SELEPAS hampir sedekad, ringgit kekal tiada dalam senarai akhir 24 mata wang terindah di dunia untuk pencalonan bagi 2020.
Senarai itu dikeluarkan oleh Persatuan Wang Kertas Bank Antarabangsa (IBNS), iaitu sebuah badan bebas penilaian profesional mata wang sejagat yang berpusat di Britain, baru-baru ini.
Setelah tempoh akhir pencalonan ditutup secara rasmi pada 31 Januari lalu, ringgit tidak termasuk dalam penyenaraian anugerah berprestij ‘mata wang paling indah di dunia’ yang dimulakan secara rasmi pada 2004.
Wang kertas polimer RM5 pernah disenarai akhir sebagai antara 13 mata wang diiktiraf tercantik global pada 2012. Bagaimanapun, wang kertas dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) itu tewas di peringkat penilaian. Ia dimenangi wang kertas 5,000 tenge keluaran bank pusat Kazakhstan.
Bagi 2020, antara wang kertas yang disenarai ialah dari Arab Saudi, Australia, Bahamas, Brazil, Bulgaria, England, Fiji, Ireland Utara, Scotland, Thailand, Trinidad Tobago, Tunisia, Ukraine dan Qatar.
Paling mencuri tumpuan ialah penyertaan wang kertas dari negara-negara yang dianggap ‘miskin daif’ seperti Bangladesh, Costa Rica, Indonesia, Lubnan, Mexico, Namibia, Nepal dan Zimbabwe.
Tiga wang kertas iaitu 20 pound Ireland Utara, 1,000 baht Thailand dan 10 peso Mexico dijangka bersaing sengit kerana direka unik secara menegak yang berpotensi untuk menang.
Rekod IBNS menunjukkan rekaan sedemikian menigkatkan peluang menang seperti diraih Kazakhstan tiga tahun berturut-turut melalui 1,000 tenge (2013), 5,000 tenge (2012) dan 10,000 tenge (2011).
GABENOR
Menurut kenyataan sekretariat IBNS, pemenang untruk 2020 akan diumumkan secara rasmi sekitar April ini setelah selesai proses penilaian ketat oleh pelbagai pakar berkaitan.
Meskipun IBNS tidak menawarkan hadiah berbentuk wang tunai kecuali sijil pengiktirafan, anugerah tahunan itu amat dinantikan jutaan pengumpul tegar mata wang asing global.
Keindahannya mampu meningkatkan lagi nilai tambah kertas bersifat intrinsik dari segi seni reka unik dan sejarah apabila diniagakan dalam acara lelongan wang antarabangsa.
Ringgit mungkin perlu ‘belajar’ lagi untuk bersaing dengan jiran kita, rupiah Indonesia dan baht Thailand yang tampak jauh lebih kreatif dalam memartabatkan wang kertas mereka di persada dunia.
Apatah lagi, reka bentuk ringgit tidak pernah berubah sejak siri keempat pada 16 Julai 2012 dan itupun hanya bertukar corak tandatangan Gabenor BNM disebabkan peralihan tiga kali penyandangnya! - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment