakan Islam. Sebagai contoh, tulisan seorang editor akhbar ultra kiasu yang mempertikaikan tindakan Mahkamah Syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang wanita yang meminum arak. Begitu juga dengan kes daging babi panggang untuk berbuka puasa yang disiarkan bulan Ramadhan, pada 10 Ogos 2011, di bawah tajuk “Authentic prime pork ribs will certainly delight your taste buds”. Begitu juga, penyiaran gambar penyanyi Amerika, Erykah Badu yang bertatoo nama Allah pada dadanya yang terdedah
15. Pemimpin MCA Negeri pernah mempertikai dan memperkecil usaha Majlis Bandaraya Alor Star memperkenalkan Kod Pakaian model Papan Tanda Iklan yang meletakkan pakaian yang menutup aurat bagi model Muslim dan berpakaian sopan bagi non muslim
16. Ini tidak termasuk penentangan secara terang MCA terhadap jawi di SJKC, RUU355 dan banyak lagi jika mahu disenaraikan
17. Tidak perlu saya nukilkan kata-kata pemimpin MCA secara lantang, “saya tidak mahu dengar orang kata PN kerajaan Melayu Islam”. Begitu juga kata-kata pemudanya, “Siti Zailah (PAS) tidak layak menjadi timbalan menteri”
18. Ini tidak termasuk lagi, sokongan tegar mereka terhadap pertubuhan pendidikan Cina, ekstremis pendidikan Cina, pengiktirafan komunis (MPAJA) dan banyak lagi.
Jika ditinjau daripada segi sejarahnya, MCA lebih banyak menujukan serangan terhadap Islam, terutama PAS, selain UMNO. Jika PAS dan UMNO mudah lupa, elok juga saya peringat. Kecualilah PAS dan UMNO menganggap bahawa MCA telah ‘bertaubat nasoha’ dan tidak akan mengulanginya lagi.
Pada hemat saya, selaku bekas ahli MCA, mengenali MCA sekian lama, parti ini, jika tidak akan keuntungan ekonomi, memang bukan MCA namanya. Semua dilakukan atas kepentingan bisnes, kerana itulah segala-galanya bagi mereka. Bukan soal penyatu atau penstabil. MCA, DAP dan Gerakan, semuanya sama, ultra kiasu, kecuali mereka yang mesra Islam, Melayu dan bumiputera, seperti Parti Cinta Malaysia, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan lain-lain.
Saya hanya akan tabik PAS, UMNO dan PPBM jika berjaya menjinakkan MCA, terkini Gerakan, menjadi parti mesra Islam, Melayu dan bumiputera. Termasuk juga parti-parti Cina di Sabah dan Sarawak.
Oleh: Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Lihat juga: Bantah Jawi: Bebal, menjengkelkan
No comments:
Post a Comment