PETALING JAYA: ‘Pilih salah satu’. Demikian Profesor Kesusasteraan Bandingan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Md. Salleh Yaapar mengenai kontroversi kandungan buku teks mata pelajaran Sejarah Tingkatan Empat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut beliau, dua perkara itu melibatkan kepentingan nasional, bangsa dan negara atau buku teks tersebut akan membawa malapetaka.
“Ini kerana buku teks berkenaan tidak menonjolkan pejuang kebangsaan sebaliknya pejuang komunis yang disebut,” katanya.
Baru-baru ini, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat tiga elemen penting gagal ditonjolkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang masih menjadi pertikaian pelbagai pihak sehingga didesak kandungannya dirombak semula.
Malah Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said menegaskan supaya jangan takut ‘rugi’ jutaan ringgit demi menulis dan merombak semula buku teks itu kerana apa yang penting adalah menanam semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
Md. Salleh berkata, malapetaka akan terjadi kerana buku itu berada bersama pelajar serta dijadikan rujukan, bahaya ini akan kekal selamanya.
Tambah beliau, pertimbangan itu antara rugi jutaan ringgit atau kita merosakkan masa depan generasi yang akan datang.
“Langkah yang terbaik adalah duduk berbincang antara pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam bersama Kementerian Pendidikan tentang hala tuju buku teks tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, suara Kementerian Pendidikan dan barisan panel penulis yang bertanggungjawab tentang kandungan yang didakwa ‘subversif’ oleh pihak tertentu itu perlu didengar dan diambil kira.
Menurut beliau, ini penting bukan sahaja untuk maruah dan wibawanya tetapi juga memperbetul keadaan akibat kekeliruan dalam kalangan masyarakat ekoran dakwaan itu.
“Namun, sementara menunggu isu ini selesai, kita teruskan sahaja dengan pengajaran dan pembelajaran sedia ada,” katanya.
Tegas beliau, pandangan guru Sejarah, baik yang mengajar Tingkatan Empat atau di tahap lain, perlu turut diperoleh kerana mereka adalah pihak berkepentingan yang terdekat selain pelajar.- UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment