Wednesday, March 31, 2021

Dasar Ekonomi Baru Tidak Lagi Berfungsi, Kata Nazir

PETALING JAYA: Banyak prinsip dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak lagi berfungsi, sebaliknya menjejaskan politik dan melebarkan jurang antara komuniti di negara ini, menurut tokoh korporat Nazir Razak.

Nazir, anak perdana menteri kedua Malaysia dan “arkitek” DEB, Abdul Razak Hussein, berkata status quo tidak dapat dipertahankan, dan beliau mempersoalkan sama ada pemimpin negara ada inisiatif untuk membangun dan melaksanakan sistem politik, ekonomi dan sosial baharu.

Beliau berkata, DEB bukan diwujudkan sebagai satu penyelesaian yang kekal.

Bekas pengerusi CIMB itu berkata prinsip-prinsip DEB, banyak yang tidak berubah sejak penubuhannya pada 1970, telah menampakkan diri dalam “politik kita yang tidak berfungsi, data ekonomi dan perpecahan yang semakin meningkat”.

“Ini tidak mengejutkan kerana sistem yang dilaksana dimaksudkan sebagai satu percubaan dan bersifat sementara,” kata beliau kepada FMT.

Beliau memberi amaran bahawa isu-isu yang semakin “bernanah” ini akan meluap sekiranya pemimpin-pemimpin negara gagal bertindak dengan segera untuk melaksanakan pembaharuan.

“Perlukah kita tunggu pergaduhan tercetus di jalanan atau negara gagal sebagai institusi sebelum kita menangani isu pembaharuan?” soal beliau.

Nazir berkata, keadaan darurat, ketidakstabilan politik dan kekecewaan masyarakat umum pada masa ini sepatutnya sudah cukup menjadi bukti bahawa perubahan diperlukan.

“Bukankah sepatutnya pemimpin-pemimpin kita duduk bersama, kenal pasti masalah dan kaji pembaharuan ini sekarang? Mereka tidak sepatutnya mementingkan diri dengan berkata: ‘Saya mendapat keuntungan daripada sistem ini, jadi saya tidak mahu mengubah apa-apa.’”

“Ini yang selalu menjadi masalah dengan pembaharuan. Mereka yang berkuasa lebih kurang berkata, ‘Inilah sistem yang meletakkan saya di sini. Mengapa saya mahu mengubahnya?’”

Nazir berkata, ada keperluan bagi membentuk sekumpulan pakar untuk meneliti isu yang paling mendesak dan memecahbelahkan di negara ini, satu seruan yang berulang kali dibuat Nazir.

Kata beliau, kumpulan itu mirip dengan Majlis Perundingan Negara yang ditubuhkan ekoran rusuhan 13 Mei.

“Sekolah vernakular, tindakan afirmatif, keseluruhan isu sekular vs negara Islam – semua perkara ini harus dibawa berunding dan dibincangkan,” kata beliau.

“Dapatkan pemimpin masyarakat, golongan intelektual, dan sebagainya untuk berdebat dan mencadangkan sistem baharu yang boleh meletakkan kita pada landasan yang lebih baik.

“Zaman ini, dunia tidak menunggu sesiapa pun. Dinamiknya adalah jika kita tidak menguruskan demokrasi dan masyarakat, dan bekerjasama merentasi sempadan identiti sekarang, kita akan semakin jauh ketinggalan.”

Bentuk baharu pembuatan dasar sedang diterokai di seluruh dunia, kata Nazir, dan wakil rakyat semakin jelas kelihatan tidak dapat berhubung dengan pengundi.

“Berkenaan isu struktur jangka panjang, kita tidak boleh bergantung kepada Parlimen atau parti politik, yang pada dasarnya mempunyai agenda jangka pendek.

“Individu yang kita pilih akan mengundi mengikut arahan partinya, bukan apa yang dikehendaki rakyat yang diwakilinya.

“Mereka juga sentiasa dipengaruhi kitaran pilihan raya,” kata beliau.

Merujuk kepada apa yang terjadi di Ireland, beliau berkata panel rakyat, golongan intelektual dan pemimpin masyarakat dimaklumkan oleh Ahli Parlimen bahawa masyarakat umum tidak akan menerima saranannya untuk menjadikan pengguguran itu sah di sisi undang-undang. Tetapi referendum diluluskan dengan hampir dua pertiga jumlah undi.

“Adakah ahli politik individu yang tepat untuk menangani isu struktur jangka panjang bagi menambah baik negara? Saya rasa, tidak,” kata beliau.  - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment