Friday, June 29, 2018

Sudah Matikah Bangsa Melayu?

“TEGAK rumah kerana sendi, runtuh budi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.” - Buya Hamka. Sambutan Aidilfitri adalah bagi meraikan kemenangan umat Islam dalam keupayaan menundukkan nafsu agar kembali kepada fitrah yang dijadikan Pencipta. Hari yang penting ini sewajar­nya digunakan sebagai penanda dalam mendidik diri untuk menghormati tatatertib bersosial.

Ini termasuklah menjaga adab dalam pertuturan yang menjadi penggalas kehidupan bermasyarakat. Namun, entah apa yang merasuki bangsa Melayu yang kononnya mendukung agama Islam di negara ini. Melayu seolah-olah hidup di hujung nyawa.

Takrifan di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mengikat seseorang ‘Melayu’ itu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, dan menurut adat Melayu. Takrifan ini memahatkan tiga prasyarat sebelum seseorang itu boleh mengaku diri mereka sebagai ‘orang Melayu’; dia hendaklah menjaga agama, bahasa dan budaya. Tetapi, sudah hinakah fitrah bangsa Melayu sehinggakan ramai sekali yang tanpa segan menginjak-injak ketiga-tiga pegangan bangsa mereka ini?

Budaya Melayu itu kini bagaikan mati ditalkinkan dek kerana anak muda bangsa ini yang tidak segan memakai budaya luar seharian. Sudahlah bahasa Melayu dicabul tanpa segan di hadapan masyarakat kerana keengganan bangsa Melayu menggunakan bahasa mereka sendiri, kini agama yang kononnya menjadi penggalas bangsa juga dianggap remeh sehinggakan wajar sekali ditidakkan.

Ini bukanlah coretan penulis untuk mengangkat hujah bahawa negara ini didirikan berlandaskan prinsip agama Islam. Dengan mudah mereka yang menggelar negara ini sebagai ‘sekular’ menidakkan naratif dan sejarah negara berdasarkan hujahan dangkal mereka yang cetek ilmu dan kosong jiwa.

Coretan ini adalah teguran kepada orang Melayu yang kian tegar memperbodohkan jurai keturunan mereka sendiri de­ngan memandang agama mereka sebagai enteng, bahasa mereka sebagai bobrok dan budaya mereka sebagai picisan.

Dalam bulan yang dilihat mulia oleh mereka yang mengambil ikrar dengan Pencipta, ramai pula yang tanpa segan silu menabur fitnah. Agama hanyalah ritual yang kosong adab. Atas sebab itulah, tiada orang Melayu terpanggil untuk membantah apabila ada yang ingin menyamaratakan agama mereka dengan agama lain.

Yang paling jijik sekali apabila fitnah ditaburkan kepada institusi yang dimaktubkan sebagai ‘ke­tua agama’ di bawah Perkara 3 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Sudahlah mereka tiada segan dengan akad sesama bangsa, mereka juga tidak malu dengan peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Untuk menutupi kelancangan mulut mereka yang hanya menjadi saluran kepada busuknya hati mereka, mereka jugalah yang dengan angkuh menuntut agar Akta 15 dimansuhkan.

Hujahan dangkal mereka adalah kononnya kerana Akta 15 tidak berperikemanusiaan menidakkan hak mereka untuk bersuara. Apakah ada perlu untuk bersuara jika yang keluar hanyalah bunyi kepincangan?

Juga, tidaklah mereka faham dan hormat kepada bahasa yang terbit daripada hak mereka bersuara. Kendatipun prasyarat orang Melayu itu adalah berbahasa Me­layu, namun mereka juga kini pongah dengan menuntut agar bahasa Melayu itu direndahkan oleh bahasa penjajah mereka sendiri.

Bukan mereka tidak sedar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menuntut hak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tetapi mereka jelak dengan tuntutan ini kerana bagi mereka, bangsa penjajah itu dilihat sebagai bahasa universal sedangkan bahasa Melayu itu berdiri hina di mata mereka.

Kerana itulah adat Melayu boleh dikatakan dibunuh, ditalkinkan dan dikuburkan. Budaya Melayu hanyalah dilihat dalam kecanggungan seni yang ditarikan tanpa fahaman kepada roh kesusaste­raan. Itu pun jika masih ada yang tidak canggung berzapin sedangkan rakan lain semua sudah berjoget seperti orang keranjingan.

Adakah kini kita sudah tiba pada penghujung jalan melihat bangsa hidup nyawa-nyawa ikan sebelum ditolak ke dalam pusara tanpa batu nisan? Bila kita sendiri yang membiarkan rohani kosong, jiwa lompong dan minda lengang, apalah yang akan kita mampu titipkan kepada generasi akan datang.

Sama ada ini adalah masa untuk bangsa Melayu bangkit daripada dengkur yang panjang dan kembali mengatur langkah mencari fitrah, atau inilah masa terbaik untuk kita mengucapkan selamat tinggal kepada bangsa yang sudah lama hidup bagai kerakap atas batu. Rayalah kita bangsa Melayu tanpa ada apa untuk diraikan.

Oleh : Fatihah Jamhari

Thursday, June 28, 2018

Polemik Guan Eng, Bahasa Melayu

HARI ini Malaysia kecoh dengan ketegasan tidak bertempat Men­teri Kewangan, Lim Guan Eng dalam me­nggunakan bahasa Cina atau Mandarin sebagai salah satu medium terjemahan kepada bahasa rasmi Kerajaan Persekutuan iaitu bahasa Melayu.
Guan Eng lupa bahawa bahasa rasmi Kerajaan Persekutuan adalah bahasa Melayu. Guan Eng juga lupa bahawa penggunaan bahasa Me­layu dalam urusan rasmi kerajaan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) 1963/67 serta pekeliling Kerajaan Persekutuan.

Bukan menafikan hak penggunaan bahasa Cina atau lain-lain bahasa di negara ini, namun penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai salah satu me­dium utama Kerajaan Persekutuan adalah satu kesilapan. Walaupun penggunaan lain-lain bahasa dilindungi oleh Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, namun peruntukan di bawah Perkara 152(1)(a) tersebut juga secara jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan rasmi kerajaan. Nampaknya, Guan Eng telah tersalah tafsir mengenai Perkara 152(1) ini. Beliau mungkin lupa bahawa beliau bukan pembangkang lagi.

Malah, Seksyen 2 ABK telah me­nyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi semua tujuan rasmi kerajaan. Ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu adalah satu kewajipan kepada pihak kerajaan.

Dan jika sesuatu perkara rasmi tersebut perlu diterjemahkan, bahasa universal iaitu bahasa Inggeris wajar digunakan. Walaupun Seksyen 3 ABK menyatakan bahawa kerajaan berhak untuk menggunakan terjemahan dalam lain-lain bahasa yang dirasakan perlu demi kepentingan awam, ini tidak memberikan sebab munasabah untuk Guan Eng mengeluarkan terjemahan bahasa Cina sedangkan terjemahan bahasa Inggeris sudah mencukupi.

Jika Guan Eng mahu mempertahankan tindakan beliau menggunakan bahasa Cina sebagai salah satu medium terjemahan, beliau perlu jadi lebih adil. Ke­luar­kan juga terjemahan ke­nyataan ras­mi dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Tamil, malah bahasa-bahasa natif di Sabah dan Sa­rawak. Maka di situ akan nampak keadilan yang kononnya di­dambakan oleh Guan Eng.

Tindakan Guan Eng ini benar-benar bermotifkan politik dan ha­nya mahu mendapatkan soko­ngan daripada kaum Cina di negara ini. Kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau adalah bangsa Malaysia dan bukannya bangsa Cina adalah satu kenyataan hipokrit. Jika benar beliau ikhlas mengakui bahawa beliau adalah bangsa Malaysia berbanding Cina, seharusnya beliau menjunjung ke­pentingan bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan di Malaysia adalah bahasa Melayu.

Mungkin Guan Eng juga lupa dengan Perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 9 Januari 2016 yang lalu dan kemudiannya ikrar perjanjian tersebut diulangi dalam Manifesto PH yang berjanji untuk memartabatkan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa ilmu malah sebagai lingua franca (bahasa perantara utama) serantau. Bagaimana Guan Eng mahu memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini jika beliau sendiri tidak yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara?

Keegoan Guan Eng lebih terserlah apabila beliau mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini di laman Facebook beliau, juga dalam bahasa Cina. Kebiadapan apakah yang beliau sedang lakukan terhadap majoriti rakyat Malaysia yang langsung tidak tahu berbahasa Cina?

Jika benar beliau ikhlas mahu menjelaskan isu ini kepada rakyat jelata, beliau sepatutnya menjelaskan isu ini dalam bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya dalam bahasa Inggeris agar semua orang faham. Apa motif beliau membuat penjelasan isu ini dalam bahasa Cina? Begitu tinggi ego beliau. Beliau telah bertindak biadab kepada majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham bahasa Cina sedangkan isu ini adalah isu nasional.

Jika benar beliau mengeluarkan kenyataan media mengenai projek TRX tersebut khas untuk media dari China, mengapa tidak hanya dalam bahasa Inggeris? Bahasa Inggeris adalah lingua franca dunia. Media China tidak akan mempunyai masalah untuk memahami kenyataan media tersebut dalam bahasa Inggeris.

Mereka sudah membuat liputan pelbagai isu di serata dunia dan kebanyakan isu dunia adalah dalam bahasa Inggeris, jadi sudah tentu terjemahan kenyata­an rasmi Kementerian Kewa­ngan dalam bahasa Inggeris tidak la­ngsung membebankan media Chi­na. Malah, tujuan Guan Eng me­ngeluarkan terjemahan bahasa Cina demi kemudahan media China sudah bertentangan de­ngan prin­sip yang dibenarkan oleh Sek­syen 3 ABK iaitu “menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam”. Media China bukan dalam kategori kepentingan awam.

Prihatin sungguh Guan Eng dengan kebajikan media China. Selepas ini jika sesuatu isu itu me­libatkan negara luar seperti India, Myanmar dan sebagainya, mungkin beliau akan turut mengeluarkan terjemahan mengikut bahasa negara-negara tersebut.

Perlu diingatkan bahawa Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 (Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam) telah secara jelas menuntut agar semua kementerian dan jabatan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan memberikan keutamaan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan kerajaan. Malah, pekeliling itu turut menggariskan bahawa bahasa lain yang digunakan sebagai terjemahan kepada bahasa Melayu haruslah kurang menonjol dari segi saiz tulisan, warna dan sebagainya.

Pekeliling Perkhidmatan Bila­ngan 9 Tahun 2011 (Panduan Pe­nggunaan Bahasa Kebangsaan Da­lam Perkhidmatan Awam) juga telah menggariskan panduan ba­gai­mana bahasa Melayu perlu digunakan oleh kerajaan. Malah, pe­keliling tersebut turut menggariskan bahawa semua surat ras­mi Kerajaan Persekutuan di peringkat antarabangsa, adalah di­galakkan menggunakan bahasa Melayu dan disertakan dengan terjemahan bahasa Inggeris. Namun, isu TRX, walaupun melibatkan pelabur dari China, bukanlah isu antarabangsa.

Sepanjang Guan Eng menjadi Ke­tua Menteri Pulau Pinang sebelum ini, adakah beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyata­an rasmi kerajaan Pulau Pinang dalam bahasa Cina? Kenapa beliau tidak pernah mulakan sebelum ini? Kenapa baru sekarang beliau berani untuk berbuat demikian? Adakah kerana beliau takut undi bukan Cina (terutamanya orang Melayu) tidak berpihak kepada PH dan DAP? Oleh kerana hari ini PH sudah menakluk Putrajaya, maka PH sudah boleh buat apa yang mereka mahukan sejak sekian lama?

Penjelasan beliau supaya rak­yat Malaysia terutamanya pegawai tertinggi kerajaan turut mengikut jejak langkah beliau dalam menggunakan bahasa Cina konon­nya untuk memastikan negara kita kekal kompetitif adalah satu ke­nya­taan tidak masuk akal. Pe­nguasaan bahasa selain daripada ba­hasa ibunda itu penting, namun tidak semestinya perlu dipraktikkan dalam urusan rasmi kerajaan.

Jelaslah kepada kita pada hari ini bahawa kerajaan PH tidak ber­niat untuk menghormati dan me­nunaikan semua janji-janji me­reka dalam manisfesto PH. Me­reka hanya akan tunaikan apa yang mereka rasakan relevan dan abaikan apa yang mereka sendiri rasakan kurang relevan.

Ingin ditegaskan, penulisan ini bukan bersifat rasis dan sekadar ingin menuntut janji kerajaan PH untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau dalam manifesto mereka. Masyarakat Malaysia hidup berbilang kaum dan perlu saling hormat menghormati serta saling menyayangi.

Oleh : Haeme Hashim

Wednesday, June 27, 2018

Tak Akan Damai Kerajaan Cemari Bahasa Kebangsaan

“INGATAN untuk kerajaan baharu, jika awal-awal lagi identiti yang menyatukan rakyat ini hendak dicemari, maka ia satu petanda bahawa keadaan yang tidak damai dan tenteram akan melanda negara ini.”

Itu amaran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berikutan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian menggunakan bahasa Mandarin di samping bahasa Melayu dan Inggeris yang dikritik netizen.

“Negara ini ada identitinya. Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Tiada masalah dengan Bahasa Kebangsaan itu sejak sekian lama,” tegasnya.

Beliau mengingatkan barisan kepimpinan Kerajaan Pusat supaya menjaga identiti Bahasa Kebangsaan negara ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya pagi tadi, beliau berkata, Malaysia mempunyai bahasa Melayu yang menjadi identiti sejak dahulu lagi.

”Ia bukan punca pertelingkahan, bahkan ia antara sebab perpaduan di negara kita,” katanya.

Katanya lagi, Indonesia menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan meskipun negara itu turut mempunyai pelbagai kaum di dalamnya.

“Semua kaum di sana fasih berbahasa negara mereka,” katanya.

Sumber : https://www.msn.com

Saturday, June 23, 2018

Martabatkan Bahasa Melayu

SETELAH lebih sebulan Pakatan Harapan berkuasa, saya tertarik mengulas isu bahasa Melayu yang jelas disentuh pada muka surat 10 Buku Harapan.

Digariskan bahawa Pakatan Harapan mahu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, apa yang saya lihat setakat ini tidak ada agenda memartabatkan bahasa Melayu, yang disebut-sebut ialah memartabatkan bahasa Inggeris bagi meningkatkan daya saing rakyat Malaysia.

Malah, pegawai tinggi perkhidmatan awam akan ada penilaian tahap kelancaran bahasa Inggeris mereka. Lebih mendukacitakan, penggunaan bahasa Melayu kian terpinggir dalam kalangan pemimpin kerajaan.

Dalam sidang akhbar pertama selepas memerintah, bahasa Melayu seakan dilupakan. Begitu juga kecenderungan berbahasa Inggeris makin menjadi-jadi.

Saya tidak menafikan kehadiran media antarabangsa yang hanya memahami bahasa Inggeris terutama pada awal Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan sebagai tujuan penggunaan bahasa berkenaan tetapi keadaan sedemikian menggambarkan seolah-olah bahasa Melayu ‘kurang layak’ menjadi bahasa rasmi dan global.

Saya tertarik dengan apa yang berlaku di Indonesia, Thailand, Jepun dan Korea di mana sidang media pemimpin utama mereka menggunakan bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan negara tersebut. Tugas wartawan asing adalah untuk mendapat terjemahan daripada sidang media. Itu aturan yang digunakan.

Namun, saya memuji wakil rakyat, Jagdeep Singh dan Anthony Loke yang bersungguh-sungguh cuba menggunakan bahasa Melayu. Lim Guan Eng juga bagus tetapi turut mudah beralih menggunakan bahasa Inggeris dalam sidang akhbar.

Saya berharap kerajaan baharu ini akan dapat melaksanakan agenda bahasa Melayu. Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik sewajarnya mengorak langkah dalam mengembalikan status bahasa Melayu ke persada tanah air dan global.

Badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan juga perlu bersama-sama memainkan peranan dengan badan bukan kerajaan, badan penulis dan pihak swasta bagi mengangkat martabat bahasa rasmi kita.

Sumber: utusan malaysia